Header Ads

ads header

Flash News

Selangor tidak beri peruntukan Covid-19 kepada wakil pembangkang


PETALING JAYA: Kerajaan Selangor tidak memberi peruntukan berkait Covid-19 kepada anggota pembangkang di negeri itu, sebaliknya menyalurkannya kepada penyelaras.

Menteri Besar Amirudin Shari hari ini berkata, langkah menyalurkan peruntukan bagi kerusi pembangkang di negeri itu kepada penyelaras adalah amalan biasa.

Ini berikutan penyebaran satu surat di media sosial yang menyebut 9 wakil rakyat daripada Umno, PAS dan PPBM, termasuk 2 yang dipecat daripada PKR bulan lepas, tidak akan mendapat peruntukan RM30,000 untuk perbelanjaan berkaitan Covid-19 secara langsung.

Bercakap kepada FMT Amirudin berkata, setiap kawasan pembangkang di Selangor diperuntukkan RM200,000 sebagai perbelanjaan setahun dan tidak pernah diberikan terus kepada Adun pembangkang.

“Wakil Adun pembangkang boleh menuntut wang dari Pejabat Daerah masing-masing untuk pembiayaan,” katanya.

Amiruddin berkata, surat yang menyatakan bahawa peruntukan RM30,000 tidak akan diberikan kepada Adun pembangkang secara langsung bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Beliau berkata, peruntukan bagi “pembelian langsung” sentiasa ada, tetapi baru-baru ini dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM30,000 untuk semua 56 Adun berikutan wabak Covid-19.

Amiruddin berkata, surat yang tersebar itu adalah antara banyak surat yang dikeluarkan dan merupakan amalan standard (tidak memberi peruntukan langsung kepada wakil pembangkang).

Adun kerajaan akan mendapat lebih banyak peruntukan, manakala Adun pembangkang akan mendapat peruntukan yang lebih rendah.

“Ini telah lama diamalkan,”katanya.

Surat tular mengenai perbincangan antara menteri besar serta ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 Mac lalu memutuskan peruntukan RM30 ribu disalurkan secara terus kepada Pusat Khidmat Masyarakat semua Adun kecuali Adun Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Sungai Burong, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Semenyih, Sijangkang dan Selat Klang.

Amirudin berkata walaupun Adun pembangkang mendapat peruntukan yang lebih rendah, gabungan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) menyalurkan peruntukan kepada “penyelaras” untuk melaksanakan program.

“Jadi pada hakikatnya, tiada siapa yang ditinggalkan, walaupun Adun mereka (pembangkang) tidak mendapat pembiayaan,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan peralihan kuasa kerajaan persekutuan baru-baru ini kepada Perikatan Nasional, maka penyelaras bagi beberapa kawasan pembangkang baru belum ditentukan.

Amirudin berkata, beberapa Ahli Parlimen PH dipilih untuk mengendalikan peruntukan bagi kawasan pembangkang dalam masa yang sama.

Beliau berkata, peruntukan kepada kerusi Sijangkang akan dikendalikan oleh ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar; kerusi Gombak Setia dikendalikan oleh pejabat konstituensi Sungai Tua, iaitu kawasan Amirudin; Sungai Air Tawar (Adun Sabak Ahmad Mustain Othman); Bukit Antarabangsa (Adun Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha); dan Sungai Burong (Adun Permatang, Rozana Zainal Abidin).

Amirudin berkata, peruntukan bagi DUN Semenyih akan dikendalikan oleh Hasanuddin Mohd Yunus dan pembiayaan bagi DUN Selat Klang akan dikendalikan oleh ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid.

Amirudin berkata, purata Adun kerajaan akan mendapat RM730,000 hingga RM800,000 setahun.

Sementara itu, Adun Sungai Panjang, Mohd Imran Tamrin berkata, langkah kerajaan negeri itu adalah “langkah mundur”.

Beliau juga mempersoalkan mengapa 4 Adun PPBM, iaitu Harumaini Omar, Mohd Shaid Rosli, Sallehudin Amiruddin dan Adhif Syan Abdullah diberi peruntukan langsung walaupun mereka ahli “pembangkang”.

Sebelum ini, 4 wakil PPBM berikrar untuk memberikan sokongan kepada kerajaan negeri Selangor di bawah PH.


MR :  PH kalau dia buat tak apa... semuanya betul


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan