Header Ads

ads header

Flash News

Mayat tergantung di pokok positif Covid-19


MAYAT lelaki tanpa identiti dipercayai warga asing yang ditemui tergantung di pokok di kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya, di Kota Kinabalu, 6 April lalu disahkan positif koronavirus baharu (Covid-19), semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, seramai 12 anggota polis yang bertugas mengendalikan mayat berkenaan sudah diarahkan menjalani saringan kesihatan.

Katanya, keputusan saringan terhadap anggota polis terbabit akan diperoleh dalam tempoh terdekat dan semua yang terbabit sudah diarahkan kuarantin diri di rumah masing-masing.

“Semua anggota yang terdedah sudah menjalani saringan kesihatan dan mereka juga diarah mengasingkan diri di rumah masing-masing sementara menunggu laporan kesihatan daripada hospital.

“Keputusan ujian itu dijangka akan siap hari ini. kita mendoakan semua anggota terbabit selamat daripada jangkitan virus berkenaan,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, semua anggota yang bertugas ketika itu mengenakan langkah-langkah pemakaian selamat termasuk memakai topeng muka dan sarung tangan.

Mengulas lanjut penemuan mayat itu, beliau berkata, lelaki terbabit dipercayai warga asing kerana tiada penemuan vaksin Bacillus Calmette-Guerin (BCG) pada lengannya.

Katanya, lelaki itu juga dipercayai membunuh diri dan mayatnya masih belum dituntut.

“Setakat ini, kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ketua Balai Polis Pulau Gaya Asisten Superintendan (ASP) Mohd Zulfikar Abd Salam di talian 0198009455,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi berkata, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Gaya berjalan lancar dan kerjasama daripada warga pulau berkenaan juga amat baik.

“Perkhidmatan pengangkutan biasa tidak dibenarkan ketika ini, namun hanya dua bot setiap kampung dibenarkan beroperasi membabitkan urusan penting.

“Oleh itu, penduduk di sekitar Pulau Gaya diminta supaya mengikuti arahan PKP sepenuhnya bagi mengelak penularan wabak Covid-19 ini,” katanya.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan