Header Ads

ads header

Flash News

Bawa masuk orang muda dengan idea baharu, kata Tok Mat


PETALING JAYA:
Umno mungkin pernah menyaksikan kegemilangannya pada 1970-an dan 1980-an dan kemudian berdepan dengan keadaan terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini – namun satu hal yang pasti buat parti berusia 74 tahun itu, ia tidak boleh terperangkap di masa lalu.

Timbalan Presiden Mohamad Hasan menyedari hakikat itu dan beliau mempunyai visi buat Umno untuk menjadi parti yang berasaskan idea dan menghargai pengetahuan baharu.

Dalam temubual bersama FMT, Mohamad berkata Umno hendaklah berkembang seiring waktu.

“Saya nak jadikan Umno sebagai parti berasaskan idea, parti yang mengalu-alukan ilmu, dan orang yang mempunyai ilmu, bukan parti yang tersangkut kaki dalam zaman 70-an dan 80-an.

“Umno memerlukan pakar-pakar, orang yang mempunyai kepakaran masing-masing supaya dapat membawa Umno ke tahap yang lebih cemerlang lagi,” kata beliau.

Mohamad, yang dilantik sebagai timbalan presiden selepas kejatuhan Umno dari kerajaan pusat pada 2018 berkata parti tersebut telah melalui banyak pembaharuan dalam tempoh tiga tahun ini termasuk melakukan pindaan drastik dalam perlembagaannya.

Antara pembaharuan penting yang dilakukan Umno adalah memansuhkan syarat yang menghalang mana-mana ahli yang mahu bertanding jawatan presiden termasuk mempunyai sokongan 30% Umno bahagian selain menganggotai Majlis Tertinggi parti.

“Itu satu kekangan yang amat tidak baik bagi parti. Selepas pindaan perlembagaan kita buat, sekarang ini siapa saja yang nak bertanding, boleh bertanding. Isi borang, ada satu penyokong dan pencadang, maka ‘okay’,” katanya.

Beliau berkata satu lagi kunci pembaharuan yang dilaksanakan Umno adalah membuka pengundian untuk jawatan tertinggi kepada ahli akar umbi, berbanding sebelumnya iaitu dihadkan kepada tujuh orang ketua dari setiap bahagian.

“(Dahulu), itu satu perkara yang mendedahkan Umno kepada…aktiviti yang tidak baik, politik wang berleluasa,” kata Mohamad.

Kini, lebih 200,000 perwakilan parti di seluruh negara berpeluang untuk menyatakan sokongan dan memilih barisan kepimpinan yang mereka rasakan layak.

Selain itu, pembaharuan Umno turut menyaksikan penurunan kuasa daripada ibu pejabat kepada Badan Perhubungan Negeri berhubung kelulusan keahlian, termasuk isu displin.

Beliau menambah dalam kes Umno Sabah, badan perhubungan negeri telah diberi kuasa autonomi dalam hal pentadbiran, termasuk memutuskan calon pilihan raya tahun lalu dan pembentukan kerajaan negeri.

Mengulas mengenai muka baharu untuk mengisi hieraki parti, Mohamad berkata membawa masuk pemimpin muda dari masa ke semasa sememangnya memberi nilai tambah kepada Umno.

Beliau berharap lebih ramai pemimpin muda tampil untuk bertanding dalam pemilihan parti yang dijadual diadakan tahun ini.

“Saya harap supaya pemimpin-pemimpin muda ambil bahagian dalam proses pemilihan. Jangan lari, masuklah gelanggang. Tawarkan diri, sebab sekarang ini tak susah nak bertanding, baik di peringkat cawangan, mahupun peringkat bahagian.

“Orang macam saya ini generasi yang akan mewarisi kepimpinan kepada generasi muda, tapi tiada kalau generasi muda, saya nak bagi dekat siapa,” katanya.

Jelas Mohamad, beliau tidak mahu lagi melihat kelemahan kepimpinan parti kerana komposisinya yang tidak seimbang. Pada masa lalu secara majoritinya Umno diisi oleh pemimpin veteran, hanya sebilangan kecil anak muda yang mendapat tempat dalam kepimpinan parti.

“Banyak juga yang muda-muda, yang cerdik-cerdik, tapi kalau di peringkat parti, banyak yang dicantas. Jadi, sekarang kita tak mengamalkan dasar sebegitu.”





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan