Header Ads

Header ADS

Empat Pakar Ekonomi Ternama Negara Akui Kecekapan Kerajaan PN Menguruskan Ekonomi Negara


(PETIKAN EMPAT KERTAS KERJA EKONOMI DI DALAM KONVENSYEN “SETENGAH TAHUN PENTADBIRAN PN: PENCAPAIAN, HARAPAN DAN CABARAN ANJURAN PINTAR DI PAUM PADA 1 SEPTEMBER 2020)

PETIKAN KERTAS KERJA PROF EMERITUS DATUK DR ZAKARIAH ABDUL RASHID (EX MIER)

Dalam keadaan kesempitan kewangan sektor awam, tepat sekali tindakan kerajaan memilih untuk melebarkan sedikit defisit fiskal demi mengutamakan kebajikan rakyat. Matlamat kerajaan untuk mewujudkan akaun fiskal Kerajaan Persekutuan yang seimbang dikorbankan buat seketika untuk memberikan keutamaan menyelamatkan kebajikan rakyat.

Kerajaan PN sekarang sedang merancang untuk mengemukakan pelan jangka panjang pembangunan ekonomi yang akan dapat mengubah struktur asas ekonomi. Buat setakat ini, dalam jangka pendek, kelihatan masalah gangguan kepada sistem pengeluaran negara yang terpaksa ditutup sewaktu PKP telah sebahagian besarnya dapat dipulihkan apabila ekonomi telah dapat dibuka semula. Kilang-kilang telah kembali beroperasi, para pekerja telah dapat kembali bekerja dan peniaga telah dapat menyambung kembali perniagaan mereka.

Pekerja, pengguna, isi rumah, sektor awam dan sektor swasta serta para majikan, walaupun terjejas dengan penutupan dan gangguan pandemik ini, gaji pekerja dan kadar pengangguran telah dapat diselamatkan dengan kadar penurunan yang boleh diterima. Sebaik sahaja ekonomi dibuka semula, kadar pengangguran (bulanan) turun dan kegiatan ekonomi kembali cergas. Kemelesetan KDNK berlaku pada kadar yang boleh diterima dan buat setakat ini adalah lebih baik daripada kebanyakan negara di dunia. Ini menandakan buat setakat ini pakej mitigasi rangsangan ekonomi telah menampakkan kejayaannya.

Dalam tempoh singkat pentadbiran Kerajaan PN sehingga ke hari ini, ia tentunya tidak berupaya untuk mengubah struktur ekonomi sedia ada, tetapi pendekatan yang ditunjukkan oleh pentadbiran baharu ini dalam pelan mitigasi ekonomi jangka pendek di dalam menangani wabak Covid-19 boleh dijadikan panduan, di mana ia menumpukan kepada masalah golongan isi rumah bawahan dan peniaga kecil-kecilan. Ini adalah pendekatan yang tepat sekali memandangkan setiap mereka bukan sahaja merupakan masing-masing dari keseluruhan isi rumah dan badan perniagaan adalah golongan yang paling rapuh tetapi juga peratusan yang paling tinggi.

Kerajaan PN telah memutuskan untuk menyemak kembali penunjuk kemiskinan agar ia kelihatan lebih praktikal dan sesuai dengan tahap pembangunan ekonomi negara masa kini. Semakan ini melibatkan penentuan PGK baharu yang dibina dengan menggunakan Survei HIS 2019, menggantikan yang lama yang menggunakan Survei HIS 2005. Berikutan dengan tindakan itu, insiden kemiskinan pada sesuatu tahun kelihatan jauh lebih besar daripada apa yang digambarkan dahulu. Misalnya, pada tahun 2016 insiden kemiskinan sebenarnya bukanlah 0.4% seperti yang diumumkan dahulu tetapi ia adalah jauh lebih tinggi, yakni 7.6%. Ini adalah tindakan berani Kerajaan PN atas keinsafan bahawa gambaran kemiskinan perlu bukan sahaja lebih praktikal tetapi lebih telus dan tulus kepada rakyat.

Ciri isi rumah Malaysia yang dikatakan rata-rata mempunyai pendapatan yang rendah adalah berpunca daripada kerendahan, kepada yang pasif, pemberian wang tunai dan, kepada yang aktif pula, keupayaan menjana gaji dan dalam lebihan operasi. Ini telah mengakibatkan mereka menghadapi masalah dalam memenuhi kos sara hidup dan seterusnya suasana kemiskinan mutlak yang agak serius. Masalah ini ditambah pula dengan agihan pendapatan isi rumah yang semakin kurang memuaskan sehingga mengakibatkan insiden kemiskinan relatif menjadi isu yang sangat genting serta kemiskinan bukan pendapatan (multi-dimensional poverty index, MPI).

