Header Ads

ads header

Flash News

Pelancaran PN boleh satukan pembangkang Sabah menjelang pilihan raya, kata penganalisis


KOTA KINABALU:
Seorang penganalisis menjangka kehadiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Sabah untuk melancarkan gabungan Perikatan Nasional (PN) hujung minggu ini sebagai kunci untuk menyatukan pembangkang di negeri itu menjelang pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Lee Kuok Tiung berkata, pelancaran PN di Sabah juga akan memperkuatkan imej parti Muhyiddin, iaitu PPBM dalam persiapan menuju pilihan raya.

Beliau berkata, persoalan utama yang dihadapi pembangkang ialah apakah ia dapat menubuhkan barisan yang bersatu tepat pada waktunya untuk pilihan raya pada 26 September nanti.

“Saya percaya ia (pelancaran PN) bertujuan untuk menyatukan pembangkang di Sabah supaya bekerja sebagai pasukan yang lebih kuat bagi menghadapi pilihan raya negeri,” katanya kepada FMT.

Straits Times Singapura (ST) melaporkan awal minggu ini bahawa Muhyiddin akan ke Sabah untuk melancarkan gabungan PN secara rasmi.

Walaupun majoriti parti pembangkang bersekutu dengan PN, persoalan masih wujud sama ada mereka boleh mencapai persefahaman dan lambang bersama untuk pilihan raya.

Selain PPBM, PN di Sabah terdiri daripada Barisan Nasional (Umno, MCA Sabah dan Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan PAS, sementara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) adalah sekutunya.

Umno, PAS dan PPBM juga merupakan sebahagian daripada Muafakat Nasional (MN), sementara Parti Progresif Sabah (SAPP) yang diketuai oleh bekas ketua menteri Yong Teck Lee dikatakan akan dipertimbangkan untuk menjadi ahli.

ST memetik seorang pemimpin PPBM yang mengatakan PN akan terdiri daripada 6 parti komponen dan akan menggunakan lambang sendiri dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, pemimpin itu berkata, terpulang kepada Umno sama ada mahu mengikutinya dan menggunakan lambang PN juga.

Baru-baru ini BN berkata, ia akan bertanding menggunakan simbol “dacing” yang biasa.

PBS juga mengesahkan untuk menggunakan lambang “jabat tangan” untuk kali pertama kali dalam 16 tahun.

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin memberitahu FMT bahawa beliau diundang untuk menghadiri pelancaran itu, tetapi tidak mempunyai perincian mengenai jadual perjalanan program tersebut.

Beliau juga berkata, BN akan meneruskan penggunaan simbolnya sendiri untuk pilihan raya.

“Cuma kita belum memutuskan dengan parti rakan lain mengenai penggunaan lambang biasa atau lambang masing-masing.

“Walaupun ada lambang PN, belum ada keputusan. Semua akan lebih jelas pada akhir bulan ini,” tambah Bung, yang memimpin jentera pilihan raya BN di Sabah.

Dalam pada itu, Yong, yang mengesahkan SAPP juga diundang ke pelancaran itu, berkata, ia akan menjadi permulaan politik baru di Sabah.

“Suatu permulaan yang baru buat Sabah. Bukan BN dan bukan Pakatan Harapan (PH) yang merosakkan diri sendiri.

“Orang akan memberi peluang kepada Muhyiddin untuk memperbaiki semua,” katanya.

Ketika ditanya apakah pelancaran PN di Sabah akan menjadi titik tolak parti pembangkang dalam hasrat mereka untuk mengalahkan gabungan Warisan Plus, Lee berkata: “Kita akan melihatnya selepas Sabtu ini.”

Beliau bagaimanapun berkata, pertandingan banyak penjuru berkemungkinan berlaku.

“Ini hampir tidak dapat dielakkan, tetapi 2 pihak terkuat akan tetap BN-MN-PN Plus lawan gabungan Warisan Plus, Warisan, Upko, DAP dan PKR,” katanya.

Katanya, organisasi seperti Parti Cinta Sabah, Parti Liberal Demokratik dan Parti Gagasan Rakyat Sabah boleh menjadi kekuatan ke-3 jika mereka membentuk sebuah pakatan.

#Sumber : FMT   

  


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan