Header Ads

Header ADS

Tragedi tembakan di masjid: Lelaki Australia mengaku bersalah semua pertuduhan


WELLINGTON: Lelaki warga Australia yang didakwa melakukan serangan tembakan di dua masjid New Zealand sehingga mengakibatkan 51 umat Islam terbunuh, tahun lalu, membuat perubahan fikiran mengejutkan apabila mengaku bersalah atas semua pertuduhan, hari ini.

Brenton Tarrant, 29, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan terbabit tindakan pengganas.

Tertuduh bagaimanapun menukar pengakuannya dalam satu pendengaran mahkamah yang diaturkan secara tergesa-gesa.

“Ya, bersalah,” kata Tarrant kepada Mahkamah Tinggi Christchurch menerusi pautan video dari Penjara Auckland sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya, sambil memandang tepat ke arah kamera ketika membuat pengakuan berkenaan.

Tiada alasan diberikan bagi perubahan pengakuan itu, yang bermakna Tarrant tidak lagi perlu menjalani perbicaraan, iaitu satu proses di mana pihak berkuasa bimbang akan digunakan Tarrant sebagai platform untuk mempromosikan ideologi perkaumannya.

Hakim Cameron Mander kemudian merekodkan sabitan atas semua pertuduhan dan memaklumkan bahawa Tarrant akan dijatuhkan hukuman pada satu tarikh yang belum ditentukan.

“Pengakuan bersalah mewakili satu langkah amat signifikan ke arah membawa kesudahan kepada prosiding jenayah ini,” katanya.

Pengakuan itu dilakukan pada hari pertama New Zealand menjalani perintah berkurung selama empat minggu susulan penularan wabak COVID-19.

Mander berkata, hukuman hanya akan dijatuhkan selepas sistem mahkamah kembali normal nanti.

“Pada masa yang mangsa dan keluarga mereka sudah boleh hadir sendiri ke mahkamah,” katanya.

Serangan oleh Tarrant sebagai pelampau kulit putih pada Mac tahun lalu itu menyasarkan jemaah solat Jumaat di masjid terbabit, dan merupakan tragedi tembakan beramai-ramai yang paling buruk dalam sejarah moden New Zealand. - AFP



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.