Header Ads

Header ADS

Agihan kerusi MN di Selangor lepas penyertaan Bersatu dimuktamad


Perbincangan mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membabitkan Muafakat Nasional (MN) di Selangor, akan dilakukan selepas penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dimuktamadkan, dalam gabungan berkenaan.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari berkata, setakat ini, Bersatu Selangor belum lagi mengadakan apa-apa perbincangan atau mesyuarat bersama dua lagi parti komponen MN, iaitu Umno dan PAS.

“Belum lagi (perbincangan agihan kerusi). Kita tunggu pendaftaran MN diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, selepas itu baru kita adakan perbincangan mengenai pengagihan kerusi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU-15.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis perasmian Persidangan Bahagian Bersatu Selangor dan majlis ramah mesra bersama calon pemilihan Bersatu 2020.



Mengulas mengenai tentangan sesetengah pihak terutamanya akar umbi Umno berhubung penyertaan Bersatu ke dalam MN, Abdul Rashid berkata, penyertaan dibuat atas persetujuan pemimpin Umno dan PAS malah beliau yakin, lama kelamaan akar umbi kedua-dua parti berkenaan akan menerima Bersatu dengan sepenuh hati.

Pada Sabtu lepas, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan secara rasmi penyertaan Bersatu bersama MN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu juga bersetuju untuk menyertai muafakat tersebut, yang mendukung Perikatan Nasional sebagai gabungan besar.

Pada masa sama juga, Abdul Rashid menegaskan gelombang keluar parti yang melanda Bersatu kini hanyalah propaganda mereka yang kecewa, kerana tidak mendapat jawatan dalam parti.

“Tindakan mereka sedikit pun tidak menjejaskan kekuatan parti Bersatu Selangor, yang kini mempunyai kira-kira 50,000 ahli.

“Malah daripada 22 ketua bahagian, 19 daripadanya tetap teguh bersama kepimpinan presiden untuk memacu perjuangan parti di negeri ini. Daripada tiga ketua bahagian yang meninggalkan parti, dua bahagian kini diteraju oleh timbalan ketua bahagian yang memangku jawatan ketua bahagian, manakala satu lagi akan dilantik dalam masa terdekat,” katanya.

#Sumber : - Bernama   

 









............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.