Header Ads

ads header

Flash News

Kemenangan tipis di Sabah tak mungkin cetus PRU15, kata penganalisis


PETALING JAYA:
Dua penganalisis politik berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mungkin tidak akan mengadakan pilihan raya umum (PRU) baru selepas partinya dan sekutu memperoleh majoriti tipis dalam pilihan raya negeri Sabah.

Namun, penangguhan itu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam Umno, yang merupakan sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) dan sekutu PPBM dalam Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata, Muhyiddin mungkin mahu mengukuhkan kedudukan PPBM di seluruh negara terlebih dahulu selepas gagal memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya negeri itu.

“Kita hanya boleh jangka PRU diadakan sekiranya pasukan Muhyiddin menang majoriti lebih 40 kerusi,” katanya kepada FMT.

Pada pilihan raya Sabah Sabtu lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada PN, BN dan PPBM Sabah memperoleh 38 daripada 73 kerusi untuk meraih majoriti tipis 2 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Warisan Plus berjaya mempertahankan 32 kerusi, sementara calon Bebas menang 3 kerusi.

Muhyiddin sebelum ini berkata akan mengadakan pilihan raya umum lebih awal jika GRS menang di Sabah.

Persaingan Umno-PPBM

Sewaktu PN dan BN merebut kuasa daripada Warisan Plus pada malam Sabtu, Azmi berkata, PPBM yang merupakan sebahagian daripada PN hanya memenangi 11 kerusi berbanding BN yang menang 14 kerusi DUN.

“Berdasarkan ini, kedua-dua Umno dan PPBM saling memerlukan untuk menang PRU. Tetapi memandangkan Umno menang lebih banyak kerusi, mereka akan mempunyai kelebihan dalam rundingan pengagihan kerusi,” katanya.

Azmi berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan berusaha keras untuk menuntut bahagian terbesar kerusi, termasuk “kerusi bekas ahli Umno yang meninggalkan parti itu untuk menyertai PPBM.”

Katanya, ini merangkumi kerusi yang dimenangi oleh Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dan ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed. “Mereka mahukan semuanya.”

Faktor Anwar Ibrahim

Azmi berkata, Zahid mungkin bekerjasama secara diam-diam dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk memaksakan PRU jika Muhyiddin tidak membubarkan Parlimen segera.

Namun katanya, Umno mungkin tidak mahu bergabung dengan Anwar kerana akar umbi parti itu tidak akan senang untuk bekerja dengan DAP, yang merupakan sekutu Anwar dalam Pakatan Harapan (PH).

Senada dengan Azmi, Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah berkata, Muhyiddin mungkin menangguhkan PRU untuk mengukuhkan kedudukan PPBM di Semenanjung.

“Ini untuk memperoleh lebih banyak kerusi,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pilihan raya Sabah memberikan Zahid kuasa tawar-menawar yang beliau perlukan untuk memperoleh majoriti kerusi Parlimen.

“Beliau boleh memberi tekanan kepada gabungan PN supaya mengikut tuntutan Umno.”

Bagang berkata, sebab lain untuk menangguhkan PRU ialah potensi penyebaran jangkitan wabak Covid-19 dan sebab-sebab berkaitan ekonomi.

Bagi PAS pula, Azmi berkata, parti Islam itu tidak bertanding di Sabah dan gagal membuktikan nilainya dalam politik nasional.

“Umno sekarang berada jauh di depan, sementara PPBM ketinggalan. PAS tidak mempunyai kuasa untuk berunding mengenai kerusi pada masa ini.”

#Sumber : FMT   

   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan