Header Ads

ads header

Flash News

AS secara rasmi mula tarik diri daripada WHO


WASHINGTON:
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa secara rasmi memulakan penarikan negara itu daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sambil mengancam menghentikan bantuan terhadap badan itu sebagai tindak balasnya berhubung COVID-19.

Perkara itu menimbulkan kemarahan penyokong kesihatan awam dan penentang politik Trump terhadap keputusan penarikan keluar dari pertubuhan yang berpusat di Geneva, di mana badan itu mengetuai usaha global memerangi penyakit berjangkit dan kesihatan mental ketika jangkitan COVID-19 terus melonjak di seluruh dunia.

AS sebelum ini mengancam menangguhkan dana tahunan berjumlah AS$400 juta (RM1,709.8 juta) dan kini pentadbiran Trump secara rasmi mengumumkan penarikan diri menerusi notis dihantar kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, kata jurucakap Jabatan Negara.

Penarikan AS daripada WHO berkuat kuasa dalam tempoh setahun - 6 Julai 2021 dan pencabar rapat Trump, Joe Biden, dikatakan bakal menghentikan tindakan itu, sekali gus mengekalkan penyertaan negara itu dalam WHO jika beliau memenangi pilihan raya November ini.

Jurucakap Guterres dan badan kesihatan global sendiri mengesahkan bahawa AS, negara anggota pengasas utama WHO, sudah memberikan notis berhubung penarikan itu.

Dalam ucapan sebelum ini, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengatakan perpaduan nasional dan solidariti global lebih penting bagi menangani COVID-19 secara bersama.

Sejajar dengan syarat ditetapkan ketika WHO ditubuhkan pada 1948, AS boleh mengundurkan diri dalam tempoh setahun namun perlu memenuhi kewajipan kewangan yang masih ada, kata jurucakap PBB.

Pada akhir Mei lalu, Trump mengatakan China melakukan 'sepenuh kawalan' terhadap WHO dan menuduh badan PBB yang diketuai oleh Tedros, seorang doktor dan diplomat Ethiopia, gagal melaksanakan reformasi.

Terus menyalahkan China atas penularan COVID-19, Trump sering mengkritik PBB, mengatakan AS akan mengalihkan dananya itu bagi keperluan kesihatan awam global yang lain di seluruh dunia dengan cepatnya.

Sementara itu, penggubal undang-undang demokratik menuduh Trump berusaha untuk menangkis kritikan dari menangani wabak di AS yang mencatatkan kematian tertinggi berbanding negara lain. - AFP

 


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan