Header Ads

ads header

Flash News

Antara Mahathir dengan Anwar


Politik adalah perebutan kuasa, maka kita menyaksikan pergelutan antara Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim, sungguhpun yang menang di tengah-tengah adalah Muhyiddin Yassin.

Politik adalah pertembungan idea. Kita menyaksikan bagaimana masyarakat kita terbahagi secara kasar kepada dua jalur politik. Satu jalur menuntut agar negara kita lebih sekular, liberal, menekankan hak asasi manusia, mempertahankan ruang kebebasan peribadi dan sebagainya. Satu jalur pula menjuarai politik identiti, menuntut agar kedudukan dan kepentingan kaum dan agama dimartabatkan.

Seandainya ditelaah dalam konteks Malaysia, individu seperti Siti Kasim, dan organisasi seperti G25, termasuk dalam golongan pertama. Individu seperti Dr.Maza (Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis), organisasi seperti ISMA, dikategorikan dalam golongan kedua.

Sememangnya golongan pertama bertembung dengan golongan kedua. Ironinya kedua-dua golongan ini memilih Mahathir Mohamad, dengan alasan yang bertentangan. Golongan pertama menaruh harapan kepada Mahathir untuk menyekat kemaraan golongan konservatif dari kaca mata mereka. Golongan kedua pula menganggap Mahathir sebagai benteng untuk melindungi hak dan kepentingan Melayu-Islam daripada ancaman DAP (yang dilabel sebagai liberal).

Maka apabila Mahathir menari di khalayak umum, golongan pertama menganggap beliau mempertahankan unsur sekular di Malaysia. Apabila Mahathir menghadiri Kongres Maruah Melayu, golongan kedua pula menganggap beliau sebagai ikon untuk mempertahankan Melayu-Islam dalam kerajaan. Anehnya, golongan pertama berdiam diri apabila Mahathir sepentas dengan UMNO-PAS; golongan kedua pula mengendurkan kelantangannya apabila Mahathir bertegas untuk mengembalikan dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris).

Sementara itu, kedua-dua golongan ini mencurigai sosok bernama Anwar Ibrahim. Golongan pertama menganggap Anwar mencetuskan gelombang Islamisasi di Malaysia, di samping golongan kedua melihat Anwar terlalu liberal sehingga gagal mempertahankan kedudukan Melayu dan Islam.

Golongan pertama berdiam diri apabila Anwar menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan dasar afirmatif tanpa mengira warna kulit. Golongan kedua pula buat tidak tahu apabila Anwar membuka wacana penerapan nilai Islam, menekankan kepentingan penguasaan bahasa Melayu, pembangunan budaya Melayu dan sebagainya.

Pernahkah masyarakat majmuk dengan suara yang paling lantang di kedua-dua penghujung (liberal vs konservatif) ini, berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari muafakat, jikapun gagal mencapai muafakat? Akhirnya, satu-satunya muafakat yang ditemui adalah Mahathir. Siti Kasim menyokong Mahathir yang disokong Dr.Maza. Tetapi apakah muafakat yang tercapai, antara jalur politik yang diwakili Siti Kasim dengan Dr.Maza?

Pada masa yang sama, satu-satunya musuh yang dilawan bersama adalah Anwar, kerana Anwar adalah seorang Islamis (dari kaca mata liberal), dan pada masa yang sama, pendukung liberal (dari kaca mata Islamis). Apakah golongan pertama tidak merestui “dasar afirmatif tanpa mengira warna kulit”-nya, dan golongan kedua menolak “pendiriannya untuk mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dan mengangkat nilai Islam”?

Bukankah ia sesuatu yang aneh lagi pelik? Tidakkah pernah kita terfikir, dari mana persepsi ini wujud, bagaimana ia terbentuk dan terpahat dalam minda kita? Mengapa kita berpegang kepada dua kayu ukur (double standard), ketika menilai seseorang tokoh politik? Mengapa kita memilih berdasarkan apa yang kita ingin percaya (atau diasuh untuk percaya), dan bukan berdasarkan fakta yang sebenar?

Tatkala kita merungut “politik hanyalah perebutan kuasa semata-mata”, atau “jatuh-menjatuhkan sesama politikus”, bukankah sikap politik kita juga menjurus kepada apa yang berlaku sekarang? Kita cuba memaksakan apa yang kita mahu kepada yang lain, tanpa inisiatif untuk berdialog dengan golongan yang berbeza dengan kita. Seandainya kita sempat mencari jalan keluar bersama golongan yang bertentangan dengan kita, dengan kompromi kedua-dua pihak, atau kita memperkasa jalur politik yang sederhana di tengah-tengah dua ekstrem – bukankah kita boleh mengangkat suara ini, dan kemudian memaksa politikus untuk akur kepada tuntutan kita?

Tetapi apa yang berlaku di sebaliknya – setelah kita gagal menemui muafakat dalam masyarakat – kita menyerah kepada tokoh politik untuk menentukan masa depan kita. Kita bergantung kepada kewibawaan tokoh tertentu untuk menyekat kemaraan golongan yang bertentangan dengan kita. Kita mengambil satu posisi di mana kita lebih memerlukan politikus, daripada politikus memerlukan kita, sambil kita lantang melaungkan slogan “Suara rakyat, suara keramat”.

Kita sedih dan marah apabila dikhianati politikus, yang sering kita sifatkan sebagai “rakus kuasa”. Tetapi pernahkah kita terfikir, bagaimana situasi ini boleh diatasi? Pernahkah kita renungi, bagaimana rakyat boleh berkuasa, tatkala kita menumbuk udara dengan slogan “People power!”

Lim Hong Siang

MR :  Pada Malaysia baharu Mahathir dan Anwar tidak releven lagi..


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan: