Header Ads

Header ADS

Saya tak pernah sokong sesiapa jadi calon PM kata Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau memberikan sokongan kepada mana-mana individu sebagai calon perdana menteri.

Dalam perutusan khas yang disampaikan melalui media sosial hari ini, Mahathir berkata Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskannya juga tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti atau individu yang berkehendakkan jawatan tersebut.

“Saya diberitahu bahawa kononnya saya menyokong seseorang daripada calon yang ingin menjadi perdana menteri.

"Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah memberi sokongan kepada sesiapapun sebagai calon untuk menjadi perdana menteri.

"Saya sendiri berada dalam parti baru saya iaitu Pejuang dan parti ni bebas tidak ada kaitan dengan mana-mana parti atau individu yang mempunyai cita-cita mendapat sesuatu jawatan," katanya.

Justeru Mahathir berkata dia berharap tidak ada mana-mana pihak yang mengaitkan dirinya menyokong mana-mana individu untuk menjadi perdana menteri.

"Saya harap tidak ada lagi percubaan yang mengatakan saya telah menyokong si polan dan si polan. Tak ada sokongan," katanya.

Terdahulu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim pagi tadi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi mempersembahkan jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokongnya sebagai perdana menteri.

Dalam sidang media selepas itu, Anwar berkata dia mendapat sokongan lebih 120 anggota parlimen, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Istana Negara dalam kenyataan selepas itu mengesahkan Anwar telah mempersembahkan jumlah ahli parlimen yang didakwa menyokongnya kepada Al Sultan Abdullah.

Bagaimanapun Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, presiden PKR itu tidak mengemukakan senarai nama mereka kepada Seri Paduka.

Isu peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar sering menjadi perbalahan dalam kerajaan Pakatan Harapan selepas gabungan itu memenangi pilihan raya umum pada 2018.

Mahathir yang dilantik kali kedua sebagai perdana menteri berjanji menyerahkan jawatan itu kepada Anwar tetapi tidak ada tarikh ditetapkan.

Mahathir kemudian berkata dia hanya akan mengundurkan diri selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang dijadual pada November.

Kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada penghujung Februari lalu selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu keluar daripada gabungan berkenaan susulan pertemuan dengan sekumpulan pemimpin parti politik, termasuk pembangkang di sebuah hotel.

Langkah itu memaksa Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Krisis politik itu berakhir apabila Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac dan menubuhkan gabungan yang dikenali sebagai Perikatan Nasional bersama beberapa parti termasuk Umno dan PAS.

MR : Dia saja nak jadi PM, walaupun dah 22 tahun 22 bulan jadi PM   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.