Header Ads

ads header

Flash News

PKPB berjaya turunkan kadar jangkitan di Selangor


Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor selama seminggu telah menunjukkan kesan positif dalam menurunkankan kadar jangkitan atau R-naught (RO) Covid-19 di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kadar jangkitan di Selangor dapat diturunkan daripada 1.98 kepada 1.48 setakat ini.

“Tetapi kami perlu melakukannya dengan lebih baik tanpa mengubah strategi PKPB yang membenarkan sektor ekonomi berfungsi. Kami perlu meningkatkannya, mengetatkan sektor sosial seperti sukan dan pendidikan.

"Jadi, jika aktiviti sektor sosial digantung sementara untuk satu atau dua minggu, maka saya fikir kami boleh menambah baik menggunakan strategi PKPB untuk menurunkan RO atau mengurangkan kes,” kata beliau dalam sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya hari ini.

Beliau kemudian menjelaskan lagi keputusan melaksanakan PKPB adalah untuk mendapatkan keseimbangan yang baik antara kesihatan dan ekonomi selain antara nyawa dan mata pencarian.

“Kami memutuskan kami mengguna pakai strategi ini dengan menggunakan PKPB dan bukannya PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). PKP mungkin berkesan dalam jangka masa pendek tetapi kesannya kepada negara semua sektor ekonomi terhenti seketika.

"Jika kami boleh mengurangkan dan mengawal pergerakan orang ramai terutamanya di Selangor, maka ia boleh dijadikan satu bentuk penyelesaian. 

"Tetapi sejauh mana kejayaannya bergantung kepada sekiranya kita boleh duduk di rumah dan kita boleh putuskan rantaian jangkitan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM mampu mengesan 90 peratus daripada jangkitan di Selangor kepada klusternya menerusi aplikasi MySejahtera yang membantu mengekang kes-kes positif.

Beliau berkata aplikasi itu membolehkan KKM mengesan kes positif sama ada di Selangor ataupun di luar negeri itu.

Dr Noor Hisham berkata KKM sedang menjalankan pemantauan rapi ke atas pesakit Covid-19 yang pulih untuk melihat kesan jangka panjang, sambil memberi contoh sama ada parut di dalam paru-paru akan menyebabkan kesesakan nafas.

Mengenai sama ada pesakit Covid-19 yang pulih menghadapi komplikasi kesihatan, Dr Noor Hisham berkata kesan sampingan mungkin kurang bagi pesakit dengan jangkitan ringan dan tidak bergejala.

Dr Noor Hisham berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga sedang membuat kajian dengan melihat kepada antibodi pesakit.

Katanya antibodi terhadap virus akan terbina selepas seseorang itu dijangkiti, namun persoalannya ialah berapa lama antibodi itu akan kekal dalam badan.

Katanya laporan awal menunjukkan selepas lapan minggu antibodi itu akan semakin berkurangan.

Ditanya mengenai usaha Kerajaan Negeri Selangor yang melaksanakan saringan, Dr Noor Hisham berkata kerajaan negeri itu sepatutnya bekerjasama dengan jabatan kesihatan negeri untuk menyelaras proses saringan dan bukannya melakukannya secara bersendirian.

Beliau berkata penyelarasan dari jabatan kesihatan negeri dan ibu pejabat adalah satu pendekatan menyeluruh dalam menyelesaikan isu, cabaran dan berkongsi maklumat.

- Bernama

  


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan