Header Ads

Header ADS

Beberapa ahli Parlimen mungkin sokong Anwar, kata penganalisis


PETALING JAYA:
Penganalisis politik menyuarakan keraguan hanya pemimpin parti boleh memutuskan siapa harus menjadi perdana menteri, jika Yang di-Pertuan Agong memanggil mereka untuk mengesahkan sokongan kepada Anwar Ibrahim.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia, Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia dan Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, kemungkinan beberapa ahli Parlimen tidak bersetuju dengan pendirian pemimpin parti.

Azmi mendakwa beliau tahu sekurang-kurangnya 2 ahli Parlimen PAS menyokong Anwar, walaupun timbalan presiden parti itu berkata tiada seorang pun dari PAS berbuat demikian.

Selepas menghadap Agong semalam, Anwar dilaporkan berkata, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan memanggil beberapa pemimpin parti politik dalam beberapa hari ini.

Azmi Hassan.

Merujuk kenyataan dikeluarkan Istana Negara selepas sesi menghadap itu, Azmi berkata, ia menunjukkan Agong mahukan kestabilan ketika negara berdepan peningkatan kes Covid-19.

Katanya, Sultan Abdullah mungkin menyerahkan perkara itu kepada Dewan Rakyat untuk ahli Parlimen membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Azizuddin yang bersetuju dengan Azmi berkata, ada kemungkinan beberapa ahli Parlimen tidak bersetuju dengan pemimpin parti mereka.

Beliau mendapati veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah ialah ahli Parlimen pertama dari parti itu yang menghadap Agong selepas Anwar semalam.

Awang Azman berkata, Agong mungkin memanggil Tengku Razaleigh menghadap kerana Sultan Abdullah menganggap beliau ialah pihak berkecuali.

Azizuddin Mohd Sani.

“Beliau juga dianggap paling berpengalaman dalam parti itu dan menjadi rujukan utama Umno kerana terdapat beberapa blok dalam parti itu.”

Beliau senada dengan Azmi, perkara itu mungkin diputuskan dengan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Mengulas kegagalan Anwar menyerahkan senarai ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Agong, Azmi berkata, senarai yang didakwa dimiliki Anwar mungkin sudah lapuk, dengan beberapa ahli Parlimen sudah menarik balik sokongan mereka.

Katanya, ramai yang mungkin mengubah fikiran sejak 23 Sept lalu, ketika Anwar mengumumkan beliau mempunyai majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru.

“Sekiranya beliau menyerahkan dokumen itu dan seorang atau dua menarik balik sokongan mereka, seluruh senarai itu mungkin dipersoalkan.”

Awang Azman Pawi.

Semalam, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak tahu Tengku Razaleigh akan menghadap Agong sehingga beliau tahu melalui laporan media.

Tujuan beliau menghadap Agong masih tidak jelas.

Beberapa ahli Parlimen yang bersekutu dengan Perikatan Nasional menafikan mereka menyokong Anwar, tetapi Zahid berkata, memang ada beberapa ahli Parlimen menyokongnya.

#Sumber :  FMT  

MR :    


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.