Header Ads

ads header

Flash News

Joe Biden Ppresiden Baharu AS, Kamala Harris Naib Presiden


Joe Biden di laman Twitternya menulis "presiden dipilih", walaupun pengiraan undi masih berjalan di beberapa negeri, lapor agensi berita Sputnik.

"Presiden dipilih, suami kepada @DrBiden, ayah & datuk yang bangga. Sedia membangunkan semula dengan lebih baik untuk semua rakyat Amerika," tulisnya.

Biden, calon Demokrat, umum kemenangan selepas menempuh persaingan sengit dengan calon Republikan Donald Trump, dengan mengatakan beliau akan menjadi presiden kepada semua rakyat Amerika.

Gandingannya, Kamala Harris juga yang digambarkan sebagai "Naib Presiden-Amerika Syarikat" di akaun Twitternya menulis "Kita berjaya, Joe Biden."

Sebelum ini, CNN, Fox News dan NBC serta AP mengunjurkan Biden sudah melakar kemenangan pada pilihan raya presiden 2020.

Menurut data mereka, Biden sudah berjaya memperoleh 270 undi yang diperlukan.

Laporan itu susulan keputusan semasa pengiraan undi di Pennsylvania.

Pengiraan undi rasmi masih berterusan.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata pilihan raya presiden AS belum tamat walaupun beberapa media mengatakan calon Demokrat Joe Biden muncul sebagai pemenang.

"Kita semua tahu mengapa Joe Biden tergesa-gesa untuk dakwa dirinya sebagai pemenang, dan mengapa sekutu medianya berusaha keras membantunya: mereka enggan kebenaran itu didedahkan," kata Trump.

"Faktanya mudah. Pilihan raya ini masih belum selesai. Joe Biden belum diperakui sebagai pemenang di mana-mana negeri, apalagi di negeri-negeri itu pengiraan undi masih berjalan, atau di negeri kempen kami mempunyai tuntutan mahkamah yang sah yang akan menentukan pemenang sebenar."

Di twitter, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, pada Sabtu mengucapkan tahniah kepada Biden dan Harris atas kemenangan menguasai Rumah Putih, lapor Agensi Anadolu.

"Tahniah, @JoeBiden dan @KamalaHarris. Kita dua negara bersahabat, rakan kongsi dan sekutu rapat. Kita berkongsi hubungan yang unik di pentas dunia," tulis Trudeau di Twitter.

"Saya amat berharap dapat bekerjasama dan membangunkannya bersama dengan anda berdua," tambahnya.

Turut mengucapkan tahniah Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson.

"Tahniah kepada Joe Biden atas pemilihannya sebagai Presiden Amerika Syarikat dan kepada Kamala Harris atas pencapaian bersejarahnya," kata Johnson menerusi Twitter.

Presiden Perancis Emmanuel Macron pula berkata "Rakyat Amerika sudah memilih Presiden mereka. Tahniah @JoeBiden dan @KamalaHarris! Kita harus melakukan banyak perkara untuk mendepani cabaran hari ini. Mari bekerjasama!" tulis Macron di Twitter.

Canselor Jerman Angela Merkel juga merakamkan ucapan tahniah dan berharap dapat bekerjasama dengan Biden, 77.

"Warga Amerika sudah membuat pilihan mereka. Joe Biden akan menjadi presiden Amerika Syarikat ke-46," katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah Harris pula sebagai naib presiden wanita pertama di negara ini.

- Bernama





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan