Header Ads

ads header

Flash News

Terengganu batal bazar Ramadan, gesa peniaga guna alternatif dalam talian


PETALING JAYA: Kerajaan Terengganu memaklumkan tiada penganjuran bazar Ramadan di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) tahun ini bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Alias Razak memaklumkan mengenai pembatalan itu selepas diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu yang dipengerusikan Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar semalam.

“Memandangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April depan, iaitu 10 hari sebelum awal Ramadan dan mengambil kira suasana tidak menentu ketika ini, kerajaan negeri telah mengkaji kesesuaian pelaksanaan bazar Ramadan tahun ini.

“Ini kerana risiko berlakunya kontak rapat adalah amat besar dan akan memberi kesan kepada kebarangkalian berlakunya penularan semula virus Covid-19, sekali gus merencatkan usaha kerajaan untuk membasmi wabak ini sepenuhnya.

“Bagi mencapai hasrat pembasmian wabak ini secara total, kerajaan negeri bersetuju untuk meminta semua PBT di negeri ini membatalkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini kerana ia (bazar Ramadan) tidak termasuk dalam kategori perkhidmatan perlu (essential services),” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama Alias turut menyarankan kepada peniaga bazar Ramadan supaya membuat persediaan berikutan pembatalan itu dengan menimbangkan alternatif jualan lain seperti perniagaan secara dalam talian.


Alias Razak
Beliau berkata, peniaga juga boleh melakukan perkhidmatan penghantaran ke rumah untuk sebarang bentuk produk, termasuk makanan, menggunakan platform seperti GrabFood, Foodpanda atau cara lain yang difikirkan sesuai.

“Mengusahakan pemasaran perniagaan secara dalam talian (online) atau apa saja alternatif lain yang difikirkan sesuai,” katanya.

Beliau berkata, keputusan kerajaan membatalkan aktiviti itu dibuat setelah memperhalusinya dengan cermat dengan mengambil kira kemaslahatan, kesihatan serta nyawa semua pihak.

“Kerajaan negeri juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih atas komitmen tinggi rakyat negeri ini yang berjaya melepasi paras 95% kepatuhan kepada PKP (perintah kawalan pergerakan) yang diisytiharkan oleh kerajaan persekutuan sejak 18 Mac lalu dan berharap komitmen rakyat ini akan berterusan hingga akhir,” katanya.

Alias ketika dihubungi FMT berkata, aktiviti biasa lain ketika bulan Ramadan di negeri itu akan diperincikan dan diputuskan dalam masa terdekat, sama ada ia diteruskan atau sebaliknya.

“Petang nanti kita akan adakan sidang media,” katanya ringkas.

Semalam Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob membayangkan kemungkinan tiada bazar Ramadan di negeri itu pada tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri bagaimanapun belum memutuskan secara muktamad berhubung perkara itu dan akan menelitinya berdasarkan keadaan semasa penularan wabak Covid-19.

Selain Terengganu dan Kelantan, Negeri Sembilan turut mengambil langkah sama dan diumumkan 26 Mac lalu.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan