Header Ads

ads header

Flash News

Adun BN Sabah mungkin tinggalkan Umno, sertai parti tempatan


KOTA KINABALU: Semua adun Sabah yang bersekutu dengan Barisan Nasional (BN) sedang membincangkan rancangan untuk keluar daripada bayangan Umno dan bersatu dalam sebuah parti tempatan atau menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS).

Ewon Benedick yang baru dipilih sebagai adun Kadamaian mendedahkan rancangan itu kepada wartawan hari ini.

Beliau antara 5 adun dari Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) yang bersetuju menyokong BN untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Benedick berkata, semua 31 adun yang menyokong BN menyifatkan cadangan itu “menarik” untuk mereka menganggotai sebuah parti tempatan, sama ada menubuhkan sebuah parti baru atau menyertai PBS, yang mendapat sokongan masyarakat Kadazandusun.

Katanya, Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman berjanji untuk berbincang dengan semua adun Umno mengenai kemungkinan meninggalkan parti itu dan menyertai sebuah parti komponen Sabah BN (yang lain).

“Kami bincang mengenai penubuhan sebuah parti Sabah baru, tetapi sudah ada parti baru untuk kami.”

Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, parti itu bersedia untuk menjadi platform untuk menyatukan semua adun itu.

“Jika ini berlaku, semua sentimen di kalangan belia terhadap Umno boleh dikurangkan, seperti di Sarawak di mana semua parti komponen BN adalah tempatan, tanpa pembabitan Umno. Kami ada 2 pilihan, tetapi ini adalah arah tuju kami sekarang,” katanya sambil menambah penubuhan sebuah parti baru memerlukan masa.

Benedick dan 4 adun Upko lain menyuarakan sokongan mereka kepada BN hari ini supaya parti itu boleh kekal menjadi kerajaan negeri.

BN dan lawannya, Pakatan Harapan yang bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah, seri dengan 29 kerusi selepas pilihan raya umum ke-14 semalam.

Bagaimanapun, parti pembangkang tempatan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang memenangi 2 kerusi negeri bersetuju menyokong BN dan membantu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Keputusan STAR itu susulan adun Upko mengingkari arahan pemangku presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau meninggalkan BN dan menyokong Warisan-PH.

Lima adun itu sebaliknya bertegas akan bersama BN berbanding menyertai Warisan dan sekutunya.

Katanya, beliau dan adun lain tidak terbabit dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Upko yang dilapor memutuskan memberi sokongan kepada Warisan.

“Kami dimaklumkan mengenai mesyuarat itu, tetapi perkara paling penting bagi kami ialah Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri kerana kini kami ada majoriti mudah. Ini lebih penting daripada bercakap mengenai kerjasama dengan Warisan.”



......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Tiada ulasan