Header Ads

ads header

Flash News

Kemenangan GRS bakal jadi momentum untuk PRU awal kata Penganalisis


Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah bakal jadi momentum dan pembakar semangat kepada parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya, kata penganalisis politik.

Justeru itu tidak menghairankan apabila perdana menteri Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-15 mungkin diadakan lebih awal sekiranya PN dapat memenangi Sabah.

Bagaimanapun, Profesor Madya Universiti Utara Malaysia (UUM), Azizuddin Mohd Sani berkata, apa yang lebih penting adalah PN dapat mengekalkan momentum kemenangan itu sehingga PRU.

"Ia akan membangkitkan semangat PN dan rakan sekutunya. Yang paling penting, momentum ini perlu diteruskan untuk pilihan raya umum ke-15.

"Kalau tidak (berjaya memenangi Sabah) PH (Pakatan Harapan) ada peluang dan masa untuk kembalikan kekuatan," kata Azizudin kepada Malaysiakini.

Azizuddin berkata demikian mengulas rasional PRU diadakan awal sekiranya GRS memenangi PRN Sabah 26 Sept ini.

Muhyiddin ketika berucap dalam ceramah di Pintasan, Kota Belud, Sabah semalam berkata, PRN Sabah penting kerana ia penentu masa depan negara, khususnya kepada rakyat negeri itu.

"Sekiranya kita menang di Sabah, kita akan bergegas dan mengadakan PRU. Saya tahu apa yang akan ditulis oleh media tetapi biarkan mereka membuat spekulasi.

"Tetapi PRN Sabah adalah yang paling penting. Isyarat mesti diberikan oleh orang Sabah bahawa 'kami menyokong PN, kami mahu Muhyiddin terus menjadi perdana menteri. Kami mahu Malaysia terus maju dan berjaya' dan satu-satunya cara untuk berjaya adalah bersama saya,” kata Muhyiddin.

Mengulas lanjut Azizuddin berkata kemungkinan PRU awal hanya akan berlaku sekiranya Warisan tewas pada PRN kali ini.


Sementara itu, penganalisis politik, Prof Sulaiman Md Yassin pula berkata kenyataan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu itu dibuat kerana bimbang kemenangan akan berpihak kepada Warisan di Sabah.

"Pada pendapat saya, ia adalah kerana kegusaran Muafakat Nasional (MN) yang merasa tertekan dengan kemenangan Warisan (nanti) akan memberi suara lebih lantang kepada pihak pembangkang," katanya.


Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian pula berkata kenyataan Muhyiddin untuk mengadakan PRU awal berkemungkinan untuk mendapatkan mandat pentadbiran sendiri apabila majoriti tipis di parlimen membawa kepada keadaan tidak menentu khususnya sewaktu sidang parlimen.

"Mandat yang lebih baik akan membolehkan proses tadbir urus berjalan dengan baik," katanya.

Selain itu katanya PRN Sabah akan menguji PN buat pertama kali dan sudah pasti gabungan itu perlukan kemenangan untuk menunjukkan sokongan rakyat kepadanya.

GRS bertanding di bawah tiga logo, iaitu PN, BN dan PBS.

Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) akan bertanding menggunakan logo PN, manakala Umno, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MCA bertanding menggunakan logo BN. PBS pula akan menggunakan logo mereka sendiri.

PRN ini diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lepas, sehari selepas bekas Ketua Menteri Musa Aman mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih kerajaan negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Sept ini sebagai hari mengundi.

MR :  GRS kena tunjuk teladan yang baik dalam kenyataan media   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan