Header Ads

ads header

Flash News

700,000 pelajar sekolah pernah hisap vape


SEJAK beberapa tahun lalu, rokok elektronik atau vape telah memasuki pasaran dan menjadi sangat popular dalam kalangan masyarakat di negara ini. Ada pihak yang mendakwa bahawa vape adalah alternatif selamat untuk menggantikan rokok tembakau. Namun adakah benar dakwaan itu?

Benarkah vape mampu menjadi menjadi alternatif kepada perokok dan penggunaannya lebih selamat daripada rokok tembakau? Ikuti wawancara khas Ismaweb.net bersama Ketua Unit Kawalan Rokok dan Vape I-Medik, Dr Ahmad Farid Nazmi Abdul Halim.

Ismaweb.net: Apa itu rokok elektronik atau vape, serta bezanya dengan rokok konvensional?

Dr Ahmad Farid: Rokok elektronik adalah alat yang menggunakan kuasa elektronik untuk menyalurkan aerosol atau wap hasil dari pemanasan satu cecair, untuk dihisap oleh pengguna. Berdasarkan akta, rokok elektronik didefinasikan sebagai peranti yang digunakan untuk memanaskan hasil tembakau atau bahan-bahan lain secara elektronik untuk tujuan merokok. Tiga komponen rokok elektronik adalah bateri, atomiser dan kartrij. Kandungan utama cecair rokok elektronik adalah nikotin, propilin glikol, gliserin sayuran serta bahan perasa dan pewarna.

Ismaweb.net: Benarkah vape menjadi alternatif untuk perokok berhenti rokok? Adakah ada kajian bahawa ianya menjadi alternatif pemulihan kepada ketagihan rokok?

Dr Ahmad Farid: Menurut kajian oleh Bullen C et al, 2013 berkenaan perbandingan di antara penggunaan rokok elektronik, Nicotine Replacement Therapy (NRT) dan placebo mendapati tiada perbezaan signifikan di dalam kejayaan untuk berhenti tabiat merokok, malah terdedah kepada kesan sampingannya.

Malah, kandungan nikotin dalam rokok elektronik akan terus menyebabkan ketagihan dan kebergantungan yang sangat tinggi dan kebanyakannya akhirnya menjadi ‘dual user’ berdasarkan kajian oleh WK Al-Delaimy et al, 2015. Kenyataan yang diwar-warkan oleh pihak industri rokok elektronik di mana paras nikotin yang selamat dalam rokok elektronik boleh diperkenalkan oleh kerajaan adalah salah.

Laporan oleh Public Health England (PHE) yang menyatakan rokok elektronik adalah 95 peratus lebih selamat berbanding rokok tembakau telah dikritik hebat kerana ianya berdasarkan beberapa kajian dan mempunyai pelbagai kelemahan serta penglibatan penajaan oleh syarikat tembakau.

Falsafah utama merawat ketagihan merokok adalah perokok itu sendiri perlu berhenti menghisap rokok. Bagi individu yang berhasrat untuk berhenti merokok dan mahu mendapatkan rawatan ketagihan merokok, mereka boleh mengunjungi Klinik Berhenti Merokok yang dikendalikan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia atau pun boleh menyertai program mQuit, iaitu perkhidmatan berhenti merokok secara bersepadu di kemudahan awam dan juga swasta. Maklumat lanjut boleh dilayari di laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my

Selain itu juga, vape meningkatkan risiko bukan perokok menjadi perokok. Ia merupakan ‘gateway’ untuk golongan kanak-kanak dan remaja memulakan tabiat merokok menurut kajian oleh Primack et al, 2015 dan Leventhal et al, 2015.

Ismaweb.net: Oktober lalu, Menteri Kesihatan mendedahkan kira-kira 300,000 pelajar sekolah seluruh negara terjebak dengan penggunaan vape di mana 50,000 daripada mereka adalah pelajar perempuan. Adakah perkara ini berpunca daripada kurangnya penguatkuasaan, dan promosi penjualan yang dibuat secara terbuka?

Dr Ahmad Farid: Situasi semasa penggunaan rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah adalah amat membimbangkan. Kajian Tobacco and E-cigarette Survey Among Adolescent (TECMA) pada 2016 mendapati 300,000 orang remaja bersekolah merupakan pengguna semasa rokok elektronik dan vape, di mana majoriti adalah dalam kalangan remaja lelaki iaitu 250,000 orang, berbanding remaja perempuan iaitu 50,000 orang.

Seramai 700,000 orang remaja bersekolah pernah mencuba rokok elektronik dan vape walaupun sekali. Pakar penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia turut menjalankan kajian tabiat penggunaan rokok elektronik dalam kalangan 422 pelajar dari tiga sekolah menengah di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada awal tahun ini, di mana penemuan mendapati peratusan menggunakan vape adalah lebih tinggi iaitu sebanyak 42.2 peratus berbanding mereka yang merokok rokok konvensional iaitu hanya 27.0 peratus.

Sejak tahun 2015, I-Medik bersama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah bergiat aktif dalam isu menangani penggunaan vape dan diantaranya adalah mendesak kerajaan terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar mengharamkan penjualan vape.

Bagaimanapun, tiada langkah tegas diambil oleh pihak kerajaan ketika itu dan membenarkan penjualan, malah kini ia mudah didapati di pasaran serta media sosial oleh pelbagai peringkat umur termasuklah golongan pelajar sekolah.

Ismaweb.net: Jika sejak remaja sudah didedahkan dengan penggunaan vape, apakah kesan jangka panjang bagi kesihatan individu yang ketagihan rokok elektronik?

Dr Ahmad Farid: Penggunaan rokok elektronik yang pada asalnya dicipta untuk menyediakan alternatif yang lebih selamat telah terbukti memudaratkan kesihatan. Penemuan World Health Organization (WHO) mendapati kandungan karsinogen adalah lebih tinggi dalam rokok elektronik berbanding rokok konvesional.

Menurut kajian oleh Yuen et al, 2015, pendedahan otak kepada nikotin semasa remaja amat berbahaya kerana zaman remaja adalah peringkat kritikal perkembangan otak dan berisiko untuk mencuba bahan-bahan terlarang yang menjurus kepada penyalahgunaan dadah. Selain itu, nikotin boleh menggalakkan pembekuan darah dan risiko strok menurut kajian oleh Schaller et al, 2013.

Nikotin juga boleh menyerap masuk ke plasenta ibu mengandung di mana ia akan mengganggu proses perkembangan bayi di dalam kandungan berdasarkan kajian oleh Maritz, 2009 dan boleh membawa kepada kelahiran pramatang, keguguran, kecacatan dan Sudden Infant Death Syndrome (SIDS).

Melalui beberapa analisis sampel cecair rokok elektronik secara rawak oleh Makmal Toksikologi Pusat Racun Negara, terdapat kandungan cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin sehingga 4mg dalan 1ml cecair. Ini bermakna setiap botol yang mengandungi 25ml cecair rokok elektronik akan mengandungi sehingga 100mg nikotin.

Nikotin serendah 2mg sudah boleh menyebabkan gangguan pada perut dan usus. Dos yang lebih tinggi boleh menyebabkan kesan yang lebih teruk, di antaranya adalah sawan dan kegagalan pernafasan. Nikotin boleh menyebabkan kematian mengejut pada dos sekurang-kurangnya 4 mg bagi kanak-kanak 40mg dalam kalangan orang dewasa.

Antara kandungan lain dalam cecair rokok elektronik adalah propilin glikol (PG). Menurut kajian yang dijalankan oleh Wielander et al, 2001 dan Vardavas et al, 2012, kesan jangka pendek akibat PG meliputi iritasi kepada mata, tekak dan saluran pernafasan manakala kesan jangka panjang boleh menyebabkan penyakit asma menurut kajian Choi et al, 2010. PG apabila dipanaskan akan menghasilkan bahan yang membebaskan formaldehid (formaldehyde).

Formaldehid ialah sejenis bahanyang boleh menyebabkan kanser. Laporan oleh New England Journal of Medicine pada 22 Januari 2015 turut menyatakan bahawa rokok elektronik mengandungi formaldehid yang boleh menyebabkan kanser 15 kali lebih tinggi berbanding rokok konvensional.

Pelbagai jenis bahan perisa (flavours) digunakan di di dalam cecair rokok elektronik yang terdapat di pasaran. Kebanyakan pengguna beranggapan perisa yang digunakan adalah tidak memudaratkan. Kajian in-vitro yang dijalankan oleh Bahl et al, 2012 mendapati cecair rokok elektronik ini mampu membunuh sel iaitu sel paru-paru, otak dan lapisan kulit. Kajan ini mengira paras yang mampu membunuh sel-sel ini yang di kenali sebagai sitotoksisiti (cytotoxicity). Cecair rokok elektronik yang mengandungi pelbagai bahan perisa telah menunjukkan paras sitotoksisiti yang tinggi.

Individu-individu yang berada di sekeliling boleh turut sama ‘menghisap’ bahan kimia yang ada di udara persekitaran hasil hembusan wap daripada rokok elektronik. Oleh demikian, prinsip passive smoker juga terpakai.

Ismaweb.net: Sebagai pengamal perubatan, apakah saranan Dr kepada pihak kerajaan bagi menangani isu ini. Adakah penguatkuasaannya perlu lebih tegas daripada rokok?

Dr Ahmad Farid: Perkara ini perlu diambil perhatian lebih serius oleh pihak kerajaan dan masyarakat awam. Jemaah Menteri pada Oktober 2016 telah memutuskan agar Kementerian Kesihatan Malaysia mengawal selia dengan ketat rokok elektronik dan vape yang mengandungi nikotin di bawah Akta Racun 1952 sedia ada atau di bawah undang-undang baru yang khusus.

Orang ramai perlu melaporkan jika ada peniaga yang menjual rokok elektronik dan vape. Individu yang menjual cecair nikotin rokok elektronik adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Racun 1952.

Bukan mudah untuk penguatkuasa memantau kandungan rokok elektronik dan vape kerana penjual dan pengguna boleh memasukkan sebarang kandungan ke dalam cecair rokok elektronik dan vape yang dijual, termasuklah nikotin atau dadah.

Oleh demikian, langkah yang paling tepat dan perlu dimainkan oleh pihak kerajaan dengan tegas adalah menghalang sebarang penjualan perkakasan rokok elektronik dan vape termasuklah menghalang import dan eksport. Sehingga Jun 2019, sebanyak 41 negara melarang sepenuhnya termasuk penjualan dan pengimportan peranti rokok elektronik dan vape.

Mutakhir ini, pengguna rokok elektronik dan vape mudah untuk mendapatkan bekalan secara atas talian dari dalam dan luar negara. Kementerian dan Komunikasi Malaysia melalui Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu tegas menghalang segala bentuk promosi atau jualan rokok elektronik dan vape atas talian.

Ibu bapa juga perlu memantau anak-anak dan tidak mengamalkan tabiat merokok sama ada menggunakan rokok konvensional atau rokok elektronik dan vape kerana anak-anak akan meniru budaya tidak sihat tersebut.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt




............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

1 ulasan:

  1. Mari coba keberuntungannya disini AjoQQ"c0m
    Kontak whatsapp +855969190856

    BalasPadam