Header Ads

ads header

Flash News

Ujian bersasar lebih berkesan berbanding ujian massa


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati ujian bersasar Covid-19 terhadap kumpulan dan kawasan berisiko tinggi memberikan hasil yang lebih baik berbanding ujian secara besar-besaran.

Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan ujian besar-besaran di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), kadar pengesanan yang terhasil hanyalah pada kadar 0.5 peratus.

Tegasnya, kadar itu jauh lebih rendah berbanding kadar 5.8 peratus kadar positif yang dapat dikesan melalui ujian bersasar yang dilakukan hanya ke atas kumpulan tertentu.

“Semasa (aktiviti pengesanan di kawasan yang dikenakan) PKPD, kami saring semua orang, sama ada mereka menunjukkan gejala atau tidak, sama ada mereka ini kumpulan berisiko tinggi atau tidak. Contohnya di Simpang Renggam dan Hulu Langat, kami lakukan macam ni.

“Apa yang kami dapati, bila kami saring semua orang di kawasan itu, kadar pengesanan bukan 5.8 peratus.

“Kami dapati hanya 0.5 peratus (daripada semua yang diuji). Maknanya kadar pengesanan adalah sangat rendah,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan Malaysia akan menyaksikan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 akibat amalan kini yang hanya menguji individu menunjukkan gejala.

Penggunaan PPE meningkat ketara

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, pihak berkuasa kesihatan mengambil 83,488 sampel untuk pengesanan Covid-19. Daripada jumlah itu, 4,817 didapati positif virus itu.

Ujian pengesanan Covid-19 di kawasan bukan PKPD hanya dibuat sekiranya seseorang itu menunjukkan gejala dan mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, terutama di lokasi berisiko tinggi, atau mempunyai kontak dengan pesakit positif.

Untuk rekod, setakat hari ini, KKM bergantung pada ujian tindak balas rantai polimerase-transkripsi balik (RT-PCR) bagi mengesan virus berkenaan.

KKM belum mengguna pakai kit ujian pantas (rapid test kits), memandangkan semua produk yang diuji mereka menunjukkan kadar sensitiviti yang rendah.

Kata Noor Hisham, berdasarkan data yang diperoleh, pendekatan ujian bersasar didapati lebih berkesan untuk KKM, terutamanya dengan situasi sumber terhad yang dialami mereka kini.



“Itu (hasil) didapati daripada pengalaman di kawasan PKPD. Kerana di kawasan PKPD kita saring semua orang.

“Data itu menunjukkan sama ada kita patut buat ujian terhadap semua orang, atau tumpukan kepada kumpulan yang berisiko tinggi,” tambahnya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kekurangan bekalan kelengkapan perlindugan peribadi (PPE) di hospital seluruh negara, Noor Hisham menjawab, kadar penggunaannya kini meningkat sebanyak 10 kali ganda berbanding kegunaan hari yang biasa.

“Setiap hari kita guna PPE. Kalau ventilator (alat bantuan pernafasan) berbeza, kita dah cukup (bekalan). Tak perlu pertambahan lagi. Tapi PPE ini cepat habis (consumable) sebab kita guna setiap hari.

“(Penggunaannya) Meningkat 10 kali ganda dari biasa. Apa yang penting adalah kena berterusan dapatkan PPE (untuk kegunaan) pusat dan negeri," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan sumbangan daripada NGO dan menggalakkan mereka menyumbang PPE kepada kementerian.

“Sekarang ada sekurang-kurangnya dua minggu boleh bertahan. Tapi masih buat perolehan dan akan aturkan perolehan setiap negeri dan hospital,” tambahnya lagi.




Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan