Header Ads

Header ADS

Umno kata jangan 'mimpi' untuk Perak tumbang, walaupun tak serasi dengan Bersatu


Tidak mustahil pentadbiran Perak pimpinan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu akan tumbang jika berlaku perubahan kerajaan di peringkat persekutuan, menurut beberapa pemimpin PH negeri itu.

Ini kerana mereka mendakwa hubungan antara Umno dan Bersatu di Perak seperti "bom jangka" yang boleh meletup pada bila-bila masa.

Menurut Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad, ada desas-desus mengatakan sebahagian pihak dalam Umno Perak tidak senang dengan Faizal yang juga merupakan timbalan presiden Bersatu.

"Saya boleh nampak ketegangan Umno dan Bersatu dalam banyak isu di negeri ini.

"Contohnya, kerajaan negeri masih tidak menyelesaikan isu pelantikan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung), masih tiada pelantikan.

"Selain itu, isu salah guna kuasa dan kelemahan pendadbiran di Perak bukan dibangkitkan oleh PH sahaja, sebaliknya ahli Umno sendiri," dakwanya kepada Malaysiakini.

Varisai yang juga Ketua Penerangan PKR Perak mengulas kenyataan Anwar Ibrahim bahawa dia akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok (13 Oktober) mempersembahkan butiran bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Ia kira-kira tiga minggu selepas Anwar membuat sidang media bagi mengatakan dia memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru.

Untuk rekod, pentadbiran di Perak juga bertukar daripada PH kepada Perikatan Nasional (PN) berikutan perubahan yang sama di peringkat persekutuan.

Hubungan yang kian tegang


Varisai mendakwa sekurang-kurangnya enam Adun Umno sedia untuk bekerjasama dengan PH di Perak.

"Secara peribadi saya ada hubungan baik dengan beberapa Adun Umno yang kata mereka telah menekan pimpinan Umno agar menukar menteri besar dari kalangan parti mereka.

"Saya ramal kebanyakan Adun Umno akan mengikut langkah di pusat jika Anwar menubuhkan kerajaan bersama anggota Parlimen dari parti mereka.

"Setahu saya sekurang-kurangnya enam Adun Umno yang telah sedia berbuat demikian," dakwanya lagi.

Sebelum ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia dimaklumkan ramai Ahli Parlimen Umno dan BN yang menyokong Anwar dan dia tidak boleh menghalang perkara itu.

Bagaimanapun kenyataan itu dikritik beberapa pemimpin parti itu yang menyifatkan Zahid selaku presiden perlu menetapkan hala tuju yang jelas untuk Umno.

Semalam pula, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan serta Setiausaha Agung BN dan Muafakat Nasional Annuar Musa masing-masing menegaskan Ahli Parlimen parti mereka kekal menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, bekas menteri besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa sejumlah Adun akan mengikut jejak langkah Ahli Parlimen kawasan mereka untuk menyokong PH.

"Adun-adun ini akan mengikut MP Umno dari kawasan mereka yang menyokong Anwar di peringkat pusat," dakwanya ketika dihubungi.

Dia yang merupakan Adun Sungai Rapat itu mendakwa perkara sama juga akan berlaku di Kedah, Melaka dan Johor.

Tidak mustahil gabungan Umno-PH


Bekas exco kerajaan negeri A Sivanesan pula berpendapat tidak mustahil untuk kerajaan PN tumbang, dengan membangkitkan jumlah kerusi yang dipegang Umno dan DAP di Perak.

"Bagi saya, gabungan Bersatu, Umno dan PAS di Perak umpama satu ikatan terpaksa walaupun tidak setuju dengan banyak perkara.

"Kalau mengambil kira kerusi dikuasai DAP dan Umno di Perak, sudah mencukupi untuk majoriti dua pertiga," katanya.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri. Selepas PRU14, PH menguasai 30 kerusi yang terdiri daripada 18 kerusi DAP, Amanah (enam), PKR (empat) dan Bersatu (dua

Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) Perak kini menguasai 35 kerusi dengan Umno (25), PAS (tiga), Bersatu (empat) dan tiga kerusi bebas (yang dipegang oleh bekas anggota DAP dan Amanah).

Hanya 24 kerusi DUN kekal bersama PH.

Menurut Sivanesan yang merupakan naib pengerusi DAP Perak, lebih mudah untuk bekerja dengan "musuh" berbanding "pengkhianat".

"Ketika menjadi exco, saya biasa terima panggilan daripada pemimpin Umno yang minta bantuan berkaitan isu rakyat dan kawasan dan saya bantu mereka.

"Maka, tidak mustahil untuk menubuhkan kerajaan yang merangkumi Umno dan PH dalam satu gabungan," katanya lagi.

'Mimpi ngeri'


Bagaimanapun Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad menafikan bahawa Adun parti itu sedia bekerjasama dengan PH walaupun mungkin berlaku perubahan di peringkat persekutuan.

"Ia satu mimpi ngeri. Kita (Umno Perak) yang tubuhkan gabungan PN di Perak. Jadi tiada sebab bagi kami menyokong Anwar.

"Mungkin di persekutuan betul (ada MP sokong Anwar). Ada yang kata kerusi (kedudukan PN) sedang goyang tetapi tidak di Perak.

"Kami ada 35 kerusi...tidak ada goyang. Tak perlu mengalih sokongan kepada PH," katanya lagi.

MR : PH cari peluang nak buat isu nak gugat PN   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.