Apakah Siratulmustakim Itu?
Anda mungkin pernah mendengar bahawa surah Al-Fatihah (1) disebut juga sebagai ummul kitab (induk Al-Quran), yang mengandungi keseluruhan apa yang ada di dalam Al-Quran. Surah Al-Fatihah juga menjadi surah yang wajib dibaca dalam setiap rakaat solat. Tujuh belas kali surah ini dibaca setiap hari oleh mereka yang rajin melakukan solat lima waktu.
Solat ialah doa kerana ada banyak doa yang dibaca dalam
solat, termasuklah surah Al-Fatihah yang mengandungi doa agar kita ditunjuki
jalan yang lurus (siratulmustakim).
Itu bererti setiap hari tujuh belas kali anda berdoa meminta petunjuk pada
jalan yang lurus. Pertanyaannya, adakah anda sudah ditunjuki kepada jalan yang
lurus itu? Adakah anda sudah berjalan pada jalan yang lurus itu dan apakah
jalan yang lurus itu?
Semasa kanak-kanak, penulis atau mungkin juga anda,
pernah disampaikan tentang bagaimanakah siratulmustakim
itu. Siratulmustakim dikatakan
sebagai sebuah jambatan di akhirat nanti yang harus dilalui oleh setiap orang
yang akan menuju syurga, namun sangatlah sulit untuk melaluinya. Kesulitannya
bagaikan berjalan di atas sehelai rambut dibelah tujuh. Sangatlah sulit. Hanya
amal ibadah manusia yang dapat menolongnya melintasi jambatan siratulmustakim tersebut. Untuk
melintasinya, diperlukan kelajuan yang tertentu. Bagi mereka yang tidak berjaya
melintasinya, akan jatuh ke dalam neraka (api yang menyala-nyala). Demikianlah
ajaran atau fahaman yang pernah penulis terima ketika masih kanak-kanak dahulu.
Mari kita fikirkan bersama-sama tentang ajaran tersebut. Bagaimanakah
mungkin siratulmustakim itu
wujud di akhirat nanti padahal kita memintanya saat di dunia dan untuk
keselamatan hidup di dunia? Bukankah keselamatan di akhirat yakni kehidupan
setelah mati ditentukan oleh kehidupan di dunia ini? Belum lagi dibincangkan tentang
apa sebenarnya syurga dan neraka itu. Penulis berkesimpulan bahawa cerita
tersebut hanyalah fahaman spiritual nenek moyang. Namun satu hal yang dapat disepakati
ialah bahawa berjalan di atas siratulmustakim
merupakan sesuatu yang sangat sulit dan berat. Jika anda tidak konsisten, anda
akan tergelincir ke dalam neraka (jalan yang sesat; jalan yang penuh dengan
murka Tuhan).
Maka, apakah siratulmustakim
itu sebenarnya? Bukanlah hal yang sukar untuk menjawab persoalan tentang siratulmustakim itu sekiranya kita kembalikan
kepada sumbernya yang benar iaitu Al-Quran. Biarkan Tuhan (Al-Quran) sendiri
yang menjawab dan menjelaskan pertanyaan-pertanyaan di atas. Hilangkan segala
prasangka dan tradisi nenek moyang yang ada dalam pemikiran anda. Jadikan
Al-Quran sebagai kitab petunjuk dalam mencari kebenaran sejati. Anda tidak akan
salah jalan sekiranya anda konsisten mengikuti petunjuk wahyu Tuhan sebagai
sumber kebenaran sejati.
Manusia meminta agar ditunjuki kepada jalan yang lurus
iaitu jalan yang benar. Jalan yang benar itu ialah jalan orang-orang yang telah
dianugerahkan nikmat oleh Tuhan. Jalan yang benar itu bukanlah jalan orang yang
dimurkai dan bukan pula jalan orang yang sesat.
Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa salah satu fungsi
ayat-ayat Al-Quran ialah kemampuannya mentafsirkan dirinya sendiri. Dengan kata
lain, ayat-ayat Al-Quran mentafsirkan ayat-ayat yang lainnya (tafsir al-āyat bi al-āyat). Dalam contoh
ayat di atas, Tuhan sendiri sudah mentafsirkan apa yang dimaksudkan dengan siratulmustakim
itu.
Para pentafsir sering menterjemahkan siratulmustakim sebagai jalan yang
lurus sebagai bandingan kepada jalan yang sesat atau jalan yang menyimpang.
Tentu saja yang dimaksudkan menyimpang itu ialah menyimpang daripada kebenaran,
sehinggakan siratulmustakim
lebih tepat jika diertikan sebagai jalan kebenaran yakni jalan Tuhan, berlawanan
dengan jalan kesesatan atau jalan yang dimurkai Tuhan.
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘tunjukilah kami jalan
kebenaran’ pada ayat 6 surah Al-Fatihah itu? Jalan kebenaran itu ditafsirkan
pada ayat berikutnya iaitu jalan mereka
yang telah diberi nikmat oleh Tuhan, bukan jalan orang yang dimurkai dan bukan pula
jalan orang yang sesat. Jadi ayat 7 sudah menjelaskan apa yang dimaksudkan
dengan siratulmustakim iaitu
jalan yang selama ini diminta oleh jutaan manusia. Cuma penjelasan tersebut
masih belum jelas kerana masih ada beberapa persoalan lanjutan seperti siapakah
yang dimaksudkan dengan kata ‘mereka’ yang telah diberi nikmat oleh Tuhan dan
apakah bentuk ‘nikmat’ tersebut?
Yang dimaksudkan dengan kata ganti ‘mereka’ ialah sesiapa
saja yang mentaati Tuhan dan Rasul-Nya. Mereka inilah yang akan bersama-sama
dengan orang-orang yang telah dianugerahi nikmat oleh Tuhan iaitu para nabi,
para shiddiqin, para syuhada dan orang-orang soleh. Mereka itulah teman
yang sebaik-baiknya. Itulah kurniaan atau nikmat dari Tuhan yang Maha Mengetahui.
Daripada penjelasan (tafsir) ayat di atas, sudah jelas
bahawa yang dimaksudkan dengan kata ‘mereka’ yang diberi nikmat oleh-Nya pada surah
Al-Fatihah (1) Ayat 7 ialah mereka yang taat kepada Tuhan dan Rasul-Nya, iaitu
para Nabi, para shiddiqin, para syahid dan orang-orang soleh. Mereka
inilah yang telah dikurniai nikmat dari Tuhan yang menjadi Rabb, Malik
dan Ilah umat manusia. Merekalah yang berjalan pada jalan kebenaran Tuhan
(siratulmustakim). Dengan
demikian, siratulmustakim itu ialah
jalan yang ditempuhi oleh para Nabi dan Rasul Tuhan berserta orang-orang
beriman pada zaman dahulu yang juga harus ditempuhi oleh mereka yang beriman
saat ini.
Tuhan telah mengangkat martabat orang yang telah diberi
nikmat oleh-Nya ke martabat yang tinggi. Mereka itu ialah para Nabi daripada
keturunan Adam, daripada pengikut-pengikut Nabi Nuh dan daripada keturunan
Ibrahim dan Israel serta daripada orang-orang yang telah diberi petunjuk dan
telah dipilih oleh Tuhan. Apabila dibacakan ayat-ayat Tuhan Yang Maha Pemurah
kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis.
Jadi apakah bentuk nikmat yang telah Tuhan anugerahkan
kepada mereka? Jika kita pelajari sejarah peradaban dunia dan informasi wahyu
yang ada di dalam Al-Quran, dapat difahami bahawa bentuk nikmat yang telah dianugerahkan
Tuhan kepada para Rasul-Nya dan orang-orang beriman ialah mereka menjadi
penguasa di muka bumi pada zaman mereka masing-masing. Inilah tradisi Tuhan (sunnatullah) yang berlaku bagi mereka
yang berjalan di jalan-Nya. Bahkan hal ini sudah menjadi janji Tuhan dan pasti
ditepati bagi mereka yang beriman dan beramal soleh.
Tuhan telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan
mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan
mereka berkuasa di muka bumi sama seperti Dia telah menjadikan orang-orang
sebelum mereka berkuasa. Dia akan meneguhkan din yang telah diredai-Nya
untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar keadaan mereka sesudah mereka
dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap mengabdi kepada Tuhan dengan
tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan-Nya. Sesiapa yang tetap kafir
sesudah janji itu, bererti mereka itulah orang-orang yang fasik.
Sudah menjadi sunnah-Nya,
Dia akan menjadikan mereka yang beriman dan beramal soleh atau dalam erti kata
lain mereka yang taat kepada Tuhan dan Rasul-Nya dan melaksanakan segala
perbuatan baik yang diperintahkan oleh-Nya sebagai penguasa dunia seperti yang
telah dianugerahkan kepada para Rasul dan orang-orang beriman pada zaman
dahulu.
Misalnya, Tuhan telah menyelamatkan Nuh dan orang-orang
yang bersamanya dan menjadikan mereka pemegang kekuasaan. Tuhan ‘menenggelamkan’
orang-orang yang mendustakan ayat-ayat-Nya sebagai satu kesudahan bagi orang-orang
yang telah diberi peringatan.
Rasulullah Musa as. berserta Bani Israel juga telah
diberikan kekuasaan. Negeri-negeri di bahagian Timur dan Barat bumi yang telah diberi
berkah oleh Tuhan juga telah dipusakakan kepada kaum yang telah ditindas
iaitu Bani Israel. Tuhan menyempurnakan janji-Nya untuk Bani Israel disebabkan
kesabaran mereka. Tuhan juga telah menghancurkan apa yang telah dibuat Firaun
dan kaumnya dan apa yang telah dibangunkan oleh mereka.
Rasulullah Isa as. berserta pengikutnya juga diberikan
kekuasaan setelah mereka mendapat kemenangan dalam peperangan. Nabi Isa telah
menyeru orang-orang yang beriman agar mereka menjadi penolongnya untuk
menegakkan din Tuhan. Segolongan daripada Bani Israel beriman dan segolongan lagi
kafir. Berkat kekuatan (pertolongan) dari Tuhan, orang-orang beriman dan kaum Ansar
di bawah pimpinan Isa as. berhasil memenangi peperangan.
Ayat ini sekali gus ingin meluruskan keyakinan sebahagian
besar atau majoriti umat manusia, bahawa Nabi Isa as. bukanlah Nabi yang gagal
dalam menggenapi nubuat para Nabi Bani Israel sebelumnya, atau Nabi yang hanya
berdakwah selama 3 tahun kemudian disalib, mati dan dikuburkan dan kemudian
pada hari ke-3 naik ke langit duduk di samping Tuhan di syurga. Tidak masuk
akal jika ada Rasul Tuhan yang gagal dalam menjalankan tugasnya untuk
menegakkan din Tuhan di muka bumi. Bukankah Tuhan Yang Maha Kuasa senantiasa
membimbing mereka, selama mereka taat kepada-Nya? Dan ini juga terbukti pada
zaman Rasulullah Isa as. Jika bukti sejarah akan kejayaan Nabi Isa as. dan
generasinya tidak dapat ditemukan saat ini, bukan bererti bahawa sejarah dan
karya mereka tidak ada. Sudah menjadi hal yang lumrah bagi penguasa
kafir-musyrik pada masa itu iaitu Romawi untuk membumihanguskan semua
peninggalan peradaban Islam pada zaman Isa as. demi maksud dan tujuan tertentu.
Sebuah kekuasaan atau tamadun yang sedang berkuasa akan mampu melenyapkan
sejarah kekuasaan atau tamadun penguasa sebelumnya.
Bukti bahawa Tuhan telah menganugerahkan kekuasaan kepada
Bani Israel pada zaman Isa as. dinyatakan secara indah dalam bahasa perumpamaan
tentang ‘hidangan dari langit’. Isa menyeru Bani Israel agar bertakwa kepada Tuhan
jika mereka benar-benar orang yang beriman lalu Bani Israel berkata bahawa mereka
ingin makan ‘hidangan dari langit’ agar hati mereka tenteram dan supaya mereka yakin
bahawa Isa telah berkata benar kepada mereka. Mereka ingin menyaksikan ‘hidangan’
itu sendiri. Isa berdoa kepada Tuhan agar ‘hidangan dari langit’ itu diturunkan
kepada mereka dan pada hari hidangan itu turun akan menjadi hari raya bagi mereka
iaitu bagi orang-orang yang bersama mereka dan bagi orang yang datang sesudah
mereka. ‘Hidangan’ itu menjadi tanda
kekuasaan Tuhan. Tuhan berfirman bahawa Dia akan menurunkan hidangan itu
kepada mereka tetapi sesiapa di antara mereka yang kafir setelah turunnya ‘hidangan’
itu, maka sesungguhnya Tuhan akan menyeksanya dengan seksaan yang tidak pernah ditimpakan-Nya
kepada seorang pun di antara umat manusia.
Yang dimaksudkan dengan ‘hidangan dari langit’ di sini
bukanlah makanan biologi kerana hal itu tidak masuk akal. Tetapi hidangan yang
diminta ialah ‘Kerajaan Tuhan’ di muka bumi seperti yang pernah diberikan
kepada nenek moyang mereka pada zaman Nabi Musa.
Bani Israel berdoa agar Tuhan mendatangkan Kerajaan-Nya
dan menjadikan keadaan di bumi sama seperti di syurga.
Untuk memperoleh ‘hidangan’ tersebut, maka Bani Israel diwajibkan
untuk beriman dan taat kepada Tuhan. Mereka sangat berharap dapat menikmati dan
menyaksikan datangnya ‘hidangan’ tersebut semasa hidup mereka.
Nabi Isa pernah berkata kepada pengikutnya bahawa sesungguhnya
di antara orang yang hadir bersama-samanya pada ketika itu, ada yang tidak akan
mati sebelum mereka melihat ‘hidangan’ itu turun atau dengan erti kata lain
melihat hari tegak dan berkuasanya Kerajaan Tuhan di muka bumi.
Untuk itulah mereka meminta Nabi Isa untuk berdoa kepada Tuhan
agar diturunkan (dianugerahkan) hidangan dari langit tersebut.
Jelaslah bahawa ‘hidangan’ (Al-Maidah) yang
diminta oleh mereka bukanlah makanan biologi, kerana ‘hidangan’ tersebut akan
menjadi ‘Hari Raya’ bagi mereka dan bagi orang-orang yang datang kemudian iaitu
anak keturunan mereka dengan memperingatinya pada setiap tahun. Hari itu
menjadi Hari Raya atau ‘Hari Id’ sebagai tanda kemenangan umat Islam Bani
Israel. Hari Id ialah hari kembalinya mereka kepada fitrah mereka yang sejati iaitu
menjadi hamba-hamba Tuhan yang tunduk patuh kepada sistem hukum-Nya yang
ditegakkan oleh penguasa kekuasaan (Kerajaan) Tuhan atau Jerusalem
(Darussalam). Hari itulah hari di mana mereka telah terbebas daripada dosa iaitu
merdeka daripada perbudakan dan penjajahan raja bangsa-bangsa yang selama ini
menindas Bani Israel. Mereka tidak akan dapat merayakan ‘Hari Id’, jika mereka
tidak dianugerahi kemenangan dan kekuasaan oleh Tuhan.
Tuhan memperkenankan ‘hidangan dari langit’ yang
ditunggu-tunggu oleh Bani Israel. Dengan kata lain, kerana mereka tetap beriman
dan taat kepada perintah Tuhan (beramal soleh) maka Tuhan menganugerahkan
kemenangan dan kekuasaan sebagai ‘hidangan dari langit’; anugerah Kerajaan Tuhan.
Inilah ajran ‘adziman (ganjaran yang
amat besar) atau nikmat dari Tuhan bagi mereka yang beriman dan beramal soleh.
Janji untuk menjadikan mereka penguasa atau pemimpin
dunia juga pernah disampaikan Tuhan kepada Nabi Ibrahim ketika Ibrahim diuji
dengan beberapa kalimat iaitu perintah dan larangan dari Tuhan lalu dia menunaikannya.
Kerana itu Tuhan berjanji bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan Ibrahim
sebagai imam bagi seluruh manusia. Ibrahim memohon agar hal yang sama diberikan
kepada keturunannya lalu Tuhan berfirman bahawa janji-Nya itu tidak akan
berlaku kepada orang yang zalim.
Kurniaan Tuhan itu telah membuatkan orang-orang kafir
merasa dengki. Sesungguhnya Tuhan telah memberikan Kitab dan Hikmah kepada
keluarga Ibrahim dan telah memberikan kepadanya kerajaan yang besar.
Diri dan harta orang-orang mukmin telah dibeli oleh Tuhan
dan balasannya ialah syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Tuhan. Lalu
antara mereka, ada yang membunuh dan ada yang terbunuh. Hal itu telah menjadi
janji yang benar dari Tuhan dan telah tertulis dalam Taurat, Injil dan Al-Quran.
Tidak ada yang lebih menepati janjinya selain daripada Dia. Maka orang-orang
mukmin harus merasa gembira dengan jual beli yang telah dilakukan oleh mereka. Itulah
kemenangan yang besar bagi mereka.
Tuhan menyebutkan tentang nikmat kekuasaan yang diberikan-Nya
kepada Nabi Muhammad pada hari orang-orang kafir telah berputus asa untuk
mengalahkan din-Nya. Tuhan berfirman kepada Muhammad dan orang-orang beriman
agar tidak takut kepada orang-orang kafir dan hanya takut kepada-Nya. Pada hari
itu, Dia telah menyempurnakan din-Nya untuk mereka dan telah mencukupkan nikmat-Nya
serta telah meredai Islam sebagai din bagi mereka.
Dan Tuhan telah mewariskan kepada mereka tanah-tanah,
rumah-rumah dan harta benda mereka dan begitu pula tanah yang belum mereka injak.
Sesungguhnya Tuhan Maha Kuasa terhadap segala sesuatu.
Demikianlah bentuk nikmat, anugerah atau karunia yang
telah diberikan Tuhan kepada mereka yang berjalan pada “jalan kebenaran-Nya”.
Sudah semakin jelas apa yang dimaksudkan dengan siratulmustakim itu. Pertanyaan selanjutnya ialah, apakah bentuk
siratulmustakim yang menjadi
pegangan dan jalan para Nabi dan Rasul Tuhan tersebut?
Tuhan berfirman agar Rasulullah Muhammad mengatakan
bahawa sesungguhnya dia telah ditunjuki oleh Tuhan kepada jalan yang lurus atau
din yang benar iaitu millah Ibrahim yang lurus dan Ibrahim itu bukanlah
termasuk orang-orang musyrik.
Sudah sangat jelas dan tegas bahawa petunjuk siratulmustakim yang Tuhan berikan
kepada Nabi Muhammad ialah din yang benar; yakni Millah Ibrahim yang murni. Sesungguhnya
din yang dibawa dan diajarkan oleh Nabi Muhammad bukanlah din yang baharu,
melainkan din yang sudah pernah diberikan Tuhan kepada Nabi Ibrahim (Abraham),
yang juga diikuti oleh para Nabi dan Rasul Tuhan sesudahnya. Bahkan Nabi
Muhammad mengisytiharkan dirinya sebagai pengikut Millah Ibrahim yang hanif.
Tuhan telah mewahyukan kepada Muhammad agar mengikuti
millah Ibrahim kerana Ibrahim ialah seorang yang hanif dan tidak termasuk
orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. Sesungguhnya Ibrahim telah diambil oleh
Tuhan menjadi kesayangan-Nya.
Tidak ada yang lebih baik din-nya daripada orang yang
ikhlas menyerahkan dirinya kepada Tuhan dan dalam masa yang sama mengerjakan
kebaikan serta mengikuti millah Ibrahim yang lurus.
Benarlah apa yang difirmankan oleh Tuhan. Maka ikutilah
Millah Ibrahim yang lurus kerana Ibrahim bukan daripada golongan orang yang
musyrik.
Orang-orang beriman diseru untuk berjihad pada jalan
Tuhan dengan jihad yang sebenar-benarnya. Mereka telah dipilih oleh Tuhan dan
Dia sekali-kali tidak menjadikan din itu sebagai satu kesempitan bagi mereka. Mereka
diseru agar mengikuti millah orang tua mereka iaitu Ibrahim. Mereka telah dinamakan
oleh Tuhan sebagai orang-orang Muslim sejak dahulu lagi. Demikian jugalah bagi mereka
yang mengikuti Nabi Muhammad. Mereka juga disebut sebagai orang-orang Muslim. Para
Rasul menjadi saksi atas diri orang-orang beriman dan mereka pula menjadi saksi
atas segenap manusia. Tuhan memerintahkan agar mereka mendirikan solat, menunaikanlah
zakat dan berpegang pada tali-Nya kerana Dialah Pelindung bagi mereka. Sesungguhnya
Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.
Dengan demikian, semakin jelaslah bagi kita apa yang dimaksudkan
dengan ‘jalan yang lurus’ itu. Siratulmustakim
itu ialah Millah Ibrahim, yakni jalan kebenaran Tuhan Yang Maha Esa, yang
menjadi konsep dan jalan hidup atau sistem hidup para Nabi dan Rasul Tuhan
dalam memperjuangkan tegaknya sistem hukum yang benar dalam suatu kekuasaan Tuhan
demi terwujudnya kedamaian dan kesejahteraan hidup umat manusia di muka bumi.
Millah Ibrahim merupakan konsep atau jalan hidup yang
berbeza dengan apa yang ditempuhi oleh mereka yang berjalan pada jalan yang
dimurkai Tuhan dan jalan yang sesat. Mengapakah mereka mendapat murka Tuhan? Tuhan
murka kerana mereka ialah umat atau bangsa yang telah pun disampaikan misi
risalah-Nya dan memahami ‘Kebenaran Tuhan’ yang sejati, namun mereka lebih
memilih jalan hidup yang lain, yang dibuat oleh nenek moyang mereka sendiri
(kafir-zalim). Mereka kafir pada kebenaran yang disampaikan oleh saksi-saksi Tuhan
sehinggalah apabila saatnya tiba, Tuhan memberikan azab-Nya kepada mereka.
Ada manusia yang berjalan pada jalan kesesatan dan tidak
mendapatkan wahyu Tuhan atau sinar Tuhan sehinggakan mereka tetap berada dalam
kegelapan. Ketika Nur Tuhan
menghampiri mereka, ada yang menerimanya lalu mereka keluar daripada kehidupan
yang gelap menuju kehidupan yang penuh dengan sinar (ilmu) Tuhan. Namun tidak
sedikit juga yang menolak Nur Tuhan
tersebut, lalu mereka tetap bergelimang dalam kegelapan dan kesesatannya hingga
datangnya hari penghakiman bagi mereka di dunia ini.
Yang melindungi orang-orang beriman ialah Tuhan dengan
cara mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Manakala
bagi orang-orang yang kafir, yang melindungi mereka ialah setan dengan cara
mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itulah
penghuni neraka dan mereka kekal di dalamnya.
Akhirnya, apa jua jalan yang dipilih oleh setiap manusia menjadi
hak asasi dan tanggung jawabnya sendiri. Setiap pilihan jalan yang akan
ditempuhi memiliki proses dan akibat tersendiri. Untuk itu, fahami dan yakini
jalan apa yang akan menjadi pilihan anda. Jadikan siratulmustakim, jalan kebenaran
Tuhan, yakni jalan Millah Ibrahim; jalan para Nabi dan Rasul Tuhan sebagai
pilihan jalan hidup Anda untuk mendapat nikmat daripada-Nya. Jika demikian, itu
bererti doa anda telah dijawab oleh-Nya dan solat anda pun tidak sia-sia lagi.
Hazzedie Hussin |
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com







©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan