Header Ads

Header ADS

Bersaing dalam muafakat sukarkan laluan PN


UMUM menyedari politik Malaysia didominasi Barisan Nasional (BN) sejak awal merdeka. Namun, kemenangan luar jangka Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membuka lembaran baharu dalam lipatan sejarah politik negara.

Kejayaan PH juga membuka jalan kepada permuafakatan politik secara formal dan serius antara dua parti Melayu terbesar, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sebelum disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sebelum PRU-14, sebahagian besar penganalisis politik Malaysia berpandangan sistem demokrasi negara bersifat permuafakatan.

Justeru, wawasan dan personaliti Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO selalunya banyak membentuk corak dan rupa bentuk politik Malaysia.

Gagasan BN dilihat satu formula sangat berkesan dalam membendung gejala kebencian dan persaingan politik berlatarkan isu perkauman.

Konsep perkongsian kuasa antara kaum dalam parti komponen diurus dengan baik melalui pembahagian jawatan menteri dan keanggotaan dalam Kabinet.

Dalam rangka hubungan kaum bersifat terpisah, aspek persaingan tidak dapat dielakkan. Justeru, hubungan yang wujud lebih bersifat 'memampas'.

Aspek pampasan ini mampu mengendurkan semangat persaingan berlebihan. Kuasa politik didominasi Melayu menerusi UMNO melalui instrumen paksaan negara seperti polis dan tentera berhasil membentuk kestabilan politik.

Taburan kerusi pada peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga ditentukan pucuk pimpinan tertinggi BN dikuasai UMNO.

Bagi elit politik daripada parti komponen bukan Melayu, mereka menggunakan jawatan dalam kerajaan untuk mengagihkan sumber bagi menaungi kaum masing-masing.

Selepas enam dekad, keputusan PRU-14 menyaksikan UMNO tidak lagi menjadi parti dominan dalam Kerajaan Persekutuan.

Hari ini, UMNO bersama beberapa parti lain sekali lagi membentuk kerajaan pada peringkat Persekutuan dan kali ini dengan majoriti sangat tipis di Dewan Rakyat, iaitu 113 kerusi berbanding 109 kerusi yang dikuasai PH.

Kedudukan ini mendatangkan masalah dalam soal pembahagian kerusi untuk pilihan raya seterusnya.

Jika mana-mana parti komponen menarik diri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), maka negara berkemungkinan berhadapan pilihan raya dan kerajaan sekali lagi berada dalam keadaan tergantung.

Gabungan PN tidak mempunyai parti yang benar-benar dominan. Justeru, sesetengah penganalisis mengatakan pembentukan PN hanya semata-mata untuk kestabilan politik negara.

Hubungan terbentuk adalah persefahaman menstabilkan politik negara susulan kemelut politik dicetuskan kelompok elit tertentu daripada dalam dan luar PH.

UMNO turut bertegas, bahawa ia tidak mempunyai sebarang ikat janji dengan mana-mana parti lain dalam PN, termasuklah BERSATU dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Namun, UMNO mempunyai kerjasama teratur dengan PAS untuk membentuk gabungan mantap bagi memenangi pilihan raya. Dua parti ini mempunyai kekuatan seimbang di negeri majoriti Melayu seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Cabaran mungkin berlaku dalam soal pembahagian kerusi menjelang pilihan raya. PAS turut membuat perkiraan untuk bertanding di 40 kawasan Parlimen merangkumi negeri majoriti Melayu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tiada ruang diberikan kepada parti itu disebabkan faktor landskap politik yang dikira tidak begitu mesra kepada parti itu.

PAS turut bertegas supaya rakan komponen PN turut bertolak ansur soal pembahagian kerusi dalam PRU-15 nanti.

UMNO, PAS dan BERSATU mempunyai segmen pengundi sama, iaitu Melayu-Islam. Justeru, kemungkinan untuk berlaku bibit konflik pasti wujud.

PN masih gabungan yang rapuh. Ternyata, kejayaan mengurus ancaman pandemik COVID-19 menyelamatkan gabungan ini buat sementara waktu.

Ada kemungkinan akan berlakunya konflik antara parti gabungan selepas berakhirnya COVID-19 khususnya hal berkait perebutan kuasa.

Memandangkan setiap parti ada kekuatan hampir setara, elemen 'memampas' tidak lagi berkesan bagi meredakan persaingan sesama rakan komponen.

Sekiranya terdapat mana-mana parti memilih jalan keluar daripada gabungan, maka PN mungkin runtuh seperti runtuhnya PH.

Pembentukan kerajaan PN dirasakan masih gagal menyelesaikan krisis perebutan kuasa antara elit politik.

Lantas, perjalanan PN tidak mudah kerana terpaksa berkongsi kuasa tanpa ada suatu pun parti dominan.

Setiap parti cuba menuntut keistimewaan dan hak lebih khususnya membabitkan pelantikan menteri dalam Kabinet.

Hal ini berbeza sama sekali dengan formula BN selama enam dekad lalu yang menyaksikan bagaimana UMNO begitu dominan dalam menyusun atur pecahan kerusi dalam pilihan raya dan jawatan Kabinet secara pampasan dengan parti komponen lebih kecil, sekali gus berjaya mengelakkan persaingan.

Dr Ilyas Abdullah
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub


#Sumber :     

MR :    


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


2 ulasan:

  1. Tuan Pengarang,
    Ketahuilah bahawa dominasi politik inilah yang menghancurkan UMNO.

    Lihatlah betapa Tun M melakukan pelbagai kezaliman sewaktu dia memerintah semasa UMNO dominan dalam Barisan Nasional. Ini termasuklah pembunuhan penduduk Memali.

    Kini politik baharu. Tiada dominasi. Inilah politik yang lebih baik daripada dominasi.

    Politik konsensus ini adalah politik era baharu yang kini adalah trend yang melanda seluruh dunia termasuklah di Britain dan di Republic of Ireland, juga di Australia dan Turkey.

    Saya nasihatkan penulis utk lihat sendiri perkembangan politik di serata dunia. Tiada lagi politik dominasi.

    Jadi apa perlu kita buat.

    Ha, bijak lah dalam negosiasi. Gunakan akal dan diplomasi dalam segala urusan. Letakkan lah pergantungan kepada Allah. Sila rujuk cara Nabi Musa dan Nabi Harun berjumpa dgn Firaun.

    Say goodbye to dominant politics.
    Welcome consensual politics. PAS is spearheading this trend of politics : in consistent with "BPMS, budaya politik matang dan sejahtera"

    BalasPadam
    Balasan
    1. U r absolutely right..say goodbye to dominant politic

      Padam

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.