Header Ads

ads header

Flash News

Penganalisis ramal masalah timbul ketika undian Belanjawan di Dewan

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menjangkakan masalah akan timbul di Dewan Rakyat apabila Belanjawan 2021 dibentangkan dalam sidang seterusnya.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Dewan Rakyat tidak stabil susulan keputusan Umno tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) secara rasmi.

Katanya, sesetengah ahli Parlimen Umno mungkin tidak hadir untuk mengundi ketika pembentangan Belanjawan 2021 dan ini boleh menyebabkan pembubaran Parlimen.

Tetapi, Wong Chin Huat dari Institut Pulau Pinang berkata, penarikan itu mungkin membawa kesan berlawanan berbanding yang dijangkakan Umno.

Katanya, ia mungkin mencetuskan perpecahan dalam Umno kerana pengumuman Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi mungkin tidak mewakili hasrat parti itu secara menyeluruh.

Wong berkata, Umno tidak akan dapat menggulingkan kerajaan pimpinan Muhyiddin tanpa sokongan pembangkang.

Beliau tidak percaya speaker akan menyegerakan sebarang usul tidak percaya atau pembangkang akan bergabung dengan bekas perdana menteri, Najib Razak dan sekutunya untuk menyerahkan akuan bersumpah menentang Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong

Katanya, Muhyiddin boleh menangani ketidakhadiran ahli Parlimen ketika proses undian untuk belanjawan dengan membuat “perjanjian percaya dan perbekalan” dengan pembangkang.

“Zahid mungkin berharap langkah ini dapat membantu mengubah sabitan Najib di Mahkamah Tinggi dan mengelakkan sabitan untuk pemimpin lain yang menghadapi tuduhan rasuah, termasuk dirinya.

“Tetapi, bukan hanya pemimpin muda seperti Khairy Jamaluddin yang mahu membina semula parti itu. Juga, pemimpin kanan seperti Ismail Sabri Yaakob dan Annuar Musa mungkin tidak mendapat banyak manfaat daripada pengembalian Najib serta Zahid.”

Katanya, PN kehilangan majoriti tidak sama dengan hilang kepercayaan di Parlimen terhadapnya.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, pengumuman Zahid akan mengatasi rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi Umno terhadap pendekatan tiada pembabitan Muhyiddin ke atas Najib.

“Ujian pertama keputusan ini ialah Pilihan Raya Kecil Slim. Sebelum ini, Umno akan meletakkan calonnya yang mewakili PN, tetapi sekarang keadaan sudah berubah.”

Katanya, PN mungkin mengekalkan status quonya jika PPBM diterima dalam Muafakat Nasional, kerjasama antara Umno dan PAS.

Beliau menyifatkan Muafakat Nasional sebagai pakatan lebih kuat dan berpengaruh berbanding PN.

Semalam, Zahid mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi Umno pada 24 Julai lalu untuk terus menyokong kerajaan persekutuan dan negeri, tetapi tidak akan menyertai PN.

Ditanya jika keputusan itu ada kaitan sabitan rasuah Najib, katanya, “terpulang kepada media untuk menterjemahkannya”.

Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah atas 7 pertuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa serta pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International.

#Sumber :  FMT   




Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan