NEW YORK: Syarikat China, ByteDance berdepan kesukaran menyakinkan
kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk mereka mengekalkan pemilikan
majoriti dalam aplikasi video pendeknya, TikTok di AS, menurut bekas
pegawai keselamatan negara AS dan peguam pakar kawal selia.
Bulan lalu, Presiden AS, Donald Trump mengarahkan ByteDance untuk
melucutkan hak ke atas TikTok ketika kebimbangan tentang keselamatan
data kira-kira 100 juta rakyat Amerika yang menggunaan aplikasi itu
dibimbangi terlepas ke tangan kerajaan China yang diperintah Parti
Komunis.
Beliau malahan mengugut untuk mengharamkan TikTok di negara itu pada 20 September ini jika ByteDance tidak menuruti arahannya.
ByteDance telah menyerahkan pelan kepada pegawai AS untuk mereka
mengekalkan pemilikan majoriti dalam perniagaan global TikTok dan
menubuhkan ibu pejabat TikTok di AS, menurut laporan Reuters Selasa
lalu.
Cadangan itu kini sedang dinilai oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing AS
(CFIUS), sebuah panel yang dipengerusikan oleh Jabatan Perbendaharaan
AS.
“Secara konsepnya, saya mengaku saya tidak suka (cadangan ByteDance
kekalkan pemilikan majoriti). Itu yang telah dilaporkan tetapi saya
belum diberitahu lagi. Jika begitu gayanya, saya tidak akan gembira,”
kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih kelmarin.
Jika Trump menerima cadangan tersebut, beliau perlu meminda Perintah
Presiden yang ditandatanganinya pada 14 Ogos lalu yang mengarahkan
ByteDance melucutkan hak ke atas TikTok di AS, sesuatu yang tidak
pernah dilakukan mana-mana Presiden AS dalam sejarah keselamatan negara
itu, kata pakar CFIUS.
“Selepas CFIUS membuat cadangan kepada Presiden dan Presiden
mengeluarkan perintahnya untuk pelucutan hak, tidak pernah berlaku lagi
kedua-dua parti yang terlibat merundingkan penyelesaian yang tidak
melibatkan pelucutan hak, walaupun jelas ia tertakluk dalam kuasa
Presiden untuk mengubah perintahnya,” kata rakan kongsi firma guaman
Freshfields Bruckhaus Deringer LLP, Aimen Mir yang pernah berkhidmat
sebagai Timbalan Pembantu Setiausaha untuk Keselamatan Pelaburan di
Jabatan Perbendaharaan AS.
Setakat ini, ByteDance, Rumah Putih dan Perbendaharaan masih belum memberikan sebarang komen.
Tiada ulasan