Header Ads

Header ADS

PRN Sabah medan uji 'kemesraan' Muafakat Nasional berdepan PRU15 kata Profesor Dr Nik Ahmad Kamal


KUALA LUMPUR -
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini dijangka menjadi medan kedua bagi menguji kemesraan dan keutuhan Muafakat Nasional selepas cemerlang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Slim Sabtu lalu.

Penganalisis dan pemerhati politik berpendapat, cabaran lebih besar menanti gabungan tersebut di Sabah melihat kepada isu pemilihan calon, mengelakkan pertindihan dan perebutan kerusi, selain bentuk rundingan yang boleh digunakan dalam mendamaikan kesemua parti komponen yang ingin bertanding.

Seorang penganalisis, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, isu perebutan kerusi pastinya akan menjadi tumpuan di dalam kem MN kerana tidak kira UMNO, Pas mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) nescaya akan terasa apabila calon mereka tidak dipilih.

“Perebutan kerusi memang tidak boleh dielakkan. Namun, pengalaman Barisan Nasional (BN) sejak berpuluh tahun dalam isu pengagihan kerusi seharusnya digunakan dengan sebaiknya untuk memastikan kesaksamaan itu.

“Lantas, parti-parti lain dalam Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional (PN) perlu juga akur tentang isu ini. Jika kesaksamaan ini dapat dipraktikkan dan diselesaikan, isu pengagihan kerusi bukan lagi isu besar,” katanya kepada Bernama.

Setiausaha Agung Bersama Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa, sebelum ini berkata, Muafakat Nasional menerima penyertaan Bersatu atas dasar menyatupadukan orang Melayu dan membina kekuatan kelompok teras Melayu-Islam.

Dalam ciapannya pada Selasa, Annuar berkata, blok UMNO-Pas-Bersatu telah bersetuju untuk berunding dalam isu pengagihan kerusi dan menggubal bersama-sama manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) gabungan itu selain menyokong kerajaan sedia ada di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Gabungan tersebut dilihat telah membuktikan kesepakatan mereka tanpa berebut kerusi mahupun pertindihan calon apabila BN berjaya mengekalkan kerusi DUN PRK Slim dengan kemenangan majoriti lebih besar iaitu 10,945 undi.

Justeru, PRN Sabah bakal menjadi platform memperlihatkan sama ada gabungan tersebut mampu menterjemahkan kejayaan yang sama khususnya demi kestabilan politik orang Melayu dan Islam, kata Nik Ahmad Kamal, yang juga Profesor Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sementara itu, Geostrategis, Profesor Dr Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, kata putus dan sikap tolak ansur anggota gabungan dalam isu pemilihan calon, logo dan manifesto sewaktu PRN Sabah ini kelak akan menentukan sama ada gabungan tersebut mampu menempuh PRU15 sebagai sebuah entiti.

Tegasnya, perkara tersebut perlu diputuskan sebelum boleh ke medan perang di Sabah dan berdepan PRU15, cabaran lebih besar yang bakal menguji sejauh mana kestabilan dan kesepakatan telah diraih dan disemai, baik di peringkat pucuk kepimpinan mahupun peringkat akar umbi.

“Perikatan Nasional (PN) dan MN perlu putuskan dan selesaikan isu tersebut kerana kewujudan kedua dua entiti ini bukan sahaja akan mengelirukan pengundi tapi menyukarkan rundingan pembahagian kerusi. Sukar untuk PN dan MN wujud pada satu masa kerana pemain utama kedua-dua entiti ini adalah sama,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Md Shukri Shuaib dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menyifatkan langkah pendamaian untuk tidak berebut kerusi di PRN Sabah itu antara faktor penting dalam meredakan ketegangan.

Jelasnya, ia juga satu petanda baik bahawa perebutan kuasa dan jawatan peringkat tertinggi tidaklah serius dalam MN dan PN khususnya antara Bersatu dan UMNO sekali gus memperlihat sifat matang ke arah merealisasikan demokrasi profesional dan langkah politik silaturahim.

“Persetujuan bersama untuk berkompromi dan bersepakat itu kena pada waktunya. Rakyat terutamanya majoriti orang Melayu dan bumiputera mahukan supaya parti politik Melayu dan Bumiputera yang berkuasa dapat menjana kesepakatan.

“Ia lambang betapa permusuhan antara parti dapat diredakan bagi mencapai matlamat yang lebih serius,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 30 Julai lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sabah ke-16.

Hari pencalonan pula ditetapkan pada 12 September dan pengundian awal pada 22 September dengan sejumlah 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

#Sumber :  - Bernama  
 


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.