Header Ads

ads header

Flash News

‘DNA Umno’ akan wujud seketika tetapi tidak selamanya


PETALING JAYA: Ahli politik dengan latar belakang Umno akan terus menjadi calon yang disebut-sebut untuk memegang jawatan perdana menteri untuk beberapa ketika, kata penganalisis politik Chandra Muzaffar, mengulas pemerhatian seorang bekas menteri bahawa semua 8 perdana menteri sebelum ini adalah dari parti Melayu tersebut.

“Buat masa ini, saya melihat DNA Umno ini akan kekal menjadi ciri politik Malaysia, tetapi tidak akan kekal selamanya,” kata Chandra.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini berkata tidak ada seorang pun yang layak menjadi PM tanpa adanya “DNA Umno” dalam dirinya.

Shabery memberi contoh Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim, dan berkata kekuatan DNA Umno boleh dikaitkan dengan kemampuan parti itu membina ahli politik yang berkemampuan melalui strukturnya.



Chandra Muzaffar
Chandra berkata keadaan itu disebabkan dominasi sejarah Umno dalam pembentukan politik Malaysia.

Namun beliau berkata ia bukan sesuatu yang unik bagi Umno yang menyambut ulang tahunnya ke-74 awal minggu ini.

Beliau memberi contoh yang sama di India dan Jepun, mengatakan Kongres Nasional India dan Parti Liberal Demokratik Jepun berkuasa begitu lama. Ramai pemimpin kedua negara itu kini mempunyai kaitan dengan parti-parti itu, katanya.

Beliau berkata, sisa-sisa Umno tetap ada walaupun dalam kalangan ahli politik yang telah keluar parti.

Beliau menambah pelbagai faktor, baik positif mahupun negatif menyebabkan dominasi Umno. Beliau menyebut rekodnya dalam mentadbir dan membangun negara, tugasnya dalam mengangkat bahasa kebangsaan dan peranan Islam dalam kehidupan masyarakat serta kecenderungannya terhadap naungan politik.

Bekas ahli Parlimen, Tawfik Ismail berkata kekuatan jentera dan infrastruktur Umno membolehkannya merekrut dan melatih pemimpin serta mendapat sokongan di peringkat akar umbi.


Tawfik Ismail
Bekas ahli Umno itu berkata parti tersebut mempunyai kehadiran yang besar di negara ini dari segi jumlah cawangan dan ahli, dengan hanya PAS menghampiri jumlah tersebut.

“Untuk membuka cawangan, anda memerlukan sekurang-kurangnya 15 ahli jawatankuasa dan 50 ahli baru.

“Ini adalah nombor yang mudah dicapai dari kalangan ahli keluarga dan mereka boleh termasuk Pemuda dan Wanita untuk sayap masing-masing,” katanya.

Beliau berkata peranan Wanita dalam Umno sering diremehkan walaupun terdapat pengaruh besar dari tugas mereka dalam mengumpulkan sokongan suara.

“Tidak ada pihak yang dapat meniru tahap penglibatan wanita Umno dalam politik,” katanya.

Walaupun struktur parti itu bermaksud seorang pemimpin akan dilatih untuk bertahan dalam arena politik dan membina sokongan, katanya, itu menyukarkan golongan profesional yang mungkin tidak mempunyai waktu untuk melabur dalam politik akar umbi untuk masuk ke dalam hierarki parti.

“Terdapat ramai profesional seperti itu yang ditolak di peringkat cawangan Umno dan sekarang berada di parti lain seperti PKR atau PPBM.”

Penganalisis politik, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, beliau yakin Umno membangun hasil gabungan proses latihan dan pengukuhan dalam politik Malaysia.

Katanya, sistem hierarki Umno memastikan pemimpinnya akan menjalani latihan yang diperlukan. Ini akan berlaku walaupun terhadap darah keturunan politik seperti bekas perdana menteri Najib Razak, di mana bapanya, Abdul Razak Hussein juga bekas perdana menteri, tambahnya.

“Najib melalui sistem ini dan membuktikan dia adalah material PM,” katanya.

Namun beliau juga berkata sukar menghindari pengaruh Umno kerana politik Malaysia hanya melibatkan kalangan ahli politik yang kecil.

“Dengan Umno begitu sinonim dengan politik Malaysia, ahli politik dan orang awam juga pasti akan dihujani pengaruh Umno.

“Inilah sebabnya mengapa naratif bahawa Malaysia memerlukan Umno sangat umum dan mengapa ia masih mendapat banyak sokongan, terutama di kawasan Melayu.”

Katanya, Umno perlu menyedari naratif itu tidak akan kekal selamanya, memandangkan generasi muda rakyat Malaysia cenderung untuk memberikan sokongan sentimental yang mementingkan keputusan.

MR :  DNA UMNO masih menebal dalam Atok 22 tahun dia perosakkan UMNO


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan