Cubaan kedua Pejuang paksa JPPM daftar parti didengar 1 April
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan mendengar cubaan kedua Dr Mahathir Mohamad untuk memaksa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) mendaftarkan Pejuang melalui saluran undang-undang pada 1 April ini.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman akan didengar di hadapan Hakim Ahmad Kamal Shahid.
“Kami dimaklumkan tarikh pendengaran semalam dan akan meneruskan penyerahan kertas undang-undang kepada Jabatan Peguam Negara pada Isnin.”
Disember tahun lalu, Pejuang, yang ditubuhkan pada Ogos mengheret JPPM ke mahkamah untuk membuat keputusan berhubung status pendaftarannya.
Bagaimanapun, belum sempat mahkamah mendengar permohonan semakan kehakiman Pejuang, JPPM menolak permohonan pendaftarannya.
Ini menyebabkan permohonan itu menjadi akademik.
Minggu lalu, Pejuang memfailkan permohonan baharu untuk memaksa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan JPPM membuat keputusan berhubung pendaftaran parti itu.
Setiausaha Agung Penaja Pejuang, Amiruddin Hamzah, yang menyertakan afidavit sokongan untuk permohonan itu, memohon perisytiharan menteri itu gagal membuat sebarang keputusan berhubung rayuan Pejuang terhadap keputusan JPPM.
Parti itu berkata, sebarang ketiadaan tindakan dan kelalaian oleh JPPM serta menteri dalam negeri tidak munasabah dan dilakukan dengan niat jahat serta cubaan menafikan hak berperlembagaan Pejuang bertanding dalam pilihan raya umum menggunakan logo parti itu sendiri.
Pejuang ditubuhkan sebagai parti bebas berteraskan orang Melayu pada Ogos 2020, selepas kumpulan yang dikaitkan dengan Mahathir meninggalkan PPBM, yang juga ditubuhkan bekas perdana menteri itu.
Mahathir dilaporkan berkata, matlamat parti itu ialah memerangi rasuah dan parti berteraskan orang Melayu lain tersasar daripada perjuangan asalnya dan terpengaruh dengan wang dan kuasa.
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan