Header Ads

Header ADS

Kedah Bertukar Tampuk Pemerintahan: Menghijaukan Negeri Jelapang Padi


Kurang daripada seminggu umat Islam akan menyambut hari lebaran, ironinya rakyat Kedah pula mendapat kerajaan baru dengan berlakunya pergeseran dalam politik PKR. Bukan sekadar pakaian baru, langsir dan hiasan baru sempena meraikan satu Syawal, namun mendapat juga kerajaan baru dan Menteri Besar baru. Teori domino yang menjadi sebutan dalam era perang dingin dan persaingan blok komunis-kapitalis kini diratib semula. Kejatuhan satu petak akan membawa kepada kejatuhan petak-petak yang lain, kini selepas Johor, Melaka, Perak maka Kedah bertukar tampuk pemerintahan.

Seorang mantan MB Kedah daripada BN pernah menyebut tentang korelasi antara "padi, pondok dan PAS" dan beliau merujuk kepada fenomena kekuatan PAS di negeri jelapang padi ini.Tuan Guru Othman al Yunusi telah menubuhkan PAS pada 6 september 1952 di Madrasah an Nahdah Bukit Besar, dengan dokongan agamawan dan para asatizah. Semenjak awal PAS berkubu di pondok dan Sekolah Agama Rakyat di seluruh negeri Kedah. Cawangan pertama PAS di Kedah ialah di Bukit Besar, manakala tokoh muda PAS seperti Ustaz amaluddin Darus telah berusaha untuk mengembangkan PAS di negeri Kelantan. Almarhum Ustaz Amaluddin juga telah menemui guru-guru pondok di Kelantan untuk menerangkan nuansa perjuangan PAS sehingga Kelantan menjadi pengkalan kuasa kepada PAS semenjak dekad 1950an.

Berbeda dengan Terengganu ataupun Kelantan, Kedah agak unik dengan pengaruh PAS berkubu kuat di kawasan agrarian, dimana institusi pondok dan sekolah agama rakyat berfungsi untuk mencerdaskan rakyat. Manakala di Terengganu dan Kelantan pula, semakin terperusuk jauh di pedalaman maka UMNO semakin bertakhta merantai fikiran dan akal budi rakyat.

Negeri yang pernah berdaulat Raja Merong Mahawangsa ini juga tak lekang dengan sejarah pertembungan, pembantaian, serta melahirkan ramai tokoh-tokoh pimpinan pelbagai parti politik. Pada tahun 1955 telah berlangsung Rundingan Baling antara pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan pimpinan PKM. Namun pemberontakan Bintang Tiga gagal untuk ditamatkan dengan perjanjian tersebut.

Pada tahun 1974 berlaku bantahan awam di Baling Kedah akibat kegelisahan sosio ekonomi rakyat jembel dan mahasiswa. Peristiwa yang memicu kebangkitan gerakan mahasiswa ini berakhir dengan tangkapan ISA besar-besaran kepada pimpinan pelajar di seluruh negara. Pada tahun 1980 pula, regim BN telah menahan pimpinan pemuda di kedah akibat demonstrasi padi. Antara yang ditahan ialah Ustaz Abdul Halim Arsyad, Ustaz Othman Marzuki, Haji Rafie, Haji Salahudin Mansor dan lain-lain tokoh pemuda.

Kedah memahat sejarah dengan pembunuhan aktivis PAS, Ustaz Othman Talib pada tahun 1985 di Felda Lubuk Merbau, Padang Terap dalam Pilihanraya Kecil. Pada 19 November 1985 Tragedi Memali telah mencuri lensa berita dalam dan luar negara. 14 orang ahli-ahli PAS telah dibunuh termasuk Ustaz Ibrahim Mahmud dalam peristiwa berdarah yang kekal menjadi bagasi sejarah kepada regim Dr Mahathir.

PAS kedah terus bangkit mempersada perjuangan, menyemarakkan jihad ta'lim seperti suburnya jaringan sekolah rendah SRIDU. Pimpinan PAS Kedah iaitu Almarhum Ustaz Fadhil Noor yang terinspirasi dengan kompleks Jamiat Islami di Pakistan maka lahirlah Muassasah Darul Ulum di Pokok Sena. Kolej Islam Darul Ulum adalah lambang kesungguhan Perhubungan PAS Kedah untuk mencetak generasi kepimpinan dan keseriusan membina perkaderan.

Usaha membina Muassasah Darul Ulum dibayar dengan harga yang sangat mahal termasuk dengan tangkapan ISA yang dikenali sebagai Operasi Kenari pada tahun 1988. Aktivis PAS Kedah terus bangkit melebarkan pengaruh perjuangan Islam, sehinggalah pada tahun 2008, PAS Kedah telah berjaya merengkuh kekuasaan.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato Seri Azizan Razak telah dilantik sebagai MB Kedah yang kesepuluh. Almarhum dalam tempoh sepenggal pemerintahan telah berjaya melakarkan pelbagai kejayaan yang sangat manis. Antaranya pemerkasaan pendidikan tinggi, pengupayaan ekonomi walaupun negeri ini terhad dengan sumber khazanah.

DS Ustaz Azizan Razak mantan Pensyarah kanan FPI UKM, dengan pakej kompetensi, karisma kepimpinan dan keteguhan visi mampu menjadikan negeri Kedah cemerlang. Kegiatan jihad pendidikan sangat subur, maahad tahfiz dan madrasah seperti cendawan tumbuh selepas hujan di negeri Jelapang padi negara ini. Usaha menjadikan Kedah sebagai negeri berbudaya ilmu agak terencat di zaman PH memerintah apabila halangan demi halangan berlaku kepada aktiviti kuliah-kuliah agama di masjid. Pendakwah dan tokoh-tokoh agama yang pernah dihalang menyampaikan ilmu seperti Ustaz Ahmad Dasuki, Dato Tuan Ibrahim, Ustaz Nasuruddin Daud, Ustaz Husam, Ustaz Nasrudin Tantawi dan puluhan yang lain.

Berita pertukaran kerajaan dan perlantikan ADUN Jeneri, YB Mohd Sanusi Mohd Nor yang juga mantan Setiausaha Politik Almarhum Ustaz Azizan sebagai Menteri Besar Kedah yang baru seperti khabar gembira yang paling indah sempena lebaran musim PKP ini. YB Mohd Sanusi adalah tokoh yang layak menakhoda negeri Kedah dengan segudang pengalaman mentadbir bersama Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak. Beliau yang juga aktivis bantuan kemanusiaan, terlibat dengan banyak misi-misi dalam dan luar negara, membantu peta luka umat Islam. Sebagai Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat dan juga Ketua Pembangkang DUN Kedah sebelum ini. Kedah akan dipacu dengan model berkerangkakan Syariah dan menjadi negeri pengkalan kuasa kepada PAS, selain daripada Kelantan dan juga Terengganu.

Dr Ridun Muhammad Nor
AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI


MR :  Menunju kepimpinan Islam


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.