Header Ads

Header ADS

Perkara besar bakal berlaku bagi parti kecil Sabah, kata penganalisis


KOTA KINABALU:
Penganalisis politik berkata perubahan mungkin sedang berlaku bagi sebuah parti yang kurang dikenali di Sabah berikutan langkah memilih bekas menteri persekutuan sebagai presiden barunya.

Parti Cinta Sabah (PCS), salah satu parti kecil di Sabah dan tidak dikenali di peringkat nasional, memilih Anifah Aman sebagai pemimpinnya Ahad lalu.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Lee Kuok Tiung berkata, PCS kini boleh bekerjasama dengan parti lebih besar seperti Umno atau Parti Bersatu Sabah kerana Anifah memiliki jaringan politik yang boleh membuka pintu untuk bekerjasama.

PCS mungkin akan dapat akses kepada Perikatan Nasional atau menjalin hubungan dengan Pakatan Harapan jika parti itu berhasrat berbuat demikian.

“Ini akan lebih signifikan berbanding memilih untuk bekerja dengan parti ‘nyamuk’ dengan sokongan akar umbi yang terbatas,” katanya.

PCS yang dikenali sebagai parti Kadazandusun Murut diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 2013.

Sebelum ini, ia dipimpin bekas timbalan ketua menteri Sabah Wilfred Bumburing yang kini menjadi timbalan presiden parti.

PCS pernah menjadi sebahagian Perikatan Bersatu Sabah, bersama STAR dan SAPP, tetapi meninggalkannya pada 2017 kerana perselisihan.

Gagal membentuk kerjasama dengan parti pembangkang lebih besar pada pilihan raya 2018, ia akhirnya bergabung dengan Parti Kerjasama Anak Negeri tetapi tewas di semua kerusi ditandinginya.

Parti itu kini mahukan penjenamaan semula, termasuk menukar nama menjadi Parti Kesedaran Rakyat Sabah yang menunggu kelulusan daripada JPPM.

Penganalisis dari UiTM Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, Anifah adalah bekas menteri luar yang mempunyai penyokong sendiri justeru akan menguntungkan PCS.

“Anifah memimpin parti tempatan adalah langkah strategik untuk menggerakkan sentimen rakyat Sabah.

“Dengan perkembangan terbaru ini, PCS akan dilihat sebagai sebuah parti baru muncul, yang akan menawarkan sesuatu yang baru untuk pengundi di Sabah,” katanya.

Melihatkan barisan kepimpinan parti terdiri daripada ahli politik terkemuka dan berpengalaman, cabaran terbesar adalah membuktikan mereka masih berpengaruh.

Lee juga mengatakan cabaran pertama Anifah adalah menampilkan dirinya sebagai pemimpin untuk semua.

“Dia lebih dikenali sebagai pemimpin Bumiputera Islam,” katanya.

Namun, Romzi Ationg juga dari UMS berkata, pengaruh dan karisma Anifah dapat meraih sokongan baru untuk PCS.

“Beliau antara tokoh politik penting, bukan saja di perinhgkat negeri tetapi nasional.

“Tetapi, sebelum mereka dapat meraih sokongan padu untuk PCS, mereka perlu memastikan parti itu dikenali dalam kalangan rakyat Sabah secara keseluruhan,” katanya.

Pada Mac tahun ini, Anifah dicanang memimpin penggabungan 4 parti ke dalam Parti Gagasan Rakyat Bersatu Sabah (PGRS). Namun, difahamkan ia kini ditangguhkan memandangkan perkembangan terbaru ini.

PGRS pada asalnya dipimpin Ationg Tituh, PKAN, Parti Hak Sabah dan PCS, bersetuju untuk bergabung namun PGRS dan PKAN kemudiannya mengundur diri, memilih untuk meneruskan agenda politik masing-masing.

# FMT


MR :  Warisan akan terpelanting macam PH


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.