Header Ads

ads header

Flash News

Sejak seminggu, lebih separuh kes baru Covid-19 jangkitan tempatan


Dengan perancangan kerajaan untuk melonggarkan sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula Isnin depan, timbul kebimbangan langkah itu terlalu awal.

Data berkenaan kes Covid-19 di Malaysia sejak 25 April, iaitu dalam seminggu ini, menunjukkan lebih separuh daripada 380 kes baru adalah jangkitan tempatan atau daripada komuniti.

Secara khusus, 248 atau 65.3 peratus kes adalah penularan dalam komuniti, berbanding 132 kes dari luar negara (34.7 peratus).

Daripada jangkitan dalaam komuniti, 179 kes atau 72.2 peratus adalah di Kuala Lumpur dan Selangor.

Pemerhatian lebih teliti terhadap data tersebut menunjukkan 73.4 peratus daripada kes di Kuala Lumpur dan Selangor berlaku di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan sekitarnya.

Bagaimanapun terdapat peningkatan jangkitan di kawasan yang tidak dikenakan PKPD hari ini, dengan 32 daripada 52 kes di Lembah Klang berlaku di situ.

Secara keseluruhan, 132 kes atau 54.4 peratus daripada jangkitan komuniti di seluruh negara sejak 25 April lalu berlaku di kawasan yang tidak dikenakan PKPD.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kebanyakan sektor ekonomi dan sosial dibenarkan bersambung semula bermula Isnin ini, termasuk restoran.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga mengeluarkan sejumlah prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan gelombang jangkitan baru.

Kementerian Kesihatan menyokong langkah itu, dengan berkata Malaysia kini masuk ke fasa pemulihan dan ada keperluan untuk menyeimbangkan tuntutan harian.

Bagaimanapun bekas perdana menteri Najib Razak antara pihak yang kurang setuju dengan pelonggaran tersebut.

Membangkitkan penularan dalam komuniti, Najib berkata kerajaan sepatutnya mengambil langkah secara beransur-ansur.

"Apa keperluan untuk beri kelonggaran begitu besar secara serentak bermula Isnin depan walaupun fasa keempat PKP ini hanya akan berakhir pada 12 Mei?

"Slow and steady. Sektor demi sektor, secara beransur-ansur. Tak perlu gelojoh sangat," katanya di Facebook.

Menurutnya, pelonggaran tersebut membawa risiko kenaikan kes yang akan menyebabkan sukar diuruskan petugas kesihatan.

Katanya lagi, kerajaan sepatutnya memberikan masa sehingga 11 Mei untuk perniagaan membuat persediaan.

Langkah melonggarkan sekatan dibuat ketika kadar kes sembuh Covid-19 di Malaysia hampir mencapai 70 peratus, dengan hanya 1,758 kes aktif daripada jumlah keseluruhan 6,071 kes.

Hari ini juga menandakan hari ke-17 berturut-turut bilangan kes baru tidak melebihi angka 100.


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan