Header Ads

ads header

Flash News

UMNO mungkin berpecah jika Belanjawan 2021 tidak lulus


SHAH ALAM -
Parti UMNO dijangka mengulangi sejarah perpecahan parti itu dengan sebahagian pemimpinnya akan melakukan penghijrahan besar-besaran menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya usul Belanjawan 2021 gagal diluluskan kelak.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, senario perpecahan besar dalam UMNO mungkin berlaku memandangkan parti itu secara terang-terangan seolah-olah memiliki lebih dua nakhoda selain Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, tindakan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah mengajak semua ahli Parlimen menyokong usul penentuan kepercayaan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum undi belah bahagi usul Belanjawan 2021, sebenarnya sudah boleh dibaca dari peringkat awal.

"Tindakan Ku Li itu membuktikan dalam UMNO sudah ada lebih dua nakhoda iaitu Ku Li sendiri, Zahid dan kelompok ahli Parlimen yang tidak suka kepimpinan Zahid.

"Sekiranya usul Belanjawan 2021 tidak lulus, saya percaya akan berlaku perpecahan besar dengan segelintir pemimpin UMNO yang anti Zahid mungkin memilih Bersatu sebagai wadah perjuangan politik baharu.

"Sama ada para pemimpin berpecah dalam UMNO akan mewujudkan parti baharu, saya lihat sukar kerana kesemua mereka menyedari UMNO masih merupakan parti dominan dan kini sudah kembali mendapat sokongan pengundi Melayu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Semalam, Ku Li yang juga Ahli Parlimen Gua Musang memaklumkan beliau tidak akan turut serta dalam perbahasan Belanjawan 2021 selagi Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun tidak meluluskan usul penentuan kepercayaan terhadap Muhyiddin.

Hasrat itu disampaikan bekas Menteri Kewangan itu kepada Azhar Azizan menerusi sepucuk surat bertarikh 19 November dengan isi kandungannya turut mengkritik keengganan Speaker Dewan Rakyat itu membenarkan usul penting selain usul Belanjawan 2021 dilaksanakan.

Surat itu adalah respons kepada kenyataan Azhar Azizan bulan lalu bahawa dia tidak boleh membenarkan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan, dianggap usul persendirian, mendahului usul dibawa kerajaan.

Tawfik berkata, kegagalan Ahmad Zahid menentukan pendirian tetap UMNO dalam meluluskan usul Belanjawan 2021 juga merupakan satu ancaman kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Apabila belum ada kata putus daripada ahli Parlimen UMNO dalam penentuan sokongan usul Belanjawan 2021, ada yang bercanggah antara satu sama lain, saya fikir kerajaan PN perlu memanggil semua ahli Parlimen menyokong kerajaan dan pembangkang untuk berbincang semula mengenai usaha pindaan dan penambahbaikan usul berkenaan.

"Kalau tidak menyokong setakat alasan kerajaan Muhyiddin tiada sokongan majoriti (ahli Parlimen), itu pandangan ke belakang kerana undi pertukaran Speaker Dewan Rakyat membuktikan kerajaan sudah memiliki sokongan majoriti," katanya.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Apakah BERSATU akan menjadi Wadah baru bg ahli2 UMNO utk bergerak kehadapan setelah AMNO yg ditubuh Atok mula nak karam

    BalasPadam