Header Ads

Header ADS

Muhyiddin pertahan jemaah menteri dari tuduhan tak bekerja ketika PKP


PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempertahankan anggota Kabinetnya daripada kritikan segelintir pihak yang mendakwa ada antara menteri yang tidak bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Muhyiddin berkata, fokus kerajaan pada masa ini untuk menyelesaikan wabak Covid-19 dan beliau sendiri menetapkan beberapa menteri sahaja akan menjadi jurucakap pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Masa dia rehat, rehatlah, masa bekerja, dia mesti bekerja. Saya kira walaupun keadaan sekarang ini dalam keadaan PKP, mereka seharusnya duduk di rumah tetapi saya sudah keluarkan arahan, mesti ada kerja yang dilaksanakan dan harus datang ke pejabat.

“Dalam keadaan sekarang ini, saya hendak menteri dan rakyat tahu apakah fokus kerajaan. Fokus kerajaan adalah soal isu Covid-19. Apakah langkah yang kita buat, sebab itu saya tentukan 1-2 jurucakap.

“Ia seperti Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob bercakap dari sudut kerajaan manakala Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah setiap 5 petang bercakap isu Covid-19. Jadi tidak terganggu,” katanya dalam temu bual khas, malam ini.

Muhyiddin sendiri memantau tugas yang dilaksanakan anggota Kabinet, dan sedar tidak banyak kenyataan media yang dikeluarkan menteri ketika ini.

“Bukan diam tetapi diam berisi. Ada tugas dan tanggungjawab yang mereka lakukan dan saya sendiri pantau. Dalam tempoh 2 bulan ini mereka tidak ada gaji pun.

“Jaminan saya, anggota Kabinet yang ada akan melaksanakan tugas dan amanah mereka walaupun dalam keadaan sukar,” katanya.

Katanya lagi, dalam tempoh PKP ini, ia juga memberi ruang untuk menteri mencari jalan yang terbaik dan merancang mengembalikan semula ekonomi ke kedudukan asal dan menambah baik kehidupan rakyat.

“Apabila sudah buka PKP, tanggungan kerja semakin bertambah. Kita kena cari jalan. Ini masa yang terbaik untuk lihat apa dalam kementerian mereka, apa yang harus diutamakan. Ini masa untuk kita rancang dan selepas itu kita laksanakan,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin turut memaklumkan ketika ini rakyat sendiri sudah muak untuk mendengar cerita berkaitan politik, khususnya mengenai keabsahan penubuhan kerajaan PN.

Sebaliknya, Muhyiddin memberitahu rakyat ketika ini lebih tertarik untuk mendengar mengenai apakah tawaran dan usaha yang diberikan kerajaan dalam usaha memperbaiki kehidupan mereka yang pada masa ini terjejas.

“Saya dalam keadaan sejak awal, duduk di kerusi perdana menteri, saya tidak fikir soal politik. Saya tahu rakyat sudah muak dengan cerita-cerita ini, mereka hendak tahu apa kerajaan buat, apa yang perdana menteri, jemaah menteri dan pentadbiran kerajaan lakukan untuk atasi isu penting yang mereka hadapi.

“Saya tidak pun dalam mana-mana kenyataan hatta sekarang ini pun hendak ulas mengenai soal politik. Nanti orang kata soal Covid-19 tidak selesai, dia hendak cerita soal parti dia, gabungan dia, yang ini rakyat tidak berminat, saya faham.

“Saya ingin lihat jemaah menteri ini berfungsi dan ini yang saya hendak buktikan,” katanya.


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Terbaik
    Syukurlah anugerah Allah kepada rakyat Malaysia
    PM prihatin rakyat dan negara sejahtera

    BalasPadam

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.