Header Ads

Header ADS

Jangan guna aplikasi FaceApp, kata mufti WP

Umat Islam dilarang menggunakan aplikasi yang menukar gambar wajah seseorang seperti FaceApp kerana beberapa sebab, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah.

Menjelaskan hal itu hari ini, beliau berkata aplikasi berkenaan mempunyai unsur "penipuan" selain boleh menjatuhkan maruah serta mengundang fitnah.

"Larangan tersebut kerana terdapat unsur penipuan terhadap wajah yang bukan asli, mengelirukan identiti sebenar dan mengaibkan individu tersebut, sekali gus boleh menjatuhkan maruah dan ancaman fitnah," kata hantaran terbaru dimuat naik pada laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.


Menurut penjelasan dalam siri Irsyad al-Fatwa itu lagi, masyarakat perlu bijak memilih sebarang aplikasi teknologi untuk perkara-perkara yang bermanfaat dan FaceApp ternyata hanya sia-sia dan lebih mengundang mudarat kepada agama.

"Justeru, kami menegaskan agar umat Islam tidak menggunakan aplikasi tersebut apatah lagi menyebar luas foto wajah yang diubah suai mahupun menukar gambar wajah kepada berlainan jantina," katanya.

Terdahulu Luqman ditanya pandangannya mengenai FaceApp yang membolehkan imej muka seseorang diubah kepada tua atau muda, dan berlainan jantina.

Kata Luqman penggunaan FaceApp seolah-olah menggalakkan perbuatan mengubah ciptaan Allah walaupun bukan secara hakikat fizikal.

Justeru, katanya, larangan dibuat bagi membendung kecenderungan seseorang mengubah ciptaan Allah secara hakikat berdasarkan kaedah sadd al-zariah (menutup pintu kerosakan).

"Fungsi aplikasi tersebut yang mampu menukar foto wajah kepada berlainan jantina boleh mengelirukan identiti sebenar. Bahkan foto gambar tersebut mengaibkan diri sendiri sekali gus boleh menjatuhkan maruah.

"Adapun mengubah kepada wajah tua mahupun muda turut dilarang kerana mempunyai unsur penipuan terhadap fitrah kejadian asal serta memperdayakan manusia terhadap wajah yang tidak menunjukkan keaslian.

"Bahkan, meramal wajah tua adalah perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya kerana manusia tidak dapat mengetahui kejadian pada masa akan datang," katanya.

Untuk rekod aplikasi FaceApp itu dibangunkan syarikat Wireless Lab yang berpangkalan di Russia.

Ia menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengubah suai wajah seseorang secara digital.


MR :  Banyak perkara yang meng'largho'kan


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.