Header Ads

Header ADS

Surat terbuka kepada ahli AMANAH


ZULKAEDAH
menjengah tiba dan bulan ini sarat dengan peristiwa dalam sirah ar Rasul SAW. Antara peristiwa politik dakwah yang terakam dilangit sejarah ialah peristiwa Perjanjian Hudaibiah pada tahun enam Hijrah, kebijakan seni politik dakwah ar Rasul yang akhirnya menyaksikan kemenangan demi kemenangan kepada perjuangan Islam. PAS dengan matlamat dan dasarnya yang terikat dengan Islam mengambil petunjuk daripada al Quran dan hadith Nabi SAW, mengambil pengajaran daripada sirah ar Rasul serta Jilul Quran.

Bahtera politik dakwah ini telah merempuh gelora badai selama 69 tahun, dengan mengadakan pelbagai pendekatan disektor siasah, dakwah dan tarbiah. Kebijakan politik dipandu oleh Majlis Syura Ulama, setiap keputusan jamaah disaring dan ditapis dengan ketelitian. Sebelum PRU-14, ada yang mentertawakan kenyataan Presiden PAS bahawa parti Islam ini akan menjadi king maker, namun hari ini mulut mereka terkunci dan tersipu malu. PAS terus dihujani ahli-ahli baru terutama kelompok anak muda, sebagai indikator bahawa masa depan harakatul ummah ini sangat benderang. Mesyuarat PAS Pusat terkini (26 Jun 2020) juga telah meluluskan seramai 3,331 orang ahli baru. Setiap bulan ribuan ahli baru mendaftarkan diri sebagai pendokong PAS kerana melihat halatuju PAS yang jelas.

Pergolakan PAS 2015 menatijahkan PAS kehilangan sebahagian ahli, bermula dengan 18 pemimpin yang tewas dalam Muktamar kali ke 61 maka mereka menamakan diri sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB), seterusnya membeli Parti Pekerja dan menjenamakan sebagai Parti Amanah Negara (PAN). Kemasukan en bloc teman-teman NGO tertentu, ahli-ahli PAS yang terkeliru serta kempen agresif parti sekutu DAP itu sedikit sebanyak PAS. Kemenangan PH dalam PRU-14 seolah memberikan nyawa kepada mereka, teringat aku dengan sikap membusung dada pemimpin PAN, bukan sekadar dimedia sosial, juga dialam nyata.

Selama 22 bulan mereka ditampuk dan koridor kuasa, masyarakat Islam negara ini melihat betapa lemahnya pemimpin PAN menjaga Islam dan ummat Islam. Mereka seolah “rubber stamp house” kepada pemimpin-pemimpin DAP, pola simbiosis ini difahami kerana latar sejarah penubuhan mereka sejak 2015. Sejak mereka berkuasa lagi, disedari sedikit demi sedikit bekas penyokong PAS mula tawaquf dalam aktiviti kerajaan PH dan mula bertanya khabar untuk pulang bersama PAS. Ramai yang tersedar budaya berorganisasi PAS tidak sama dengan mana-mana parti, PAS bukan sekadar memburu kuasa untuk melaksana dan meNjaga Islam namun program amal tarbawi yang berjalan kepada ahli-ahli mereka.

Tiga bulan terakhir ini juga semakin galak bekas ahli-ahli PAS mula bertanya khabar untuk kembali berpaut dengan PAS, daripada tanah Selatan Johor sehinggalah ke bumi Sabah. Dalam serangan menggila serangan pemimpin PAN akibat hilang kuasa, maka ahli-ahli mereka mula menyedari apakah matlamat perjuangan parti serta sikap pemimpin mereka, bukan sekadar dengan masalah peribadi namun haibah sebagai qiadah jamaah. Perjuangan untuk tembolok peribadi atau untuk menegakkan Islam, maka kita semua nampak dengan benderang.

Ayuh kawan-kawanku ahli PAN!, pintu harakatul ummah ini terbuka buatmu, jangan merasa malu dan tertampar kecewa. Pintu markas tarbiah tetap ceria dengan program usrah, iftar jamaie, liqa fikri dan pelbagai program. Usah terkeliru memilih kerana kehidupan ini sangat singkat, lihat juga bagaimana penghujung akhir kehidupan pimpinan PAS. Nampakkan?.

Aku teringat akan kenyataan seorang tokoh PAN yang mendakwa parti itu sebagai generasi kedua parti Islam sebagaimana AKP di Turki, An Nahdah di Tunisia dan PKS di Indonesia. Jauh panggang daripada api untuk membayangkan sejarah gerakan Islam lain dengan kumpulan serpihan yang dirancang dengan konspirasi dan pengkhianatan terhadap kumpulan Islam yang sediada di tanah leluhur ini.

Teman-teman PAN perlu bercermin dengan sejarah yang lurus bahkan untuk anak-anak muda yang baru mengenali dunia amal Islami perlulah menekuni sejarah jatuh bangun gerakan Islam diseluruh dunia. PKS atau Parti Keadilan Sejahtera yang asalnya bermula dengan nama Parti Keadilan muncul selepas ruang demokratik yang terbuka luas pasca Reformasi Mei 1998 di Indonesia. Tanah seberang yang dijarah Belanda selama 350 tahun itu turut menyaksikan bagaimana MASYUMI atau Majlis Syura Muslimin Indonesia ditubuhkan pada tahun 1945 oleh Dr Mohamad Natsir.

MASYUMI yang menjadi pesaing kuat kepada PNI yang dipimpin oleh Ir Soekarno telah diharamkan oleh regim sehingga menumbuhkan beberapa lagi beberapa sepert gerakan Dewan Dakwah Islamiah Indonesia. Di zaman ORBA pula, hanya satu parti Islam yang dibenarkan bergerak iaitu PPP atau Partai Pembangunan Persatuan. Dengan tumbangnya Soeharto pada Mei 1998, ruang demokratik membuka seluas pintu untuk warga Indonesia berekspresi sebebasnya, termasuk ruang demokratik. Namun kegilaan baru tercetus apabila puluhan parpol bernuansa Islam diwujudkan sehingga lemahkannya kesatuan ummah dan impaknya dapat dirasakan hari ini. Ummah berpecah merebut kek kekuasaan, ironisnya parti pragmatis sekular, bahkan parti berbasis kristian menyatukan kekuatan di negara paling ramai muslim dalam dunia itu. Kekalahan parpol-parpol Islam telah mengheret ummah dalam duka dan kerugian, lihatlah dasar pemerintahan Jokowi, juga Ahok di Jakarta.

AKP lahir melalui sejarah panjang perjuangan Islam di Turki,setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniah yang pernah memayungi 600 tahun lebih bumi umat Islam. Kemunculan harakatul ummah seperti Jamaah an Nur yang diinspirasikan oleh tokoh pencerah Turki, Sheikh Badiuzzaman Said Nursi sentiasa digugat musuh. Berakar daripada gerakerja dakwah Jamaah an Nur melahirkan kemudiannya parti politik bernuansa Islam seperti parti Milli Salamah, seterusnya Refah, Fazilet Party.

Perpecahan Parti Fezilet telah memunculkan dua aliran sekolah pemikiran, AKP dan Saadet yang kini menyaksikan AKP sedang mendahului Saadet yang lebih puritan dan fundamentalis. Demografi negara Turki dengan euforia sekular yang masih kuat memungkinkan persaingan dimenangi oleh AKP berbanding Saadet. Realiti Turki yang serba pragmatis jauh berbeda dengan watan kita, dimana Islam diamalkan dengan lebih membumi dan mendalam.

An Nahdah pula menjadi pencabar regim Habib Bourguiba dalam dekad 1980an di negara yang sangat memusuhi amalan Islam. Rashid Ghanoushi, mantan penyokong aliran Sosialis telah menukar kiblat perjuangannya kepada seruan Islam yang syumul. Sosok hebat ini dengan pantas menyihir perhatian peserta generasi kebangkitan Islam Tunisia dalam dasawarsa 80an, sehingga parti Islam an Nahdah telah diharamkan regim Baath. Lebih tiga ribu pimpinan serta pendokong an Nahdah mendekam dipenjara Tunisia, Ghanoushi mendapat suaka politik di London. Beliau kembali menjadi sebutan warga Tunisia pasca Arab Spring dan pulang kembali ke Tunisia seperti kesatria barisan hadapan.

Sesepuh hebat ini menghidupkan kembali an Nahdah yang diharamkan dalam dekad 80an serta reinkarnasi an Nahdah telah disambut dalam semarak kebangkitan rakyat pasca Arab Spring. An Nahdah dalam reinkarnasi baru ini mewajahkan mereka sebagai “Islamis demokrat”, meninggalkan wajah mereka dalam dekad 80an. Seruan pemulihan sosioekonomi, tatakelola kerajaan yang baik, merapatkan jurang kaya miskin menjadi agenda an Nahdah dalam pusingan kedua ini.

Dimana PAN jika ingin dibandingkan dengan karektor dan sejarah tiga parti Islam tadi. Mereka lahir daripada kekalahan pemilihan muktamar PAS ke 61 dengan membawa bagasi sejarah, mereka muncul dalam keadaan PAS masih utuh dengan dasar dan prinsip Islam. Dimana kesalahan syarak PAS untuk dirungkaikan intima’ dan ketaatan kepada harakatul ummah itu?. Ayuh ,buka minda kalian, lima tahun ini cukup bagimu untuk mengartikulasi perjalanan, orientasi, nuansa dan halatuju pimpinan PAN. Adakah parti ini signifikan dalam usaha menjadi kuasa semak dan imbang semasa 22 bulan berkuasa?, bagaimana simbiosis dap dan pan seolah saudara kembar siam, lihat sahaja isu terkini dalam pemilihan PM kesembilan. Anwar Ibrahim hanya mengigit jari dengan permainan kuasa pemimpin PAN, itulah karektor dan wajah sebenar mereka. Khalass!

Jom untuk bekas ahli-ahli PAS dalam PAN ,kembali bertaut dan mengakar serta merimbun ukhuwwah.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

- HARAKAHDAILY 26/6/2020

MR :  Jika mereka berakal pasti mereka memahami


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.