Header Ads

ads header

Flash News

Tamat operasi usaha lumpuh ekonomi umat Islam?


SAYA amat bimbang penamatan operasi dan perkhidmatan 4 buah hotel milik TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) adalah usaha terancang pihak tertentu untuk melumpuhkan ekonomi umat Islam.

Tiba-tiba sahaja umat Islam di Malaysia dikejutkan dengan pengumuman bahawa THHR akan menamatkan operasi dan perkhidmatan 4 buah hotel miliknya, iaitu TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu, pada 1 April depan.

Mengikut Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif THHR, Zulkefli Ahmad, penamatan operasi dan perkhidmatan tersebut merupakan satu keputusan yang tidak dapat dielakkan memandangkan operasi dan pengurusan hotel-hotel yang terlibat tersebut telah dan/atau akan diambil alih oleh, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), dan bangunan hotel-hotel yang terlibat juga telah dipindah milik kepada UJSB.

Seperti yang kita semua tahu, UJSB adalah syarikat milik Kementerian Kewangan yang ditubuhkan di bawah Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Lembaga Tabung Haji, dan seperti yang kita semua juga tahu, Kementerian Kewangan adalah dikuasai oleh pemimpin tertentu.

Walau apa sekalipun alasan yang diguna bagi menamatkan operasi dan perkhidmatan 4 buah hotel milik THHR ini, umat Islam di Malaysia wajar bangkit menentang tindakan ini kerana hotel-hotel ini bukan sahaja tidak diketahui mempunyai apa-apa masalah besar tetapi adalah juga lambang kebanggaan ummah.

Hotel-hotel ini adalah bukti bahawa ekonomi umat Islam boleh dimajukan dengan menceburi sektor yang didominasi oleh orang bukan Islam sehingga ia menjadi pilihan bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga bukan Islam tanpa mengabaikan prinsip kepatuhan syariah.

Kewujudan hotel-hotel yang memberikan jaminan perkhidmatan patuh syariah serta pematuhan kepada kehendak penyediaan makanan ‘halalan toyyiban’ ini juga adalah pembuka kepada jaringan yang sangat besar dalam mengembangkan ekonomi umat Islam.

Pertamanya, hotel-hotel milik THHR ini memberi ruang pekerjaan yang luas kepada tenaga kerja dan profesional Islam yang kurang diterima dalam sektor lain mahupun dalam sektor perhotelan konvensional, termasuk golongan wanita yang berhijab, untuk berkhidmat.

Lebih jauh dari itu, hotel-hotel milik THHR ini juga telah membuka jaringan yang sangat besar dalam pelbagai industri halal milik umat Islam dan keluaran Bumiputera, contohnya ialah syampu dan sabun serta haruman berasaskan buahan tempatan seperti tembikai susu.

Bayangkanlah betapa ramai yang akan terjejas ekoran penamatan operasi dan perkhidmatan hotel-hotel ini yang melampaui nasib malang para pekerjanya yang akan kehilangan kerja mereka, sedangkan sebelumnya hotel-hotel ini dirancang untuk diluaskan ke seluruh negara.

Sekian.“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

– HARAKAHDAILY 18/2/2020





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan