Header Ads

ads header

Flash News

Sekeping gambar, suatu cerita akhirnya menjadi suatu fitnah yang tersebar luar


SEKITAR tahun 2003, ketika aku masih berkerja di Perlis, aku sentiasa ke surau Haji Tajuddin Salleh di DUN Sanglang. Surau beliau sentiasa menjemput ustaz-ustaz bernama hebat di Perlis ketika itu seperti Mursyidul Am PAS sekarang, yang juga PJ PAS Perlis ketika itu, TG Dato’ Ustaz Hashim Jasin.

Antara nama besar lain ialah pakar feqah yang juga bekas pensyarah Universiti Islam Brunei, Ustaz Ahmad Ali. Beliau ketika itu baru balik dari Brunei bersama Dr Abdul Aziz Hanafi. Ketiga-tiganya menjadi ahli Majlis Syura Ulamak PAS ketika itu. Cukup untuk memberikan gambaran kehebatan ilmu mereka.

Suatu malam, aku bersama Adam Tan, rakan aku, mengikuti kuliah Ustaz Ahmad Ali. Ketika kuliah, beliau telah memasukkan sedikit kisah yang berlaku di Oman berkaitan anak derhaka. Menurut email yang diterima berserta dengan gambar itu, ia adalah seorang gadis bertukar menjadi rupa tikus akibat menderhaka.

Kami yang sudah mengetahui akan cerita itu sebenarnya cerita palsu, selepas habis kuliah memberitahu bahawa gambar itu telah di’crop‘ oleh seseorang dan disebarkan menjadi cerita. Ianya adalah gambar dari pameran. Beliau mulanya kurang yakin, maklumlah apa yang beliau dapat email bergambar, tetapi aku memberitahu secara mulut.

Akhirnya, beliau menerima keterangan kami berdua. Tetapi agak malang, salah seorang jemaah lain yang agak tua, telah membantah perkataan kami dengan katanya, dah ustaz dibagi orang gambar tu, betullah tu terjadi macam tu kat sana. Selamba jer dia membuat angin lintang di tengah-tengah keredaan itu.

Apa yang aku cuba sampaikan ialah semenjak dari dulu, akan ada orang yang menyebarkan fitnah, akan ada pihak yang percaya termasuk ulamak, akan ada golongan yang membetulkan, akan ada kumpulan yang membantah, akan ada juga manusia yang mempercayai fitnah, akan ada insan yang tertipu, akan ada manusia yang keliru.

Begitulah hebatnya fitnah walau cuba ditutup dengan agama sekalipun, ianya akan tetap berkembang sekiranya si jahil berkeliling dengan kita. Sumber tidak perlu disahkan, yang penting, sentimen. Apa yang terbuka dalam hati, mesti diluahkan. Bukan mengikut ilmu dan kehendak agama.

Maka benarlah kata-kata Abu Huzaifah berkenaan tafsiran hadis fitnah iaitu Saidina Umar adalah pintu kepada tertahannya fitnah. Sayangnya pintu itu dipecahkan, tiada dapat dibaiki lagi. Fitnah turun dalam kepingan hitam di malam hari yang gelap. Pagi menjadi Muslim, petang menjadi kafir dan sebaliknya.

Paling jahat ialah mereka yang sedar mereka adalah penyebar fitnah, tetapi menggunakan agama sebagai solekan bagi mengindahkan fitnah-fitnah mereka itu. Apabila mahu dibetulkan, mereka akan mengajak atau membentuk satu pasukan bagi membelokkan semula pembetulan itu. Bukan atas ilmu, tetapi atas kejahilan, jumlah yang ramai atau kebencian yang melampau.

Datanglah apa-apa hujah, ianya hanya dikata sebagai menunggang agama. Datanglah mana-mana ulamak, ia akan dituduh sebagai ulamak penjilat. Datanglah mana-mana saksi, mereka akan digelar sebagi si celaka yang menipu.

Lihatlah di sekeliling kita, bukankah ianya sedang bertebaran? Bukan orang jahil, tetapi yang selalu berkongsi ilmu agama. Jadilah mereka seperti keldai yang membawa kitab, begitu banyak ilmu di belakangnya, namun, tiada satu pun yang boleh diambil iktibar.

Jauhilah kita dari fitnah, ianya amat berat untuk ditanggung di akhirat.

MOHD NASIR ABDULLAH
27 April 2020



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan