Header Ads

ads header

Flash News

Agong adakan Mesyuarat Pra-Kabinet melalui sidang video



KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan mengadakan sesi Pra-Kabinet bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi sidang video di Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata sesi sidang video itu julung kali diadakan untuk Mesyuarat Pra-Kabinet berikutan fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang bermula hari ini hingga 28 April, bagi membendung penularan pandemik COVID-19

“Al-Sultan Abdullah turut berkenan supaya mesyuarat Pra-Kabinet diteruskan menerusi sidang video semasa PKP ini berjalan untuk Seri Paduka Baginda berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, khususnya berkenaan isu semasa.

“Ini mencerminkan keprihatinan tinggi Al-Sultan Abdullah terhadap pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat kerana secara lazimnya, Seri Paduka Baginda akan berangkat ke Istana Melawati di Putrajaya untuk mesyuarat Pra-Kabinet,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, sesi itu berlangsung selama 45 minit dari jam 8.30 pagi, dengan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri mesra serta saling bertanya khabar, selain penuh teliti ketika perbincangan itu.

Ahmad Fadil berkata, dalam sidang video itu, Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah di atas keprihatinan Seri Paduka supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja selama enam bulan, mulai Mac hingga Ogos.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah di atas sokongan Seri Paduka terhadap keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh PKP untuk Fasa Ketiga sehingga 28 April, 2020,” katanya.

Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri.

Kali terakhir ia diadakan adalah pada 18 Mac lepas kerana pada minggu berikutnya Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga telah dinasihatkan untuk menjalani kuarantin diri selama 14 hari di Istana Negara bermula 25 Mac.

Ia susulan tujuh petugas Istana Negara disahkan positif COVID-19.

Seri Paduka berdua dan keluarga, dalam tempoh kuarantin itu turut menjalani beberapa proses saringan serta pengesanan jangkitan wabak itu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan telah disahkan negatif COVID-19.

Ahmad Fadil berkata, Muhyiddin turut melahirkan rasa syukur Seri Paduka dan keluarga bebas COVID-19 setelah selamat menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari. - BERNAMA



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan