Header Ads

ads header

Flash News

Pembinaan projek ECRL kini giat dijalankan di jajaran Dungun ke Mentakab, kata kementerian


KUALA LUMPUR:
Kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada masa kini sedang giat dijalankan dengan tumpuan kepada pembinaan di jajaran Seksyen B dari Dungun, Terengganu sehingga ke Mentakab, Pahang.

Kementerian Pengangkutan berkata, antara kerja pembinaan tersebut adalah pengorekan dan pembinaan terowong di terowong Dungun, terowong Paka dan terowong Kuantan.

“Di samping itu juga, kerja-kerja awalan di terowong lain juga bermula seperti di terowong Gambang, terowong Sri Jaya, terowong Gedung Siam dan juga terowong Paya Pasir yang kesemuanya terletak di negeri Pahang,” kata kementerian tersebut dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ia adalah bagi menjawab pertanyaan Idris Jusoh (BN-Besut) yang meminta menteri pengangkutan menyatakan status terkini projek ECRL dan senaraikan rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang terlibat dalam projek tersebut.

Menurut kementerian itu, bagi 2020, dianggarkan sebanyak 101 lokasi kerja yang dirancang akan bermula di sepanjang jajaran Seksyen A dan juga Seksyen B.

Bagi Seksyen C, yang bermula dari jajaran di Mentakab, Pahang sehingga ke Pelabuhan Klang, Selangor, kerajaan sedang dalam proses memuktamadkan jajaran itu.

“Sehingga bulan Jun 2020, kemajuan projek ECRL berada pada tahap 16 peratus dengan mengambil kira kerja-kerja awalan dan pra-pembinaan yang turut merangkumi kerja reka bentuk dan perolehan.

“Pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sebagai pemilik projek ECRL mendapat kelulusan skim keretapi bagi jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu pada 14 Mei 2020.

“Selain itu, kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) diterima pada 13 Mac, 2020 dan juga Kajian Impak Warisan (HIA) pada 12 Mac 2020 bagi jajaran ini,” jelas kementerian itu.

Kementerian Pengangkutan turut memaklumkan laluan projek ECRL akan melalui tanah Felda.

Bagi jajaran Seksyen A (Kota Bharu – Dungun), sebanyak 210 lot tanah Felda dikenal pasti di Terengganu dan kawasan yang terlibat adalah Felda Selasih, Felda Chalok dan Felda Chalok Barat.

Bagi jajaran Seksyen B (Dungun – Mentakab) pula, sebanyak 125 lot dikenal pasti dan kawasan yang terlibat ialah Felda Sg Panching Timur, Felda Sg Panching Selatan, Felda Lepar Hilir 2, Felda Lepar Hilir 3 dan Felda Lepar Hilir 8.

Manakala bagi jajaran Seksyen C (Mentakab – Pelabuhan Klang), sebanyak 166 lot tanah Felda terlibat di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 (Pindaan 2016) merangkumi negeri Pahang dan Negeri Sembilan di kawasan Felda Kemasul, Felda Chemomoi dan Felda Titi.

Kementerian itu berkata, perbincangan bersama pihak Felda oleh MRL diadakan pada 27 Februari, 2020 bagi memaklumkan lot tanah Felda dan kawasan yang terlibat di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 (Pindaan 2016).

Keseluruhan projek ECRL dijangka siap pada Disember 2026, kata kementerian itu.


 


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan