Header Ads

Header ADS

Harga Minyak Jatuh Paling Dahsyat Dalam Sejarah, Apa Jadi Sebenarnya?


1. Seluruh dunia dikejutkan dengan kejatuhan harga minyak paling dahsyat dalam sejarah sejak ia mula didagangkan di New York Mercantile Exchange (NYMEX) pada 1983 – harga minyak WTI (West Texas Intermediate) jatuh bawah AS$0 setong hingga ke paras negatif! (AS$ -37 setong).

2. Mujurnya dalam konteks kita di Malaysia, pendapatan negara kita adalah bersandarkan harga minyak Brent Crude, bukannya WTI ini.  Harga minyak Brent Crude juga jatuh, tetapi tidak sedahsyat WTI.

3. Mengapa harga minyak terus jatuh meski pun perang harga minyak antara Arab Saudi dengan Rusia sudah ditamatkan minggu lepas apabila Donald Trump menjadi orang tengah antara Putera Mohammad Bin Salman dengan Vladimir Putin? Bagaimana harga minyak boleh jatuh melebihi paras sifar hingga menjadi negatif?

4. Bagi menjawab soalan-soalan ini, perbezaan antara minyak WTI dengan Brent serta proses jual beli minyak secara ‘futures trading’ perlu difahami.

5. Proses jual beli minyak secara ‘futures trading’ ini secara mudahnya seperti berikut: seseorang pedagang (trader) membeli kontrak minyak bukan untuk kegunaan segera, sebaliknya untuk dihantar pada masa hadapan (futures) – dengan harapan, harga minyak akan naik dalam tempoh tersebut dan beliau akan memperoleh keuntungan apabila menjualnya sebelum tarikh kontrak tersebut berakhir.

6. Apa jadi jika pedagang tersebut tidak menjualnya apabila tarikh tersebut tiba? Ya, minyak akan dihantar secara fizikal kepada pedagang tersebut. 

7. Sebagai contoh, ada seorang pedagang membeli 1000 tong minyak WTI pada Januari 2020 dengan kontrak minyak akan dihantar pada masa depan iaitu pada Mei 2020.  Beliau tentulah berharap agar harga minyak WTI akan naik dalam tempoh Januari ke Mei 2020.

8. Namun kita mengetahui bahawa COVID-19 melanda dunia lalu menjatuhkan permintaan dan harga minyak global.

9. Maka disebabkan harga minyak jatuh, pedagang tadi tentulah tidak ingin menanggung kerugian dengan menjual kontraknya itu pada harga yang jauh lebih rendah.

10. Jika pada Mei 2020 pedagang tersebut tidak menjual kontrak beliau kepada pihak lain, maka 1000 tong minyak akan dihantar secara fizikal kepadanya.

11. Masalah besar pastilah timbul apabila pedagang tersebut tidak memiliki kemudahan fizikal untuk menempatkan minyak tersebut.

12. Maka dalam konteks kejatuhan harga minyak WTI ini, ia adalah disebabkan gabungan dua faktor selain COVID-19 yang turut berperanan: pertama pengeluaran yang berlebihan hingga tangki simpanan minyak WTI di Cushing, Oklahoma hampir penuh. 

13. Faktor kedua ialah tarikh akhir bagi penjualan kontrak ‘trade crude oil futures’ minyak bagi penghantaran bulan Mei di New York Mercantile Exchange (NYMEX) yang ditetapkan pada 21 April 2020.

14. Akibatnya, penjualan panik oleh para pedagang (traders) secara besar-besaran di New York Mercantile Exchange (NYMEX) pada 20 April telah mengimpak kepada harga minyak WTI yang jatuh merudum hingga ke paras negatif!

15. Kejatuhan harga minyak WTI hingga ke angka negatif ini sebenarnya bermakna terdapat pemilik minyak dan kontrak WTI yang terpaksa menawarkan bayaran agar ada pihak sudi membeli minyak dan kontrak mereka untuk bulan Mei kerana mereka tidak memiliki kapasiti untuk menyimpan minyak tersebut secara fizikal.

16. Hal yang sama juga dilakukan oleh para pengeluar minyak WTI tersebut; mereka menawarkan bayaran supaya minyak mereka diambil – sekali gus menjadikan harga minyak bukan sahaja sifar, sebaliknya negatif kerana pengeluar yang terpaksa membayar kepada pihak ‘pembeli’.

17. Pihak pengeluar terpaksa mengambil langkah ini kerana mereka lebih sanggup untuk rugi dalam jangka masa pendek berbanding jangka masa panjang.

18. Dalam erti kata lain, mereka lebih sanggup menanggung rugi buat masa sekarang dengan mengeluarkan modal sendiri dan membuat bayaran kepada pihak yang sudi mengambil minyak mereka agar telaga minyak mereka boleh terus beroperasi.

19. Kerugian yang paling besar bagi para pengeluar ialah jika mereka terpaksa menutup dan menamatkan operasi telaga-telaga minyak mereka – maka lebih baik mereka keluarkan modal dan menanggung rugi buat sementara waktu dengan menawarkan bayaran supaya ada pihak yang sudi mengambil minyak mereka.

20. Dilaporkan bahawa terdapat ratusan hingga ribuan pengeluar minyak di Permian Basin, Amerika yang kini berdepan risiko terpaksa menutup pengeluaran minyak mereka akibat tangki simpanan minyak di Cushing yang semakin menghampiri paras kapasiti.

21. Untuk rekod, minyak WTI ialah minyak yang diekstrak dari telaga minyak daratan di Amerika Syarikat khususnya di Texas, Louisiana, dan North Dakota yang diangkut ke tangki simpanan minyak di Cushing, Oklahoma.

22. Hal ini berbeza dengan minyak Brent Crude yang diekstrak dari kawasan lautan dari North Sea.

23. Disebabkan minyak WTI diekstrak dari daratan di Amerika, maka ia perlu diangkut dan dipindahkan melalui saluran paip yang menjadikan kosnya lebih tinggi berbanding minyak Brent.

24. Harga minyak Brent Crude dianggap sebagai piawaian (benchmark) untuk harga minyak global, manakala harga minyak WTI pula piawaian bagi harga minyak di Amerika Syarikat.

25. Untuk memahami betapa gentingnya situasi ini, kita perlu melihat dari sudut pandangan sebagai kerajaan, bukannya sebagai pengguna yang mengisi minyak di stesen-stesen minyak.

26. Disebabkan kebergantungan kerajaan kita kepada pendapatan minyak telah dinaikkan oleh kerajaan terdahulu (pernah hingga ke paras 30 peratus), maka sebahagian kritikal saiz pendapatan kerajaan sekarang amat terdedah kepada naik turun harga minyak global – khususnya harga Brent Crude yang menjadi piawaian global (benchmark).

27. Pastinya kita berdoa semoga penyelesaian penamatan perang harga minyak Arab Saudi-Rusia – iaitu pemotongan pengeluaran minyak sebanyak 9.7 juta tong sehari mulai 1 Mei ini – akan memberi sedikit sebanyak kenaikan harga minyak global.

Abdul Muein Abadi
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and
Global Affairs, Leiden University, Belanda.



MR :  Apa yang berlaku sebab dunia ini berpusat kebendaan.. yang kaya nak cekik yang miskin


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.