Header Ads

Header ADS

Jemaah boleh solat Jumaat di pekarangan masjid


PUTRAJAYA:
Kerajaan bersetuju benarkan jemaah menunaikan solat Jumaat di pekarangan masjid biarpun sebelum ini hanya membenarkan jumlah jemaah satu pertiga daripada kapasiti ruang utama rumah ibadat itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu diputuskan hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

"Mesyuarat tadi juga bersetuju selain satu pertiga jumlah jemaah di dalam masjid, kita juga membenarkan solat Jumaat di pekarangan masjid, dengan syarat ada penjarakan sosial.

"Banyak masjid sejak dulu lagi membenarkan sembahyang di luar (pekarangan), jadi kita bersetuju masjid menambah jemaah untuk bersolat di luar dewan utama masjid," katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Mengenai sama ada kerajaan akan membenarkan solat Jumaat diadakan secara dua sesi seperti yang dilakukan di Singapura, Ismail Sabri berkata, setakat ini, ia masih belum lagi dibenarkan di masjid di Wilayah Persekutuan.

"Selagi belum ada pengumuman daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) (Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) mengenai perkara ini, bermakna ia status quo, masih kekal seperti hari ini," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri juga berkata, duta serta kakitangan pejabat kedutaan asing beragama Islam di negara ini dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid bermula minggu hadapan.

Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju membenarkan surau yang diuruskan oleh Pejabat Kedutaan yang beroperasi sebelum PKP untuk melaksanakan solat Jumaat.

"Kementerian Luar akan menghantar nota diplomatik kepada kedutaan yang terbabit mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi," katanya.

Beliau berkata, kebenaran bagi warga asing lain beragama Islam untuk mereka menunaikan solat di masjid masih dalam pertimbangan.

"Keputusan akan diumumkan dalam tempoh terdekat," katanya.

 


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.