Header Ads

ads header

Flash News

Tekanan dari Semenanjung uji kesepakatan GRS, autonomi Umno Sabah, kata penganalisis


KOTA KINABALU:
Penganalisis politik berkata, Umno dan PPBM di Sabah akan tetap mendapat tekanan daripada kepimpinan parti itu di Semenanjung walaupun mereka terus bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) dengan menggunakan platform Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah berkata, tekanan itu akan wujud dalam isu pengagihan kerusi antara dua parti berkenaan dan dijangka menjadi semakin ”panas” menjelang PRU15.

”Isu pengagihan kerusi sememangnya akan panas apabila pilihan raya menjelang dan sudah pasti akan memberi kesan jika tiada kesepakatan dicapai dalam kalangan parti GRS.

Tony Paridi Bagang.

”Tekanan dari Semenanjung sama ada di pihak Umno atau PPBM pasti bakal berlaku.

”Keadaan ini akan menjadi lebih jelas apabila Parlimen dibubarkan,” katanya kepada FMT.

Tony berkata, perpecahan antara Umno dan PPBM juga bakal menjadi ujian ke atas sejauh manakah autonomi Umno Sabah untuk mengemudi politik tempatan tidak terikat dengan perubahan atau perkembangan yang berlaku di Semenanjung.

Katanya, perkembangan yang berlaku di Semenanjung juga menjadi ujian sama ada GRS mampu kekal bersama bagi menghadapi PRU15.

”Tidak dinafikan politik Sabah dipengaruhi perkembangan politik di Semenanjung, namun ini akan menjadi ‘litmus test’ kepada GRS, iaitu bagaimana mereka mampu mengekalkan hubungan dan kerjasama politik yang termeterai.

”Ini juga akan menguji sejauh mana autonomi Umno Sabah mengemudi politik lokal (Sabah) tanpa terikat dengan perubahan atau perkembangan yang berlaku di Semenanjung,” katanya.

Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, walaupun isu pengagihan kerusi dalam kalangan komponen GRS mungkin tidak berdepan masalah, namun tidak mustahil pertembungan akan tetap berlaku di beberapa kawasan.

Lee Kok Tiung.

Katanya, kesepakatan yang ditunjukkan oleh komponen GRS juga bakal melancarkan kerjasama mereka dalam menghadapi PRU15 walaupun keadaannya berbeza di Semenanjung.

”Pengagihan kerusi GRS di Sabah akan ditentukan oleh mereka sendiri dan saya percaya sebahagian besar daripada 25 kerusi Parlimen di sini telah diagihkan.

”Tiada masalah (pengagihan kerusi), tetapi tidak mustahil ada dua atau tiga kerusi GRS yang akan berlaku ‘friendly match’ seperti yang berlaku pada PRN (pilihan raya negeri) lepas.

”Bagaimanapun, BN (Barisan Nasional), PN (Perikatan Nasional), dan PBS (Parti Bersatu Sabah) sudah berikrar dan ada persefahaman untuk bekerjasama menerusi platform GRS.

“Saya percaya pemimpin utama Umno dan PPBM di Sabah akan berpegang kepada komitmen mereka seperti yang diulang-ulang sebelum ini.

”Umno telah meminda perlembagaan untuk memberi autonomi kepada Umno Sabah, jadi biarlah ia menentukan hala tuju sendiri.

“Lebih-lebih lagi Umno Sabah telah memutuskan untuk menggunakan platform GRS, kita harus hormati itu,” katanya.

Sementara itu Lee juga berkata, tidak mustahil pengumuman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan PPBM akan berubah pada masa akan datang.

”Belum tentu pengumuman yang dibuat Zahid itu merupakan episod terakhir dalam hubungan antara dua parti itu.

“Kedudukan Zahid sebagai presiden Umno juga mungkin semakin tertekan daripada blok dalam parti itu yang mahu bertolak ansur atau bekerjasama dengan PPBM,” katanya.

Zahid pada Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam, mengumumkan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada PRU15 akan datang.

Beliau juga berkata, BN memutuskan akan menghadapi PRU15 secara bersendirian.

Bagaimanapun Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin, ketika ditemui selepas perhimpunan itu sekali lagi berkata bahawa GRS akan tetap dipertahankan dan bakal bekerjasama bagi menghadapi PRU15.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan