Header Ads

ads header

Flash News

Covid-19: Dua kluster baharu di Kedah, satu di Terengganu


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tiga lagi kluster baharu membabitkan dua di Kedah dan satu di Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster terbabit ialah Kluster Bah Sintok dan Kluster Jeram di Kedah serta Kluster Bah Tanjung di Terengganu.

Menurutnya, Kluster Bah Sintok dikenal pasti di Kubang Pasu, di mana kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-12,072) adalah seorang lelaki warga negara Malaysia berusia 23 tahun yang baru pulang dari Sabah pada 20 September.

"Kes mempunyai gejala demam, selesema dan sakit kepala sejak 22 September lalu. Saringan Covid-19 dikesan positif pada 2 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.

"Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 11 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti. Kesemua kes yang dikesan positif adalah warga negara Malaysia dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 12 tengah hari ini sejumlah 165 individu disaring di mana 12 dikesan positif, 61 negatif dan 92 masih menunggu keputusan.

"Bagi Kluster Jeram pula dikenal pasti di Kubang Pasu. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-11,211) adalah seorang pesakit wanita warga negara Malaysia berusia 31 tahun.

"Kes bergejala batuk dan sakit kepala sejak 25 September lalu dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tunjang pada 28 September lalu di mana saringan Covid-19 dijalankan.

"Kes dikesan positif pada 29 September dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan tiga lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga kes positif ini membabitkan petugas kesihatan. Mereka juga dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan.

"Sehingga 12 tengah hari ini , sejumlah 65 individu disaring di mana empat dikesan positif, 50 negatif dan 11 masih menunggu keputusan.

"Proses pembersihan dan nyah kuman di fasiliti kesihatan yang berkaitan telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu. Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

Katanya, Kluster Bah Tanjung pula dikenal pasti di Kuala Nerus, Terengganu. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-11,477) adalah seorang lelaki warga negara Malaysia berusia 46 tahun.

"Kes mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah dari 10 sehingga 27 September. Kes bergejala sakit tekak dan demam sejak 28 September.

"Kes dikesan positif Covid-19 pada 30 September dan dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan enam lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti.

"Semua kes positif ini membabitkan warga negara Malaysia. Mereka juga dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang untuk rawatan.

"Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 245 individu disaring di mana tujuh dikesan positif, 113 negatif dan 124 masih menunggu keputusan," katanya.

#Sumber :  HMetro  

MR :    


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan