Header Ads

Header ADS

30 Tahun Membina Pemikiran Baru Di Kelantan



Peralihan kepemimpinan Kerajaan Kelantan pada 21 Oktober 1990 telah membuka tapak kepada PAS untuk membuktikan Islam yang diperjuangkan selama ini mampu merungkai seluruh masalah manusia.

Dengan dasar Membangun Bersama Islam (MBI), Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama pasukannya telah menterjemahkan Islam politik di Kelantan, sehingga berhasil menolak pemikiran lama yang sentiasa sinis terhadap Islam. Pendekatan ini berterusan di Kelantan selama tiga dekad sehingga pemikiran baru dapat dibinakan.

Antara pemikiran baru yang telah berjaya dibina di Kelantan ialah:

I. Politik dan agama adalah tidak boleh dipisahkan. Selama ini, umat Islam telah terjerat dalam pemikiran sekular bahawa agama suku politik suku (agama tidak bercampur dengan politik dan kehidupan). Mereka menganggap bahawa agama hanyalah urusan ibadat sahaja, sedangkan urusan kehidupan yang lain tidak ada kena mengena dengan dosa pahala dan akhirat. Pemikiran baru yang meletakkan bahawa semua urusan kehidupan, termasuk politik adalah terlibat dengan agama telah melahirkan semua pemerintahan yang telus, adil dan bebas penyelewengan di Kelantan. Agama dan politik ibarat kembar Siam, bercantum dan tidak boleh dipisahkan.

II. Islam boleh memerintah. Selama ini golongan sekular menganggap cita-cita PAS untuk mentadbir negara adalah seperti pungguk rindukan bulan. Mereka menganggap Islam adalah agama di masjid sahaja. Islam tidak sesuai untuk dijadikan dasar politik kenegaraan. Islam tidak mempunyai sistem dalam pemerintahan negara. Apabila PAS cuba menerapkan corak pentadbiran berdasarkan Islam, seluruh dunia memandang kepada Kelantan dan begitu sangsi terhadap kebolehan Islam. Selepas 30 tahun, mereka melihat Kerajaan Kelantan stabil, dapat menguruskan negeri dengan baik, pertumbuhan ekonomi masih rancak dan kadar kemiskinan dapat dikurangkan. Kini mereka mulai faham, bahawa Islam boleh memerintah.

III. Ulamak adalah pemimpin umat. Sebelum ini golongan sekular telah memomokkan bahawa ulamak tidak reti memimpin dan mentadbir. Ulamak hanya sesuai berkhidmat di pondok sahaja. Ulamak hanya boleh memimpin solat, tahlil dan membaca talkin. Mereka menolak jika urusan kepemimpinan negara diserahkan kepada ulamak dan mendakwa ia akan mewujudkan semula negara teokrasi. Sepanjang 30 tahun, ulamak telah berjaya memimpin Kelantan sehingga dapat membuka mata dan hati rakyat terhadap keberkatan kepemimpinan ulamak yang bersandarkan al-Quran dan Sunnah. Nama Tok Guru Nik Aziz dipuja di mana-mana, termasuk oleh musuh politik PAS.

IV. Peraturan Islam membawa kebaikan. Undang-undang syariat sering dituduh kejam, menindas dan tidak berperikemanusiaan. Mereka hanya melihat hukuman sebat dan potong tangan. Tiba-tiba Kelantan menerapkan peraturan syariat tentang judi dan riba. Ternyata tindakan PAS ke atas sistem riba telah memaksa kewujudan sistem perbankan Islam. Hari ini, orang bukan Islam menjadi pengguna terbesar perkhidmatan perbankan dan kewangan Islam di Malaysia. Institusi seperti takaful, ar-rahn (gadaian), dinar dan lain-lain telah berkembang di Kelantan dan turut menjadi ikutan. Tinggal lagi usaha Kelantan untuk menerapkan undang-undang jenayah syariah belum menjadi kenyataan. Tetapi rakyat sudah dapat melihat kebaikan yang ada di dalam syariat Islam melalui sistem ekonomi dan kewangan Islam.

V. Islam mementingkan kemajuan dan pembangunan. Ramai orang menyangka jika negara ditadbir secara Islam, negara akan mundur dan tiada kemajuan yang akan dicapai. Bahkan, sering kali pejuang Islam dituduh anti pembangunan. Memilih Islam sebagai dasar negara bererti kembali ke zaman unta! Itulah di antara dakwaan-dakwaan mereka yang belum kenal Islam. Setelah 30 tahun PAS memerintah berdasarkan Islam, pembangunan tetap berlaku di Kelantan. Bahkan, Kelantan telah berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dari Kerajaan Pusat, termasuk mencatatkan belanjawan surplus empat tahun berturut-turut.

VI. Islam adil untuk semua. Dulu-dulu Islam selalu dituduh akan menindas bangsa dan agama lain. Mereka mendakwa orang bukan Islam akan disekat hak mereka. Mereka akan dipaksa masuk Islam. Mereka akan disunatkan. Pendek kata, mereka terpikir bahawa Islam akan menzalimi mereka. Apabila Islam menjadi dasar pentadbiran di Kelantan, orang bukan Islam diberikan hak-hak mereka, termasuk dapat membina rumah-rumah ibadat mereka tanpa sekatan. Orang bukan Islam dilantik oleh Kerajaan Kelantan sebagai Ahli Majlis Daerah, Penghulu Tanpa Mukim dan ditubuhkan sekretariat untuk kebajikan mereka. Mereka juga dibenarkan mengamalkan agama masing-masing, termasuk dibenarkan minum arak secara terkawal. Ramai orang bukan Islam di Kelantan berpuas hati dengan layanan yang mereka terima sepanjang 30 tahun ini.

VII. Islam adalah agama yang seimbang. Pandangan serong musuh-musuh Islam selama ini menganggap Islam terlalu ketuhanan dan akan menindas kemanusiaan. Islam dianggap ibadat sahaja tanpa mempedulikan kehidupan keduniaan. Apabila Islam diterapkan di Kelantan, ternyata Islam tetap menjaga hak-hak dan kebebasan manusia yang seimbang dengan hak Allah. Bahkan, Islam memandang secara seimbang antara hak dan tanggungjawab. Islam juga bukan semata-mata ibadat di masjid, tetapi ia seimbang terhadap kehidupan duniawi. Kerana itu, ketika soal agama sangat diberati di Kelantan tetap juga kekal membangun dari sudut ekonomi dan pembangunan fizikal.

VIII. Pentadbiran Islam menjadi contoh. Selama ini rakyat dimomokkan bahawa Islam adalah agama yang kolot. Mereka menyangka pemimpin kerajaan Islam tidak mempunyai idea dalam pentadbiran dan akan bertindak secara ortodoks. Setelah berkuasa di Kelantan 30 sejak tahun dulu, Kelantan telah mengemukakan program-program pembaharuan pentadbiran. Ternyata pembaharuan di Kelantan telah ditiru oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri yang lain. Antara pembaharuan ditiru termasuklah cuti dua hari seminggu, cuti bersalin dua bulan untuk kakitangan kerajaan, pengharaman judi dan penghapusan riba. Banyak sekali langkah-langkah pembaharuan di Kelantan telah ditiru oleh pelbagai pihak.

IX. Islam membela wanita. Islam sering dianggap sebagai agama yang memencilkan dan menindas wanita. Mereka menjangkakan bahawa wanita akan dinafikan hak-hak mereka. Rupa-rupanya wanita dibela dan diberikan kedudukan yang tinggi di Kelantan. Wanita bukan sahaja menjadi wakil rakyat, senator dan dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri, tetapi turut dilantik sebagai Penghulu Tanpa Mukim. Urusetia Wanita turut ditubuhkan untuk menggerakkan pembangunan mereka. Wanita turut menguasai aktiviti ekonomi di pasar-pasar. Wanita di kalangan armalah juga dibela sehingga wanita dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki di Kelantan.

X. Islam mesra hiburan. Tidak kurang juga rakyat Malaysia yang berfikir bahawa jika Islam memerintah, mereka tidak lagi dapat berhibur, bersosial, bersukan, berbudaya dan menikmati lagu-lagu indah. Mereka menjangkakan bahawa konsert-konsert akan diharamkan, semua bentuk hiburan akan dihapuskan dan semua tradisi warisan akan diharamkan. Rupa-rupanya Kelantan menbenarkan muzik, hiburan dan seni warisan, cuma ia dikawal supaya mematuhi garis panduan syariat yang ditetapkan. 

 

Seni wayang kulit, dikir barat dan makyong yang diwarisi berzaman juga dibenarkan dengan pematuhan garis panduan. Rupanya Islam tidak melarang hiburan, tetapi mengawalnya supaya tidak melanggari batasan.

Ini adalah sejumlah kecil dari pemikiran-pemikiran baru yang berhasil dibina di Kelantan, sekali gus meruntuhkan tembok Islamopobhia yang selama ini menghantui pemikiran orang ramai terhadap Islam. Dasar Islam yang dibawa oleh PAS dianggap tidak sesuai dan akan menindas rakyat dan mengekang pembangunan. Apabila PAS dapat mentadbir secara Islam selama 30, maka terbukalah mata, hati dan fikiran orang-orang yang selama ini memandang Islam dengan pandangan yang salah. Pemikiran baru telah terbina di Kelantan selama 30 tahun. Ramai orang sudah mencemburui kejayaan Kelantan, dan mereka mulai sedar bahawa Islam adalah agama dan kedaulatan!

Mohd Fadli Ghani

#Sumber : FB   

MR :  Membina Islam dalam diri dan masyarakat.. Kini TGHH pula memibina politik Islam dalam masyarakat kecamuk  


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.