Header Ads

ads header

Flash News

Majlis Presiden PH kecam agensi kerajaan digunakan sebagai senjata politik


KUALA LUMPUR:
Majlis Presiden Pakatan Harapan mengecam sekeras-kerasnya penyalahgunaan agensi-agensi kerajaan sebagai senjata politik bagi mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menerusi satu kenyataan media, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendakwa terdapat siri tindakan daripada agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain memberi tekanan terhadap Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang, pegawai-pegawai malah ahli keluarga mereka.

"Pada waktu ini, kami difahamkan tindakan-tindakan masih terus dilakukan bersekali dengan tekanan untuk Ahli-Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Dari segi prinsip, kami menyokong sebarang tindakan yang berlandaskan hukum dan undang-undang. Tetapi sebarang penyalahgunaan institusi atau agensi dengan niat untuk mengganggu, menekan atau menakut-nakutkan musuh politik langsung tidak boleh diterima," jelas kenyataan itu.

Malah, jelas Pakatan Harapan, tindakan itu dipercayai telah dilakukan terhadap ramai Ahli Parlimen Pembangkang termasuk Lim Guan Eng dan isteri, Larry Sng, Steven Choong, dan kini secara tidak langsung terhadap Datuk Dr Xavier Jayakumar.

"Pakatan Harapan mengecam sekeras-kerasnya penggunaan SPRM, LHDN, PDRM dan agensi-agensi lain sebagai ‘senjata politik’, terutama bagi tujuan menambah sokongan kerajaan minoriti Perikatan Nasional ini.

"Pertandingan politik di Malaysia wajib berlaku dalam suasana yang sihat, dengan amalan demokrasi yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

"Pakatan Harapan juga kesal dengan tindakan pihak berkuasa ke atas perniagaan dengan pelbagai tuntutan kewangan yang tidak munasabah serta juga pembekuan akaun bank untuk menambahkan pendapatan kerajaan yang kian berkurangan," jelas kenyataan itu lagi.

Justeru, tindakan memeras perniagaan dalam keadaan kemelesetan ekonomi juga harus ditangguh kerana ia akan menyukarkan survival perniagaan dan menjejaskan pekerjaan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Jumaat.




Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan