Header Ads

ads header

Flash News

Periksa suhu badan, makan dalam kelas waktu rehat antara garis panduan KPM


Pemeriksaan suhu badan di sekolah dan makan di dalam kelas pada waktu rehat antara kebiasaan baru bakal diamalkan oleh pelajar apabila sekolah dibuka kelak.

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata garis panduan itu menetapkan pemeriksaan suhu badan dilakukan oleh guru setibanya pelajar di pintu pagar sekolah dan sekiranya mereka bergejala tindakan selanjutnya akan diambil.

"Kita juga sedar pelajar ini kadang-kadang ke sekolah berjalan kaki, ada yang naik basikal dan suhunya tinggi sedikit daripada 37.5 darjah celsius...pelajar ini akan diminta berehat dahulu bagi memastikan suhu badan mereka kembali normal dan suhu diperiksa sekali lagi.

"Setiap sekolah juga memang kena ada bilik isolasi iaitu jika pelajar menunjukkan sebarang gejala maka mereka akan dibawa ke sini dan pihak sekolah selain menghubungi ibu bapa, juga akan berhubung dengan Pusat Kesihatan berdekatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas lawatan kerja bagi persediaan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Keselamatan Negara Mohd Rabin Basir dan Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim.

Kebiasaan baru itu antara kandungan dalam Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mula diedarkan kepada sekolah dan dimuat naik di laman sesawang kementerian itu hari ini.

Garis panduan setebal 34 muka surat itu dihasilkan secara terperinci dan menyeluruh bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Mohd Radzi berkata ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai aspek penjarakan sosial ketika anak mereka di kantin memandangkan waktu rehat dijalankan secara berperingkat dan semua pelajar perlu makan di dalam kelas masing-masing.

"Pelajar perlu membeli makanan berbungkus dan mereka akan beratur mengikut garisan yang ditetapkan dengan jarak satu meter antara satu sama lain sebelum pulang ke kelas masing-masing untuk makan.

"Jadi, keadaan di kantin lebih tersusun dan ibu bapa tidak perlu risau anak-anak berebut ke kantin kerana masa rehat akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan tidak semua pelajar berkerumun di kantin dalam satu-satu masa tertentu...kita akan menjarakkan waktu rehat," katanya.

Bagi memastikan penjarakan sosial antara pelajar terjaga, Mohd Radzi menjelaskan susunan meja bagi setiap kelas mesti dalam jarak satu meter dan sekiranya bilangan pelajar melebihi kapasiti meja disediakan, lebihan pelajar mesti ditempatkan di kelas lain.

Katanya, kedudukan pelajar di dalam makmal juga dijarakkan antara satu sama lain bagi membolehkan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan baik dan selamat.

Mengulas mengenai pergerakan pelajar dalam kawasan sekolah pula, beliau berkata arah laluan pelajar akan ditanda dengan anak panah bagi mengelakkan pertembungan berlaku.

Selain itu, katanya, guru-guru juga tidak perlu khuatir kerana mengikut garis panduan yang dikeluarkan, keselamatan dan kesihatan mereka turut dititikberatkan oleh kementerian.

"Guru-guru tidak perlu risau mereka akan bersesak-sesak dalam bilik guru, kerana pihak sekolah perlu memastikan terdapat penjarakan sosial walaupun dalam bilik guru. Guru-guru yang dipindahkan dari bilik guru asal akan ditempatkan di bilik bersesuaian termasuklah pusat sumber dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata kementerian turut mengeluarkan garis panduan sama bagi pelajar tinggal di asrama iaitu katil mereka dijarakkan satu meter malah dewan makan yang disediakan turut menitikberatkan penjarakan sosial antara pelajar.

Menurut beliau, apabila sekolah dibuka pihaknya melihat pelaksanaan garis panduan itu dan sekiranya terdapat ruang untuk penambahbaikan, ia akan dilakukan bagi memastikan pelajar hadir ke sekolah mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam keadaan selamat.

"Kita amat berharap anak-anak nanti apabila datang pastikan penjarakan sosial itu sentiasa diamalkan di sekolah dan sepanjang perjalanan mereka datang dan balik dari sekolah," kata Mohd Radzi.

- Bernama



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan