Header Ads

Header ADS

Bukan salah kerajaan PN rundingan ambil alih SESB tertangguh, kata bekas pembantu menteri Sabah


KOTA KINABALU:
Bekas anggota pentadbiran negeri Sabah mendakwa kerajaan negeri harus dipertanggungjawabkan atas terhentinya rundingan pengambilalihan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Bekas pembantu menteri kewangan Sabah Kenny Chua berkata, kegagalan kerajaan membuat keputusan menyebabkan rundingan itu berlanjutan terlalu lama.

Beliau memberi respons terhadap dakwaan Ketua Menteri Shafie Apdal bahawa pengambilalihan SESB terganggu selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan persekutuan awal tahun ini.

Rabu lepas Shafie berkata, rundingan itu bermula semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri dan ia berjalan lancar sehingga berlakunya perubahan kerajaan.

Katanya, beliau diberitahu bahawa Putrajaya memutuskan untuk menangguhkan rancangan pengambilalihan itu.

Chua berkata, tindakan Shafie menyalahkan kerajaan PN adalah salah.

Katanya, pengambilalihan itu sepatutnya sudah berlaku sekiranya kerajaan negeri mengendalikan rundingan itu dengan baik dan lancar.

Beliau berkata, rundingan masih berjalan sewaktu Shafie mengadakan mesyuarat Kabinetnya yang terakhir.

“Beberapa syarat yang perlu ditangani oleh kerajaan belum diselesaikan,” katanya.

“Tidak mungkin TNB tidak melepaskan SESB sekiranya anda boleh menyelesaikan perkara itu atau jika anda memenuhi syaratnya. TNB adalah sebuah syarikat persendirian walaupun ia dimiliki oleh kerajaan. Terdapat terma dan syarat yang perlu dipenuhi.

“Jadi kenapa anda kata ia tertangguh kerana Perikatan Nasional?”

Chua berkata, beliau tidak gembira dengan pentadbiran Shafie kerana ia “tidak konsisten” dalam membuat keputusan.

Beliau merupakan naib pengerusi PKR Sabah sebelum dipecat kerana berpihak kepada bekas ketua menteri Musa Aman dalam usahanya menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Warisan.

Chua berkata, beliau percaya kerajaan negeri perlu menghentikan rancangan pengambilalihan itu pada ketika ini kerana kewangan negeri terkesan teruk akibat penularan wabak Covid-19.

Selain isu pampasan yang perlu diselesaikan dengan TNB beliau berkata, terdapat juga hutang yang ditanggung oleh SESB sejak sekian lama yang perlu diwarisi oleh kerajaan negeri.

Katanya Sabah tidak mampu menanggung syarikat yang berhutang tanpa sokongan dan penyertaaan kerajaan pusat.

Pada Januari tahun lepas, Yeo Bee Yin, yang merupakan menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim pada masa itu berkata, Kabinet pusat bersetuju untuk memulakan proses mengembalikan pemilikan SESB kepada kerajaan Sabah.

Katanya, proses itu akan mengambil tempoh 2 tahun untuk disempurnakan.

Susulan itu Shafie berkata, satu pasukan petugas khas yang dianggotai wakil kerajaan negeri dan pusat akan ditubuhkan bagi mempercepatkan proses tersebut.

#Sumber : FMT   

 








............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.