Harapan untuk memperbaiki keadaan ini memang ada sebagaimana yang telah ditunjukkan dalam pendekatan program PERIHATIN dan PENJANA. Namun masalah yang sedang dihadapi oleh isi rumah Malaysia adalah berpunca daripada struktur dan sistem yang mendokongnya yang kelihatan lemah menyebabkan ia tidak boleh diselesaikan melalui program tersebut. Harapan di masa depan untuk mencapai isi rumah yang berkebajikan tinggi terletak, dengan kaedah dan pendekatan yang sama, kepada pelan pembangunan sosio-ekonomi jangka panjang.

Ketiga-tiga golongan isi rumah ini memerlukan sokongan untuk dinaikkan paras kewangan mereka. Tentunya ia memerlukan dasar yang berbeza untuk setiap mereka tetapi dalam satu pelan yang bersepadu. Golongan yang pertama, yang pasif, memerlukan dasar bantuan kebajikan sosial sedangkan yang aktif, pekerja, memerlukan dasar perburuhan yang mantap manakala pengusaha pula memerlukan dasar perdagangan dan pelaburan yang dapat meningkatkan produktiviti. Pendekatan yang diambil oleh Kerajaan PN kelihatan sangat tepat dalam memenuhi tuntutan yang mendesak ini. Jika inilah yang dikatakan sebagai norma baharu pasca Covid-19, harapan terbentang luas untuk kehidupan yang lebih cerah untuk rakyat Malaysia.

PETIKAN KERTAS KERJA PROF EMERITUS DR BARJOYAI BARDAI (UNIRAZAK)

Dari segi kepimpinan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilihat sebagai model kepimpinan Islam yang agak mengkagumkan, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada seluruh umat Malaysia. Pertamanya, beliau mengisytiharkan bahawa beliau bukan berniat untuk menjadi Perdana Menteri sangat. Beliau melihat jawatannya sebagai satu tanggungjawab yang besar. Pada 27 Mac 2020, dunia menyaksikan buat pertama kali bagaimana Perdana Menteri Malaysia melafazkan doa secara formal sebagai seorang khalifah memohon perlindungan dan penyelesaian di dalam kes Covid-19 sambil menangis.

Ini tercatit di dalam lembaran sejarah sehingga ditonjolkan di dalam media massa, termasuk di dalam Wikipedia. Ini menonjolkan watak beliau sebagai bibit-bibit pemimpin unggul model Islam.

Melihat kepada tindakan ahli Kabinet dan ketua perkhidmatan kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin, terpapar bahawa pembaharuan yang dilakukan berbanding dengan Perdana Menteri sebelumnya ialah sikap dan gaya kepimpinannya yang memberikan delegasi kuasa yang besar dan penuh kepada ahli Kabinet dan ketua jabatan kerajaan untuk mentadbir dan membuat tindakan. Amat jelas dilihat bagaimana beliau memberi kuasa kepada setiap Menterinya untuk membuat keputusan dan bertindak secara agak bebas asalkan ia tidak bercanggah dengan prinsip asas kerajaan dan matlamatnya. Hasilnya beberapa orang Menteri dan ketua jabatan kerajaan menjadi lebih menonjol di dalam tindak tanduk mereka tanpa mendapat reaksi negatif beliau yang merupakan satu lagi semangat kepimpinan Islam yang penting. Beliau dilihat sebagai orang di belakang semua tindakan Menteri Kabinet dan ketua-ketua jabatannya tanpa cuba menonjolkan dirinya sendiri. Di dalam gaya pemerintahan konvensional, ia pastinya dilihat sebagai menonjolkan risiko untuk kehilangan pengaruh di dalam politik.

Satu lagi yang mungkin boleh ditonjolkan ialah, sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jarang menonjolkan dirinya sebagai pemimpin dan wakil BERSATU di dalam kerajaan. Beliau sering menekankan peranannya sebagai ketua kerajaan yang berusaha keras untuk membawa keluar ekonomi negara dari pusingan ganas kemelesetan ekonomi disebabkan oleh Covid-19. Kerajaan baru ini terus menerus menekankan slogan ‘kerajaan prihatin’ sebagai prinsip pentadbirannya. Kerajaan ini dengan berani membuat pilihan untuk menyelamatkan nyawa warganya berbanding dengan usaha untuk cuba menyelamatkan ekonomi dari kesan kegawatan. Apabila mengumumkan Skim Bantuan Sosial, kerajaan terus-menerus menonjolkan kepentingan memastikan ada cukup makanan di atas meja untuk semua keluarga di dalam negara. Ini mengingatkan kita dengan usaha gigih Khalifah Umar Abdul Aziz yang memikul bekalan untuk mencari keluarga yang memerlukan bantuan dan layak memperolehi zakat.
Dengan jumlah RM290 bilion yang dibelanjakan di dalam tempoh 3 bulan untuk menangani kesan wabak Covid-19 maka Kerajaan PN dilihat sudah menunjukkan pertanggungjawaban dan keprihatinan terhadap warganegara Malaysia di dalam menangani kesan wabak Covid-19.

Sebenarnya apa yang ditawarkan kepada semua warganegara Malaysia termasuk isi rumah dan perniagaan adalah dilihat amat pemurah memandangkan ia adalah bersamaan dengan belanjawan negara untuk satu tahun (pada tahun 2020 jumlah belanjawan untuk seluruh negara bagi membiayai semua kementerian dan memberi faedah terus kepada warganegara Malaysia termasuk membayar wang pencen adalah sebanyak RM297 billion).

Pembentangan pakej rangsangan yang meliputi usaha memastikan kesejahteraan rakyat berasaskan kepada tema ‘Kerajaan Prihatin’ sebenarnya melihat satu perubahan penting di dalam semangat dan prinsip kerajaan dari menekankan prinsip ‘Pasaran Bebas’ dan ‘Kebebasan Perniagaan’ yang diamalkan di bawah model ‘Anglo-Saxon’ kepada sistem di bawah ‘Model Sosial Eropah’ (European Social Model). Jika arah ini berterusan, ia memberi prospek kepada kewujudan sebuah kerajaan yang menekankan kepada kesejahteraan rakyat secara melata berbanding dengan prinsip memacu pembangunan ekonomi yang pesat.

PETIKAN KERTAS KERJA PROF DATUK DR AMIR HUSSIN BAHARUDDIN (EX UUM)

Kita mungkin tidak sedar tetapi apa yang telah dibuat oleh Kerajaan PN adalah suatu pendekatan Keynesian yang berani, menyeluruh dan berhemat dengan langkah-langkah yang proaktif anti-cyclical yang kukuh berdasarkan pengalaman dunia sejak tahun 1933. Negara lain yang lokek dan konservatif yang tidak mahu memberi subsidi dan sokongan harga kepada rakyat sendiri atau yang mempolitikkan subsidi dan sokongan kuasa beli rakyat tidak akan dapat bertahan lama kerana pengeluaran firma menjana pekerjaan. Pekerjaan adalah perlu untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli negara atau rakyat. Subsidi kuasa beli atau pendapatan atau subsidi upah untuk “menghidupkan” firma SME itu adalah langkah proaktif yang tepat untuk mengaktifkan ekonomi Malaysia! Metod PN yang menunaikan janji ekonomi negara melalui program PRIHATIN dan langkah-langkah pakej PENJANA adalah tepat untuk zaman Covid-19 yang sudah bersama dunia sejak November 2019 dulu. WHO menyatakan bahawa Covid-19 akan terus wujud sehingga lima tahun lagi, iaitu tahun 2024, atau di hujung tempoh penggal PRU 14 ini. Setakat ini ekonomi Malaysia telah selamat! PN telah memimpin hal ehwal ekonomi, sosial dan politik Malaysia dengan baik dan konstruktif ke arah negara yang bersatu, stabil dan dihormati dunia dengan rakyat yang yakin/prihatin.

Kerajaan PN adalah kerajaan termuda di dunia yang wujud sejak 1 Mac 2020. Kabinet kita terdiri daripada orang-orang yang berpengalaman tetapi merupakan suatu kabinet baru dari segi komposisi, hemat dan minat. Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah yang paling berpengalaman dalam keadaan kritikal asuhan PM4, PM5, PM6 dan PM7. Beliau adalah seorang graduan ekonomi. Sebenarnya banyak pengalaman ekonomi, politik dan perpaduan yang ada dalam jiwanya. Sebelum 1 Mac 2020, tiada tanda langsung secara zahirnya sebarang petanda bahawa beliau berhasrat untuk menjadi PM8 berbeza dengan “pemain-pemain politik” lain. Inilah tuahnya negara kita Malaysia bila Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi PM8 di tengah-tengah pergolakan politik, budaya dan Covid-19. Suatu keadaan “cacamarba” yang unik tetapi yang perlu ditangani dengan tenang, berani dan ikhlas demi kepentingan rakyat. Allah bersama pemimpin begini. Marilah kita gunakan keadaan ini dan mencari kemajuan ekonomi bagi negara. Walau apa pun anutan agama dan politik kita, bantulah ekonomi negara dan kepimpinan yang ada seperti yang dibentuk oleh golongan pemimpin Kerajaan PN yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Saya merasakan Tan Sri Muhyiddin Yassin amat faham dengan aspek teori ekonomi J M Keynes, Miton Friedman dan Reaganomics pada tahun 1980-an. Di samping PM8, kabinetnya juga mempunyai Menteri-Menteri yang cerdik ilmu ekonomi. Cara mereka mendepani krisis ekonomi agak mudah, terbuka, kreatif dan mengembang bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa Covid-19 dan pandemik Covid-19.

Kerajaan PN adalah suatu pemerintahan yang paling muda di dunia. Secara relatifnya, Kerajaan PN telah menjadi satu pentadbiran yang gemilang dan juga terbilang. Di antara prestasi gemilang dan juga terbilang PN adalah:

1. Menangani Covid-19 secara kasar, pragmatik dan meyakinkan semua pihak termasuk WHO dan negara-negara lain di dunia. Sehingga kini, PKP/PKPP telah berjaya mengekang jumlah kematian kepada 125 orang dan jumlah jangkitan masih berada di bawah 10,000! Syabas kepada PM8, Menteri-Menteri Kabinet dan KKM!

2. Berjaya memberi keyakinan dan nafas semula kepada berbagai golongan rakyat Malaysia dan mengangkat martabat ekonomi rakyat ke atas, ke arah cemerlang melalui PKP/PKPP, PRIHATIN dan pakejnya dan juga PENJANA untuk sebanyak hampir satu juta firma, termasuk firma SME.

3. Memberi nafas baru khususnya kepada rakyat dengan bantuan dan moratorium kewangan/pinjaman/kredit sehingga hujung tahun 2020.

4. Meningkatkan keyakinan kepada pelabur seperti yang disimbolkan oleh prestasi BSKL yang meningkat kepada 1580 mata pada Ogos 2020 berbanding 1495.19 mata pada 29 Februari 2020. Paras psikologi 1600 mata sudah hampir sampai.

5. Berjaya menstabilkan tukaran asing bagi Ringgit sekitar RM4.19/USD dan nampaknya mahu bertahan. Pada 20 Mac 2020 ia berada pada tahap RM4.319.

6. Berjaya memimpin hati rakyat ke arah perpaduan dan “norma baru” 2020. Dahulu di bawah PH ini tidak begitu nyata malah hala tuju negara pun agak kabur.

7. Membawa “kebanggaan baru ekonomi” kepada rakyat Malaysia dengan kepimpinan yang kreatif PM8 dan Menteri-Menteri Kabinet, khususnya Menteri Kewangan.

8. Menerajui program mantap ekonomi bagi semua sektor, khususnya yang melibatkan konsumer dan firma SME.

9. Mempamerkan keadaan “prihatin ekonomi” kepada rakyat secara serius dan berkesan bukan pada RM30!

10. Mengelola ekonomi dengan baik sesuai dengan keadaan Covid-19 dan ekonomi dunia. Tidak banyak negara yang berjaya di masa ini. USA dan EU semuanya berada dalam keadaan ekonomi yang membimbangkan. Kalau vaksin untuk Covid-19 ditemui, ekonomi dunia keseluruhannya akan pulih dan Malaysia sudah bersedia dengan senario baru. Kabinet PN dilihat kuat, prihatin dan kreatif mengikut PM8 dan pemimpin PN.

Syabas dan tahniah atas kecemerlangan Kerajaan PN sebagai pentadbir ekonomi negara Malaysia. Semoga Allah memberkati PN sebagai pemegang amanah pentadbiran negara.

PETIKAN KERTAS KERJA PROF DATUK DR KASIM HJ MD MANSUR (UMS)

Pemerintahan PN yang baharu sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan tidak berkesempatan meletakkan manifesto sebagaimana kebiasaan yang diamalkan setiap kali berlakunya pilihan raya. Meskipun demikian Kerajaan PN yang telah mengambil alih tampuk pemerintahan pada Februari lepas telah cuba melakukan sesuatu yang positif kepada pemulihan ekonomi. Kerajaan PN berdepan dengan situasi yang amat mencabar dan getir. Semasa mengambil-alih pemerintahan jangkitan wabak Covid-19 telah mula memberi impak negatif kepada masyarakat umum serta perekonomian negara.

Tugas utama yang perlu ditangani segera ialah memerangi wabak Covid-19 daripada terus merebak. Tidak dinafikan PN berdepan dengan kemelut ekonomi dan dalam masa yang sama keperluan untuk menyelamatkan nyawa penduduk daripada dijangkiti oleh Covid-19. Perancangan dan strategi kerajaan dilihat amat berkesan dengan melaksanakan arahan PKP agar rantaian Covid-19 dapat diputuskan. Dalam masa yang sama, pihak kerajaan telah menyediakan satu pakej ekonomi yang bersifat komprehensif. Pakej ekonomi yang telah dilaksanakan ini bermatlamat untuk membendung dan mengekang kemelesetan ekonomi daripada terus berlaku. Objektif utama pakej rangsangan ekonomi ini ialah untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan PKP, khususnya golongan-golongan B40 dan M40 serta pemain-pemain dalam industri berskala kecil dan sederhana termasuk mereka yang bekerja sendiri.

Secara umumnya, pakej prihatin rakyat merupakan satu pakej yang bersifat holistik dan berfokus. Komponen-komponen yang terkandung dalam pakej ini tidak dinafikan telah memberi impak yang positif kepada ekonomi secara umum dan dapat meredakan kesulitan dan kesempitan kehidupan masyarakat merentasi lapisan masyarakat secara khususnya.

Sepanjang tempoh enam bulan Kerajaan PN memegang tampuk pemerintahan, pelbagai krisis telah ditangani, beberapa strategi dan agenda telah dilaksanakan dengan berkesan. Daripada strategi dan agenda tersebut, beberapa pencapaian yang memberangsangkan telah terlaksana atau telah menampakkan keberhasilan yang positif kepada perekonomian masyarakat dan negara. Antaranya ialah: Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada golongan B40 dan M40; generasi muda termasuk pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi diberikan bantuan dan perhatian; elaun khas kepada wira dan wirawati di barisan hadapan; pengiktirafan dunia kepada negara dalam pengurusan dan menangani wabak COVID-19; membuka peluang pekerjaan pada waktu krisis; serta hubungan diplomatik antara negara dipulihkan.

Tentunya sebarang penilaian kepada pencapaian yang diperolehi biasanya disokong oleh pihak-pihak yang berkaitan dengan pengiktirafan dan diiktiraf di peringkat global. Dalam hal ini S&P Global Ratings yang diketahui umum merupakan satu entiti bertaraf dunia memberi penarafan kepada Malaysia di tahap A-. Penarafan ini secara langsung memberi isyarat yang positif kepada pemain-pemain industri dan pelabur luar dan domestik tentang urustadbir perekonomian negara. Penilaian ini secara langsung mampu melonjakkan lagi penarafan ekonomi Malaysia kepada yang terbaik di rantau Asia Tenggara.

Inisiatif dan perancangan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara telah memperlihatkan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi walaupun pada kadar yang perlahan. Dasar fiskal dan monetari yang dilaksanakan telah menampakkan kesan positif khususnya dalam pasaran pekerjaan dan secara umum merangsang ekonomi negara. Tuntasnya pakej-pakej rangsangan yang telah dilaksanakan telah memberi suntikan semangat dan keyakinan kepada semua pemain utama perniagaan.

Agenda pemulihan ekonomi dan “memerangi” pandemik Covid-19 perlu disokong dan didokong bersama di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sokongan ini perlu kerana ianya merupakan aset penting dalam memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi yang lestari dan berdaya saing.

Kamarul Yusoff


MR :    OK.. data yang baik


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


2 ulasan:

  1. Kene juga ambil kira pendapat dari pakar ekonomi yg pernah bekerja dgn kerajaan PH.. barulah seimbang.. kalau senada barulah boleh diakui kecekapannya... kalau tak senada bermakna ini hanyalah perpepsi sebelah pihak yg masih boleh disangsikan..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ape ko merapu...PH X bg kesan pape pun..nmpk naw ko macai

      Padam

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.