Header Ads

Header ADS

Majlis Tertinggi Bersatu setuju sertai Muafakat Nasional

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi parti itu telah memberi persetujuan untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

Dalam rakaman ucapan yang ditujukan buat ahli Bersatu, Muhyiddin berkata beliau percaya bahawa ia adalah pilihan terbaik untuk Bersatu.

"​Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional sebagai gabungan besar atau the grand coalition.

"InsyaAllah, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya.

Tambah Muhyiddin, penyatuan itu akan mewujudkan kestabilan politik negara yang akan memberi keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Muhyiddin yang juga perdana menteri menyampaikan ucapan itu sempena mesyuarat Bersatu Armada (sayap Pemuda), Srikandi (sayap Wanita) dan mesyuarat bahagian yang diadakan di peringkat bahagian di seluruh negara hari ini.

MN adalah pakatan politik yang dibentuk oleh Umno dan PAS pada September tahun lalu, sebagai memformalkan kerjasama mereka yang bermula beberapa tahun sebelumnya.

Umno juga merupakan sebahagian daripada Barisan Nasional, yang merupakan gabungan politik formal yang terdiri daripada dua parti lain - MCA dan MIC.

Bersama Bersatu, GPS dan Star dari Sawarak, dan PBS yang berpusat di Sabah, parti-parti dalam MN dan BN membentuk kerajaan PN, yang kini menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, PN bukanlah pakatan formal atau entiti politik yang berdaftar.

Umno, yang memegang paling banyak kerusi parlimen di antara enam parti, khususnya telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan bergabung dengan PN sebagai gabungan, tetapi sebaliknya mengajak Bersatu untuk bergabung dengan MN.

Muhyiddin memberitahu perwakilan parti bahawa kerjasama antara parti-parti di MN dan PN di peringkat akar umbi perlu dipupuk dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

"Saya tahu proses ini mungkin mengambil sedikit masa. Tetapi saya yakin kita akan dapat mewujudkan hubungan kerjasama yang baik dan kukuh dengan parti-parti rakan.

"Di peringkat pusat, saya sering mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti Umno, PAS, MCA, MIC, GPS, PBS, Star dan PBRS yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

"Beberapa persetujuan utama telah dicapai dalam pertemuan-pertemuan ini yang saya percaya akan memperkukuhkan lagi kedudukan Bersatu dan parti-parti rakan yang lain dalam PN," katanya.

'Saya tak pernah khianati Bersatu'

Sementara itu, dalam ucapannya juga, Muhyiddin menyatakan bahawa beliau tetap menghormati bekas pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad yang kini akan menubuhkan parti baru.

"Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita. Tak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

"Yang penting perjuangan parti ini mesti diteruskan. Pemimpin datang dan pergi, tetapi wadah perjuangan parti mesti terus dipertahankan," katanya.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa beliau tidak mengkhianat kepada partinya.

"Saya tidak khianat kepada parti. Saya yang tubuhkan parti ini. Jadi tidak ada sebab untuk saya khianat kepada parti yang saya sendiri tubuhkan," katanya.

Mahathir baru-baru ini mengumumkan akan membentuk parti politik baru yang akan dinamakan sebagai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Mahathir merupakan antara pengasas Bersatu.

Namun, hubungan antara Mahathir dan Muhyiddin keruh apabila ahli parlimen Langkawi itu enggan emnyertai Langkah Sheraton pada bulan Februari, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Ketegangan memuncak ketika Bersatu memecat Mahathir dan lima anggota parlimen Bersatu yang lain yang menyokong Mahathir kerana duduk di kerusi pembangkang di Parlimen pada 18 Mei, yang didakwa melanggar perlembagaan parti.    

MR :  Berita sedih untuk PH  


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Di alu2kan

    Tetapi tidak boleh lagi dominasi

    Bersatu dah tiada taring bila parlimen bubar utk pru 15

    Hanya ada goodwill TSMY semasa menangani pandemik

    BalasPadam

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.