Header Ads

ads header

Flash News

942 premis cemar alam sekitar dikenakan tindakan, kata menteri


BANGI:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil 2,956 tindakan penguatkuasaan terhadap 942 premis kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sepanjang tahun ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan penguatkuasaan itu termasuk 2,005 kompaun bernilai RM4,010,000 dikeluarkan, 4 premis digantung lesen, 881 notis arahan, 37 penahanan operasi kelengkapan, sebuah premis dikenakan perintah larangan dan 28 kertas siasatan disediakan untuk tindakan mahkamah.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil JAS hasil pemeriksaan ke atas 2,572 premis pelbagai industri, termasuk 70 kilang kelapa sawit, getah asli mentah atau kemudahan pengolahan atau pelupusan buangan berjadual dalam 72 Operasi Gempur di seluruh negara sejak awal tahun ini sehingga 18 Sept lalu.

Katanya, penguatkuasaan difokuskan kepada premis atau punca pencemaran, khasnya di hulu sungai, menghasilkan beban pencemar tinggi, sering dikenakan tindakan penguatkuasaan, menghasilkan buangan terjadual dalam kuantiti banyak atau terletak di kawasan mempunyai isu alam sekitar atau lembangan sungai tercemar.

Beliau mengingatkan pemilik premis dan kilang yang tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak mencemarkan air sungai.

Katanya, mereka yang sabit kesalahan di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya.

“Pengurusan buangan terjadual perlu diberi perhatian serius bagi mematuhi undang-undang dan garis panduan sedia ada,” katanya selepas menyertai Operasi Gempur di sini, hari ini.

“Buangan ini juga hendaklah dikitar semula atau dilupuskan di premis yang dilesenkan JAS saja kerana buangan terjadual mempunyai ciri-ciri berbahaya boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada manusia serta pencemaran air, udara dan tanah.

“Pihak industri dilarang sama sekali melupuskan buangan terjadual secara haram. Tindakan tegas akan diambil di bawah
Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara mandatori serta denda maksimum RM500,000.00.”

Katanya, JAS akan melipatgandakan tindakan penguatkuasaan dan orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar menerusi 1-800-88-2727, aduan_k@doe.gov.my atau https://eaduan.doe.gov.my.

MR :  Yang penting buat kerja, jangan layan sangat politik kalut  


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan