Header Ads

Header ADS

Gulai biawak untuk hidangan ahli debat


PADA
awal November 2009, telah meletus satu isu di negara ini apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menahan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin (sekarang dilantik semula sebagai mufti) kerana berkuliah tanpa tauliah di Selangor. Susulan dari itu, seorang Pegawai JAKIM, Ustaz Zamihan Mohd Zain telah menuduh bekas mufti itu memalsukan sijilnya. Ia sebenarnya perbalahan panjang antara kedua-dua tokoh agama ini kerana perbezaan aliran pemikiran. Biasa orang Melayu menyebutnya Kaum Muda – Kaum Tua.

Ketika kami bersembang-sembang pasal ‘gaduh’ Asri-Zamihan ini, tiba-tiba Ustaz Hassan menyampuk, “Isu lama ini. Sejak dulu tak selesai-selesai. Banyak kerja kita tebangkalai sebab isu-isu macam ini. Musuh suka sangat kalau gaduh-gaduh pasal benda ini.”

Kami tergamam. Tak faham apa yang Ustaz maksudkan. “Kenapa pula lama Ustaz? Maza dengan Zamihan ini baru je gaduh. Apa yang lama?” saya meminta penjelasan lanjut dari Ustaz.

“Kamu orang muda, mana tahu,” Ustaz mengembalikan paku buah keras.

“Story la sikit Ustaz. Cerita pasal apa?” kami meminta Ustaz menjelaskan dengan lebih lanjut.

“Zaman ana budak-budak dulu, di belah Penang dan Perak Utara, terkenallah dengan Haji Ibrahim Aqibi. Orang kuat Kaum Muda… Macam Asri itu lah. Kat Kuala (Kangsar) ada seorang pengikut dia, menantu Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Yahya Arif namanya. Dia ada toko buku kat Kuala itu.

“Dulu masa PAS baru tubuh, ulamak-ulamak tak kira yang Kaum Muda, Kaum Tua, ustaz madrasah, tok guru pondok semua sokong PAS sebab nak merdeka dengan Islam. Orang Kaum Muda ini laju (progresif). Jadi Haji Ibrahim Aqibi ini, dialah yang mula-mula buka cawangan PAS di Pulau Pinang. Itu cawangan PAS yang pertama. Lepas itu PAS tubuh Dewan Ulamak PAS, Haji Abdullah Fahim Mufti yang jadi ketua.

“Masuk bulan puasa tahun ’52 itu, timbul perbalahan. Mula-mula geng Kaum Muda kata kita bulih start puasa dengan hisab, Mufti itu jawab lagi bagus rukyah (tengok anak bulan). Bila puasa dah mula, geng Kaum Muda kata, terawih ini lapan je, Mufti itu jawab, kena 20. Dah dekat nak raya, geng Kaum Muda kata fitrah kena bayar dengan beras, Mufti kata, dengan duit pun bulih. Itulah, asal-asal ulamak gaduh dalam PAS. Benda-benda khilafiyah,” Ustaz dah mula bersyarah panjang. Kami tekun mendengar.

“Lepas itu apa jadi Ustaz?” saya memancing jawapan Ustaz.

“Merebaklah pada isu lain pula. Isu solat Jumaat tak cukup 40 orang, isu talkin, isu tahlil arwah 40 hari, isu wanita masuk politik dan macam-macam lah… Ada 16 isu rasanya. Lepas itu, ramai pula ulamak yang terlibat. Sheikh Tahir (Jalaluddin), Hassan Bandung, Ustaz Abu Bakar al-‘Asyari, Sheikh Fadhlullah Suhaimi, Haji Ahmad Fuad (Hassan). Ramailah.

“Sebab itu lah PAS buat Muzakarah Ulamak masa itu, nak selesaikan benda ini lah. Tapi tak berjaya, sebab Kaum Muda tak datang. Lepas itu, Kaum Muda pula buat muzakarah di Sekolah Cina Chung Hwa, Kaum Tua pula tak datang. Tak berkesudahanlah. Akhirnya ulamak-ulamak Kaum Muda tawaquf (tidak aktif) dah dengan PAS masa itu, kerana kata PAS dikuasai oleh Kaum Tua,” Ustaz menjelaskan akibatnya.

“Sape yang untung?” tiba-tiba Ustaz bertanya pada kami.

“Musuhkan?” Ustaz sendiri yang memberi jawapan dalam bentuk pertanyaan, yang membuatkan otak kami berfikir.

“Sebab gaduh benda khilafiyah, gerakan Islam berpecah. Ulamak-ulamak bercakap benda remeh (maksudnya furu’), benda dasar… nak merdeka, negara Islam, laksana syariat, amar makruf nahi mungkar, halau penjajah… Habis entah ke mana,” Ustaz macam marahkan kami pula. Sebenarnya Ustaz nak kami faham dan mengambil ibrah dari pengalaman itu. Bergaduh benda furu’ tidak akan mendatangkan manfaat, bahkan menyebabkan umat Islam berpecah dan jihad terabai. Tajam betul pukulan Ustaz kali ini.

“Lepas itu, Haji Ibrahim Aqibi itu buat apa Ustaz?” saya terus mendesak Ustaz untuk bercerita lebih lanjut.

“Kaum Muda ini bergerak sendiri dalam pergerakan Muhammadiyah di Pulau Pinang. Di Perlis mereka kuasai Kerajaan kerana Sheikh Ahmad jadi Menteri Besar.

“Masa itu kecoh juga di Utara, sebab Sheikh Abu Bakar al-‘Asyari tulis buku Ibadat Rasulullah. Ulamak-ulamak tua banyak yang tolak buku ini. Sultan-sultan sama. Di Perak buku ini haram.

“Jadi berlakulah beberapa siri debat masa itu antara kedua-dua group ulamak ini. Pada suatu hari, berlaku debat di Perak. Dia orang jemput Haji Ibrahim Aqibi berdebat pasal fatwa Sheikh Abu Bakar al-‘Asyari bahawa tidak haram makan biawak.

“Debat itu berlangsung dari pagi sampai petang. Jadi tengahari itu, berhenti rehat makan tengahari dulu. Masa makan itu, penganjur telah hidangkan ‘gulai biawak’ untuk Haji Ibrahim Aqibi, sebab dia sokong fatwa tak haram makan biawak.

“Sampai begitu sekali,” komen Ustaz terhadap sikap berlebih-lebihan kedua-dua pihak dalam mempertahankan pendapat fekah mereka, walhal perkara khilafiyah.

“Haji Ibrahim makan ke biawak itu, Ustaz?” saya melanjutkan pertanyaan.

“Tak. Dia kata, saya kata harus makan, sebab takde dalil yang mengharamkannya. Bukan saya kata saya nak makan,” jelas Ustaz.

“Sekitar akhir 1950-an, ada satu debat lagi di Kelab Saadah, ana hadir,” Ustaz membuka cerita baru.

“Haji Ibrahim Aqibi lagi ke Ustaz? Isu apa?” saya cuba mendapatkan kepastian dari Ustaz.

“Ya. Isu khilafiyah ini juga la. Yang ana ingat, masa debat itu berlangsung, ulamak yang wakil Kaum Tua diserang oleh Haji Ibrahim Aqibi kerana bertaqlid dengan ulamak-ulamak. Tidak mengambil terus dari Nabi.

“Jadi Tuan Haji mengambil Hadis terus dari Nabi atau dari ulamak? Tanya ulamak Kaum Tua itu pula.

“Haji Ibrahim Aqibi menjawab, dari ulamak Hadislah. Mana sempat jumpa Nabi.

“Kalau macam itu, Tuan Haji pun bertaqlid dengan ulamak juga. Sama macam kami.

“Terkedu Haji Ibrahim Aqibi. Tak dapat menjawab,” Ustaz bercerita mengenai debat itu.

“Dalam debat ini, masa tengah-tengah debat, tiba-tiba Haji Ibrahim Aqibi jatuh. Lepas itu terus meninggal dunia,” Ustaz melanjutkan kisah kematian mengejut Haji Ibrahim Aqibi ketika sedang berdebat itu.

Innalillahi wa inna ilaihi raajiuun…

MOHD FADLI GHANI

MR :  Manusia suka berbalah dengan perkara yang kecil


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


3 ulasan:

  1. Ahlisunnah wal jamaah vs wahabi

    BalasPadam
  2. Golongan ini banyak.
    Yang nama Ikram, yang nama IRC, yang nama Jim, ABIM, MSM.
    Ya Allah.
    Tang politik mereka ini sangat lemah.
    Asyik nak cari gaduh dengan PAS sahaja.

    Cakap Islam berdegar degar, tapi tak mahu kerjasama dengan PAS.
    Kita bukan nak depa masuk PAS, nak minta sokongan pun kita tak mahu, tapi janganlah serah kita. Sebab bila kamu serang kita, DAP banyak suka hati.

    Yang nama PAN ni satu lagi. Tak habis habis serang PAS. Masa berkuasa dahulu satu hapa pun tak buat.
    Ada satu lagi spesies Wan Ji. Cakap berbelit belit.

    Satu saja saya nak pesan PAS. Istiqamah lah jalan Allah. Golongan Muktazillah, Munafik dan geng Al Ahzab ada waktu sejak nabi Muhammad lagi. Jangan bagi muka kat mereka ni.
    Kalau ikut aku aku maki hamun aje golongan ni sebab mereka ni lagi buruk daripada orang kafir.

    BalasPadam
  3. Gajah sama gajah begaduh .pelanduk tesepit d tengah..

    BalasPadam

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.