Header Ads

ads header

Flash News

Saranan murid ditahan dari naik kelas tak relevan, kata NUTP


Cadangan supaya murid-murid tidak perlu naik kelas tahun hadapan kerana sesi persekolahan 2020 dipendekkan adalah tidak relevan, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata jika perkara itu dilakukan ia akan memberi kesan kepada generasi akan datang.

"Sangat tidak relevan kalau tidak naik kelas. Kalau yang murid tahun satu tak naik kelas, macam mana dengan kanak-kanak yang berusia enam tahun (sekarang)? Takkan murid prasekolah kekal prasekolah?

"Kalau ini berlaku ia akan berganda, kena fikir macam mana kekuatan untuk sesi pembelajaran di sesebuah kelas.

"Untuk lanjutkan pembelajaran tingkatan lima tahun ini sehingga Mac tahun depan pun KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia) terpaksa menahan kemasukan pelajar tingkatan dua dan tiga," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Saranan supaya murid-murid sekolah tidak dinaikkan kelas tahun hadapan disuarakan warganet di media sosial ekoran jadual persekolahan yang banyak terganggu akibat wabak Covid-19.

Pada 8 Nov lalu, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin mengumumkan semua sekolah yang berdaftar dengan KPM ditutup sehingga Jan tahun depan ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di hampir semua negeri di semenanjung.

Katanya dengan pelaksanaan PKPB itu 74 daripada sekolah yang ada bawah KPM ditutup.

Justeru penggal persekolahan akan baru bermula pada Rabu, 20 Januari 2021.

Katanya, semua murid sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh berkenaan.

Tambahnya lagi, bagi sekolah menengah pula, murid tingkatan satu, tingkatan empat, tingkatan lima dan tingkatan enam serta semua murid kolej vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh sama.

"Manakala murid tingkatan dua dan tingkatan tiga akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara home-based learning mengikut kesesuaian guru dan murid.

"Mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021," katanya.

Aminuddin berkata NUTP belum dapat membuat penilaian terhadap sistem home-based learning yang dilaksanakan ketika ini.

Katanya, tidak masuk akal untuk membezakan sistem pendidikan bersemuka dengan home-based learning.

"Ia masih baru, kita belum dapat membuat penilaian mengenai keberkesanannya.

"Tapi, adalah tidak adil untuk membuat pertandingan sistem pembelajaran secara bersemuka dengan home-based learning dalam situasi kita tiada pilihan kerana Covid-19.

"Apakah kita mahu buka sekolah kembali dalam situasi Covid-19 ini jika beranggapan sistem pembelajaran digunakan ini tidak berkesan? Sudah tentu tidak.

"Apa yang perlu dilakukan adalah tambah baik kelemahan yang ada," katanya.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan